Friday, May 13, 2011

PPSMI: Salahkah undi parti kiri? Keris Mas, Pak Sako, A Samad Ismail pun haluan kiri juga

Oleh H FANSURI

Salam revolusi, Dato' A Samad Said yang terhormat. Sekadar menyambung bualan lalu mengenai Sisyphus. Apabila pejuang bahasa itu disamakan dengan lagenda Sisyphus, maka perlu dihuraikan juga tentang cara-cara dan gaya-gaya penentangan secara politik kepartian juga.

Thursday, May 12, 2011

Utusankah yang gelar Najib Razak sebagai Pandi Kutty itu?

Oleh BOESTAMAM SARI

Terbit beberapa kemungkinan berhubung gelaran berbentuk Pandi Kutty yang dihebohkan Utusan baru-baru ini. Pertama, mungkin Anwar yang gelarkan Najib Razak sebagai pandi kutty. Kedua, mungkin Utusan yang sengaja memutarbelit isu itu sehingga kelihatan seolah-olah Anwar yang menggelarkan Najib sebagai 'anak babi' itu.

1Malaysia ancam bangsa, bahasa Melayu secara Perlembagaan?

Oleh H FANSURI

Baru-baru ini, saya menerima kiriman e-mel dan catatan aduan ringkas daripada seorang rakan yang kini sedang menyambung pelajaran di luar negara.
Maka, isi catatan itu saya sunting sedikit untuk kesesuaian bacaan umum. Beliau adalah seorang ibu yang ingin mendaftarkan kelahiran anak beliau di Jerman. Tetapi, ada sedikit kesulitan yang berlaku, iaitu nama bangsa dan keturunan anaknya tidak boleh ditulis. Berikut diperturunkan sedikit kisahnya.

Wajarkah penubuhan 'Malay Muslim Diaspora' di benua Eropah Barat?

Oleh H FANSURI

Salam revolusi. Dato' A Samad Said yang terhormat. Syukurlah saya selamat tiba di Malaya. Dari Iran ke Rome, kemudian ke Venice menuju ke Perancis dan seterusnya ke Malaya, akhirnya saya dapati bahawa kiblat kesenian itu sememangnya terkompas ke arah keindahan rupa tubuh manusia.

Wednesday, May 11, 2011

Video seks alih perhatian 'rompakan' Taib Mahmud di Sarawak?

Oleh H FANSURI

Tekaan Anwar sedikit tersasar. Beliau sangkakan tajuk muka depan Utusan pada 11 April adalah 'Anwar gagal jawab soalan'. Hal itu beliau sebutkan di dalam suatu sidang media pada 10 April lalu apabila seorang wartawati bertanyakan soalan kepadanya mengenai jam Omega.

Sunday, May 08, 2011

Di manakah protes penyair ke atas 'seni' lucah?

Oleh H FANSURI

"Semalam kulihat sebuah tari
dada montok berlenggok, gila mencari
nafsu jalang dan mata penuh berani,
dengan muzik nada liar memuncak tinggi.

Mata penonton berkisar melebar,
paha putih dalam nafsu menjalar.

Sunday, May 01, 2011

Pilihan raya lantik NC, TNC perlu disegerakan

Oleh RUHI HAYATI THANI

Barangkali, kita perlukan anjakan menyeluruh dalam sistem pengajian tinggi hari ini. Tanggungjawab memartabatkan universiti awam itu bukan hanya terpundak di atas bahu Naib Canselor seorang sahaja.

Video seks: Biar pecah di mulut, jangan 'boroi' di perut

Oleh RUHI HAYATI THANI

Datuk nenek moyang kita sebenarnya memang ahli dalam bidang-bidang dan hal-ehwal konspirasi. Sebenarnya, kalau ditelaah Sejarah Melayu Sulalatus Salatin, nescaya kita akan terserempak demikian banyaknya konspirasi-konspirasi gelap yang disusun untuk mengguling dan menjatuhkan pemerintahan watak-watak tertentu dalam sejarah lalu.

Saturday, April 30, 2011

Kalau 10 artis 'masuk' PAS selepas Bob Lokman, apakah persediaan PAS?

Oleh H FANSURI

Akhirnya, Bob Lokman dijemput ke pejabat Harakah di Jalan Pahang Barat pada 14 April lalu. Undangan kedua ini terlaksana selepas undangan pertama sebelum ini tidak dapat dipenuhi atas masalah tertentu. Maka, saya dimaklumkan beberapa teman berhubung beberapa perkara yang penting mengenai 'talk' Bob Lokman itu.

PPSMI: Tegakkan 'fatwa' lama, asuh Umno BN dengan bahasa undi

Oleh H FANSURI

Assalamualaikum. Kepada yang berbahagia Dato' A Samad Said yang terhormat. Musim ini, rakyat menuai benih syak keraguan terhadap kerajaan akibat salah semaian lewat dasar-dasar tertentu. 

Thursday, April 28, 2011

Kalau masih hidup, mungkinkah P Ramlee masuk Pas?

Oleh H FANSURI

"... Begitulah terjadi di depan mata kita, seorang seniman yang telah mengabdikan puluhan tahun usianya, bakat seninya dan titis peluhnya kepada sebuah Syarikat. Maka ketika jasadnya terbujur, dia 'dihargai' seribu ringgir cuma oleh Syarikat yang dimakmurkannya.

Hiburan adalah fitrah, bukan 'mind-set' Umno

Oleh H FANSURI

"Rasanya soalan yang lebih afdal selama ini ialah setelah Paksi dan Budayawan Bertindak dan lain-lainnya berjinak-jinak dengan Pakatan Rakyat (termasuk PAS), apakah yang telah Pakatan lakukan?

Thursday, April 21, 2011

Sebuah drama sengketa Santubong dan Sejinjang

Oleh H FANSURI

Seorang teman mengirim sms, "Apabila Najib canang rancang pelan peralihan kuasa-kuasa Taib, ini menunjukkan dia pun yakin bahawa BN di bawah Taib Mahmud selama ini adalah teruk. 

PR wajar jadikan isu yang dicanangkan Najