Friday, February 03, 2012

Kisah panjang PPSMI yang masih menyengat kita


Oleh H FANSURI

Perhimpunan Penulis Muda Nasional III (PPMN III) baru selesai menutup tirainya. Serentak itu Festival Deklamasi Puisi di Pulau Pangkor pun tamat sudah. Terbaru, persatuan penulis menjemput Perdana Menteri Najib Razak untuk makan malam.

Alasan mereka saya terima secara peribadi - ingin selamatkan Rumah Pena dan lain-lain perkara.Nampaknya tahun ini, Disember kita ditutup dengan su'ul khatimah (kesudahan yang buruk).

Kini telah masuk Safar dan permulaan kita disambut dengan hal-hal yang memenatkan. Saya masih teringat ketika saya bentang kertas kerja dahulu dalam PPMN ke-2 di Melaka.

Thursday, February 02, 2012

Puisi memuji nabi sempena Maulid Nabi makin pupus?

Syair puji nabi terus hidup!
Oleh H FANSURI

Setelah A Samad Said muncul dengan 'kitab' puisi panjang dengan judul Al-Amin, rasanya kita ketandusan nazam, gurindam dan sajak yang memuji nabi. Tradisi memuji nabi yang terawal telah dibangunkan oleh penyair Rasulullah s.a.w; Hassan bin Tsabit r.a.

Hassan bin Thabit adalah sahabat yang dikasihi baginda. Beliau penyair terawal yang bermadah indah untuk memuji baginda. Beliau penyair keagamaan pertama yang mengguna banyak ayat al-Quran di dalam rangkaian bait syair gubahannya.

Wednesday, February 01, 2012

Rosmah mangsa 'shopaholic', perlu terapi skima antarabangsa


Oleh BOESTAMAM SARI

"Saya selalu menjadi mangsa," demikian kata Rosmah kepada media apabila dihujani pertanyaan berhubung kegilaan 'shopaholic' di Australia baru-baru ini. Shopaholic adalah sejenis penyakit kejiwaan, suka membeli-belah yang amat teruk dan kebanyakan mangsanya adalah kaum wanita!

Apabila penyakit psikologi 'shopaholic' ini menular kepada wanita, ia tidak pernah memilih sama ada wanita itu kaya atau miskin. Ia boleh menerpa serta mencengkam kepada jiwa sesiapa sahaja. Oleh kerana kaum wanita memiliki keinginan yang banyak terhadap kebendaan, maka kebanyakan mangsanya adalah wanita juga, tanpa mengira status kedudukannya.

Sesiapa yang pernah menonton filem Confessions of a Shopaholic (2009), pasti teringatkan wajah lembut Isla Fisher ini. Beliau bukanlah gadis kaya, tapi sekali lagi, kemiskinan bukanlah punca yang menyebabkan seseorang itu bebas daripada ketagihan membeli-belah yang keterlaluan ini.

Isla Fisher kebetulannya berhijrah ke Australia dan beliau pernah muncul di dalam iklan komersial di Australia. Kebetulan Rosmah pula pernah berbelanja mewah di Australia. Jadi, sesuailah jika dipadukan hubungan Isla Fisher dan Rosmah Mansor. Bezanya, Isla Fisher lebih cantik.

Seperti Isla Fisher yang menderitai shopaholic, rasanya rakyat mesti berawas juga kalau-kalau benar Rosmah menderitai 'shopaholic'. Najib Razak sudah gagal menawarkan rawatan terapi kepada Rosmah ini berulangkali.

Kekuatan rohani Najib sudah lumpuh bersama lumpuhnya dakwah Wahabi Literalis Umno yang celaru dalam usaha mentarbiyyah Umno hari ini. Agenda Wasatiyyah yang didengungkan pun bukan untuk merawat Rosmah, tapi untuk mengajar pendakwah agar berdakwah dengan pendekatan wasatiyyah itu.

Dan, agak-agaknya, faham wasatiyyah yang dilagukan Umno memang tiada kesudahannya. Setelah RM250 juta harta NFC menatijahkan kondominium di Malaysia dan di Singapura, maka lagu dendangan wasatiyyah ini menjadi sumbang dan tempang oleh Rosmah dalam misi sucinya; berbelanja mewah di Australia tempoh hari. Shahrizat dan Rosmah, inilah dua watak yang kerap menjadi tumpuan media hari ini.

Dan, mungkin dua isu utama inilah yang menyebabkan Najib Razak takut menyahut cabaran berdebat dengan Anwar Ibrahim. Bagaimana Najib mengelak daripada menyahut cabaran ini? Najib tidak mahu berkata tidak, kerana sikap ini akan menjatuhkan reputasi imejnya.

Maka, ada orang lain yang dikirim untuk menjawab hal ini. Contohnya, Ahmad Maslan berkata, Najib dan Anwar tidak perlu berdebat sebab debat adalah budaya Barat yang masih belum boleh diterima di negara ini.

Syahadan pada musim ini umat akan melihat lebih banyak kenyataan bodoh para pemimpin Umno. Jika dihimpunkan kenyataan itu, dan ditimbang, diukur sukat, nescaya kita menuju kesimpulan bahawa negara akan hancur dengan fikiran sebegini. 

Ahmad Maslan mungkin tidak terfikir bahawa rakyat menilai Rosmah yang suka bermewah ala Barat. Umat berkata, "Jika debat itu budaya Barat, maka ia tertolak. Rosmah terkena shopaholic Barat, boleh pula?"

Hari ini, rakyat mesti menimbang kemungkinan, kalau Rosmah dihinggapi penyakit shopaholic seperti Marie Antoinette permaisuri Perancis yang diguling dalam revolusi. Oleh sebab hidup dalam kemewahan melampau-lampau, Marie Antoinette berkata...

"Kalau tiada roti gandum, maka makanlah kek seperti saya." Jadi, ketika rakyat sulit mendapatkan gandum, ketika itu Antoinette sudah mewah kerana memiliki kek yang lebih mahal dibanding gandum biasa.

Syahadan, Rosmah ada peluang untuk membuktikan bahawa beliau bukan terkena sindrom penyakit kejiwaan shopaholic itu. Caranya, beliau berpeluang menyaman akhbar antarabangsa yang mendedahkan gejala Rosmah berbelanja mewah. Ini juga, serampang dua mata untuk Rosmah. Beliau boleh cetak duit lagi untuk dirinya jika akhbar itu benar-benar memfitnah beliau sehingga beliau kerap dijadikan mangsa keadaan.

Kita faham, mungkin ada kalangan Umno yang sakit jiwa melihat dakwaan yang menuduh Rosmah sebagai penderita shopaholic ini. Kita memang berani menyatakan bantahan ke atas Shahrizat termasuk Rosmah. Mereka mungkin mencabar untuk melihat tahap keberanian PAS.

Tetapi, menilai keadaan hari ini, setidak-tidaknya Umno mesti akui sesuatu. Iaitu, ketika PAS berani memecat Dr Hassan Ali, Umno-BN ternyata ragu-ragu sama ada mahu memecat Shahrizat dan Jamil Khir atau tidak. Jamil yang jelas mengguna wang zakat itu tidak berani pula dikritik Wahabi Literalis Umno.

Akhirnya, kita bertanya, adakah Umno berani membuat semakan ke atas kegilaan shopaholic Rosmah itu? Jika benar, adakah Najib bersedia merawatnya dan memerintahkan Rosmah menjalani terapi mengikut skima rawatan antarabangsa?

Tuesday, January 31, 2012

Perisytiharan Bangkit 2012 julang Revolusi Malaysia?

Di Fatehpur Sikri, merencana revolusi!
Oleh ALI BUKHARI AMIR

Sekumpulan anak muda telah menyerahkan kepada saya sehelai kertas yang termuat di dalamnya suatu perisytiharan. Mereka namakan perisytiharan itu sebagai Perisytiharan Bangkit 2012. Berikut di bawah ini, diperturunkan salinan penuh isi perisytiharan tersebut.

Menginsafi firman Allah s.w.t, "Dan jagalah diri kamu daripada fitnah (kemudaratan) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim antara kamu secara khusus (teapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah maha berat azab hukuman-Nya." (Surah Al-Anfal, ayat 25).

Monday, January 30, 2012

Malaysia Spring perlu contohi Revolusi Mesir

Oleh RUHI HAYATI THANI

Dr Mahathir, Najib Razak dan para pimpinan tertinggi Umno khususnya dan pimpinan Barisan Nasional amnya perlu berwaspada ketika berdepan dengan rempuhan kiamat pilihan raya 2012 kali ini. Kalau dilanjutkan kepada tahun depan; 2013 pun belum tentu menang besar lagi.

Pendek kata, kalau dibuat pilihan raya pada tahun ini, BN mati. Dan, jika dilanjutkan setahun kemudian, BN mungkin lumpuh atau pun terkoma sepanjang hayat pemerintahannya. Jika Umno menggelar revolusi sejagat yang berlaku dalam Arab Springs kali ini sebagai malapetaka baharu ke atas kita, rasanya kenyataan tersebut perlu disemak semula berulangkali dan didebatkan selalu.

Sunday, January 29, 2012

RM1 juta molek dibeli tanah, rumah baharu Pena


Oleh H FANSURI

Setakat ini, tidak diketahui apa nasib Rumah Pena. Peruntukan dana RM1 juta, belum merupakan kata putus sama ada Pena (Persatuan Penulis Nasional) akan terus kekal bertahan atau pun tidak di Rumah Pena itu.

Ada desas-desus menyatakan bahawa peruntukan dana sebanyak RM1 juta itu bertujuan memulihkan rumah itu. Sesetengah pihak melihat, kemungkinan kontraktor Umno yang memulihkan rumah itu, lalu kontraktor Umno akan tuntut jumlah pembaikan itu dengan nilai RM1 juta. 

Saturday, January 28, 2012

Kita perlu Institut Wasatiyyah 'Godmother' Rosmah di dunia

Oleh BOESTAMAM SARI

Wasatiyyah itu ada banyak maknanya. Erti sejati wasatiyyah tidak boleh dipakai terburu-buru dalam bualan harian termasuk tulisan. Hari ini, wasatiyyah kerap dipasang pengertian dengan makna kata 'kesederhanaan' dalam bahasa Melayu. Soal tepat atau tidak, ia boleh didebat semula.

Dalam makna lain yang berkaitan, 'wasatiyyah' boleh diarah pengertiannya kepada kedudukan 'tidak kiri dan tidak kanan (di tengah-tengah)' serta 'tidak beralkali dan tidak berasid (neutral). Tapi, itu bukan makna sebenar dan pengertian sejati yang boleh diungkap daripada semangat wasatiyyah.

Friday, January 27, 2012

Jibril penguat sastera Zabur untuk Daud a.s

Oleh H FANSURI

Mazmur (Zabur) adalah lembaran pujian bagi Tuhan. Jika Muslimin mendakwa al-Quran sebagai kalam Tuhan terindah, maka begitulah Zabur dendangan Daud a.s yang dipahat dengan kata madah indah.

Menurut Kristian, Mazmur (Zabur) adalah 'karangan' Daud yang termuat di dalamnya, sajak puisi doa, nyanyian pujian, ratapan, doa penyesalan, munajat dan lain-lainnya.

Thursday, January 26, 2012

Najib fitnah Anwar, agar isunya tidak seperti Erdogan?

Oleh RUHI HAYATI THANI

Seorang tokoh akademik Umno berwatak agama berkata, "Anwar Ibrahim menobat diri sebagai bakal PM dan menyamakannya dengan PM Turki Erdogan. Masalahnya, Erdogan dipenjara bukan atas tuduhan liwat dan salah laku moral seperti Anwar."

Alasan kenapa Anwar berbeza dengan Erdogan, tambahnya, "Erdogan dipenjara atas dakwaan menanam kebencian dalam beragama kerana ubahsuai sajak Ziya Gokalp. Erdogan dikenali sebagai seorang yang berprinsip dan tegar mendokong Islam tanpa kompromi..."

Wednesday, January 25, 2012

Asy-Shafie kuasai sastera Arab, pesan buat Literalis Umno

Wahabi Literalis Umno wajib belajar sastera Arab
Oleh H FANSURI

Dalam keempat-empat mazhab fikah yang terkenal di dunia Islam; (Shafie, Hambali, Malik dan Hanafi), kedudukan Imam Syafie barangkali agak istimewa. Ini kerana, beliau mahir kesusasteraan Arab. Pengasas mazhab lain menguasai persuratan Arab juga. Tetapi Imam Shafie menonjol dalam persuratan dan kesusasteraan Arab ini.

Manakala Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas, ketika mematahkan dakwaan bahawa Islam Alam Melayu tiba dari China dan India, maka kedudukan mazhab Asy-Syafie ini diambilkira. Hujah beliau, pegangan mazhab Alam Melayu telah menjelaskan bahawa pengislaman Melayu ini secara terus dibawa dari Arab. Hujah ini turut disepakati oleh Buya Hamka.

Tuesday, January 24, 2012

Najib pudar jiwa Melayu-Islam, tidak ziarah pondok Afrika Selatan

Oleh BOESTAMAM SARI

Rakyat melihat pemergian Najib Razak ke Afrika Selatan adalah suatu usaha mengelakkan penggulingan rakyat ke atasnya di Putrajaya. Bayangkan kalau mahkamah putuskan sama ada Anwar bersalah atau tidak, tapi umat masih berdegil dan terus melanggar Putrajaya juga, maka Najib tentu terima padah.

Jadi kebetulan di Afrika Selatan ada majlis keraian, maka Najib boleh berhelah, bahawa beliau ke sana atas jemputan rasmi dan bukan ada kaitan dengan keputusan penghakiman ke atas Anwar Ibrahim.

Monday, January 23, 2012

Sepenggal Anwar jadi PM, cukuplah Najib Razak


Oleh RUHI HAYATI THANI

Memang tiada yang kekal di dunia ini, termasuk Najib dan Anwar. Maka apabila Raja Petra berpendapat bahawa Anwar tidak layak jadi PM, maka hal itu bukan wahyu Tuhan. Raja Petra bukan nabi yang bersabda. Dia insan biasa. Dia putera raja dan kerabat diraja yang mana setiap bait patah bicaranya itu bukan titah perintah raja.

Rakyat boleh faham bahawa Raja Petra bukan nabi ketika dia menyimpulkan bahawa Anwar tidak sesuai menjadi PM. Umat boleh fahami bahawa kata-kata Raja Petra bukan titah perintah raja berdaulat. Jika berdaulat, nescaya Raja Petra tidak lari ke luar negeri, malah akan tetap menetap di negara ini.

Friday, January 20, 2012

Jika undi pos kekal, Bersih 3.0 halal!

Oleh BOESTAMAM SARI

Setelah ditipu selama 50 tahun lebih, rakyat mestilah sentiasa berawas dan selalu menumbuhkan benih-benih keraguan ke atas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) walaupun ada penambahbaikan ke atas pilihan raya itu.

Memang betul, SPR akur ke atas kehendak rakyat yang ingin kepenggunaan dakwat kekal dilaksanakan. Ya, ini langkah maju ke depan. Setelah rakyat dari pelbagai arah dan ceruk rantau sudah mengharungi beberapa ancaman bahaya yang ditimbulkan FRU di jalan raya, jadi bolehlah disebut bahawa hal ini adalah suatu kejayaan semua kita juga.

Penyair revolusioner Hassan bin Tsabit; syairnya dikuatkan Jibril a.s?

Oleh H FANSURI

Keluaran lalu ditunjukkan sikap wartawan serta penyair revolusioner yang tampil membela mahasiswa dan politikus yang membela maruah kemanusiaan sekali gus membela agama Tuhan. 

Kalau ditanya, siapa pula yang akan tampil menguatkan kaum penyair itu? Jawapannya...yang akan mengukuhkuatkan perjuangan penyair revolusioner tadi adalah sejenis bentuk tenaga rohani dan kuasa dari langit.

Thursday, January 19, 2012

Khaled Nordin juga perlu dipecat sebagai menteri

Oleh RUHI HAYATI THANI

Memang Anwar Ibrahim bebas pada 9 Januari. Tapi, pada hari yang sama, seorang siswa Upsi dihukum 'mahkamah' universiti. Adam Adli yang didakwa menurunkan bendera Najib Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra sebelum ini, kini dihukum gantung pengajian tiga semester.

Yang patut bertanggungjawab dalam hal ini adalah Khaled Nordin kerana setiap institusi pengajian tinggi berada di bawah jagaannya. Khaled tidak boleh kenakan hujah klasik kepada wartawan seperti, "Itu tertakluk di bawah keputusan universiti... saya tidak berkuasa apa-apa."

Jangan junjung al-Quran kalau tolak Hudud


Oleh RUHI HAYATI THANI

Ahli Parlimen Bayan Baru Zahrain Mohamed Hashim mengulas hal Dr Mahathir mencabar Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menjulang al-Quran bagi membuktikan bahawa Perdana Menteri itu pernah menulis surat kepada Bank Dunia sebelum ini. Rakyat tertanya-tanya, apakah benar Dr Mahathir telah meminta bantuan Bank Dunia semasa krisis kewangan pada 1999 seperti yang Anwar dakwa sebelum ini.

Soal sama ada al-Quran dijulang atau tidak, sudah tidak berbangkit lagi memandangkan Umno sendiri tidak percayakan kitab suci itu. Menolak Hudud saat ditekan MCA sudah jelas menunjukkan bahawa agama Islam ini cuma sekadar hiasan di bibir mereka sahaja.

Shahar... kenapa Aspirasi mahu Saifuddin letak jawatan?

Oleh ALI BUKHARI AMIR

Antara tempik sorak penggerak demonstrasi 16 jam di Universiti Perguruan Sultan Idris (Upsi) di Tanjung Malim pada malam tahun baru, "Aspirasi Umno diberi berhimpun di Putrajaya, tapi siswa Pakatan Rakyat tidak diizinkan berdemo."

Mereka tentu sahaja marah terhadap sikap tidak adil pihak berkuasa termasuk sikap berat sebelah polis yang merestui demo Aspirasi berlangsung aman di Putrajaya. Sebaliknya, demonstrasi siswa haluan kiri tidak dibenarkan pula.

Tuesday, January 17, 2012

Bendera Najib setaraf Union Jack penjajah British

Oleh BOESTAMAM SARI

"Saya memang sejak dari tahun 1981 kurang bersetuju dengan banyak perkara yang berlaku dalam HEP. Semasa menjadi pegawai HEP di UIAM pada 1985-1994, saya cuba sedaya upaya untuk melaksanakan sesuatu yang baru yang saya anggap benar, walaupun saya turut melakukan beberapa perkara yang sekarang saya kesali.

"Kerana itu, dalam banyak forum, saya sentiasa mencadangkan supaya diwujudkan pendekatan-pendekatan yang baru."
[Petikan tulisan Dato' Saifuddin Abdullah dalam e-book beliau; Kalau Saya Mahasiswa]

Monday, January 16, 2012

Anwar bebas, tapi kehakiman masih ditindas eksekutif

Oleh BOESTAMAM SARI
Anwar bebas! Sekali lagi, umat jangan keliru. Isunya bukan Anwar. Isunya kuasa kehakiman masih ditindas dengan kejam oleh kuasa eksekutif (kerajaan). 
Keputusan mahkamah membebaskan Anwar daripada tuduhan itu akan dimanfaatkan eksekutif, dalam membuktikan kepada rakyat bahawa mahkamah kita ini tidak dikawal oleh kerajaan.

Oleh itu, rakyat mesti dimaklumkan terus-menerus bahawa apa sahaja yang terjadi ini, tidak menunjukkan bahawa mahkamah telah pun pulih dan bebas sepenuhnya daripada cengkaman eksekutif.

Tugas penyair bela siasahwan pembela rakyat

Oleh H FANSURI

8 Januari, 2012 - 10:10 malam. Oleh sebab rumah tidak jauh dari Kelab Sultan Sulaiman, maka saya berjalan kaki sahaja. Malam itu, Sasterawan Negara Dato' A Samad Said mendeklamasi puisi untuk Anwar Ibrahim. Sajak itu tidak sempat dicatat. Hanya sempat didengar pekikan Reformasi di hujung suara.

Tidak hanya Pak Samad, malah di sini pernah didengungkan sajak W S Rendra untuk Anwar yang terpenjara. Menteri Besar Selangor Abdul Khalid Ibrahim mendeklamasi sajak Rendra saat Anwar buat pertama kali menggema seruan 'Ketuanan Rakyat' di sini untuk membantah Ketuanan Melayu tajaan Umno. Rendra pernah tampil membela Anwar dengan sajak burung rajawali.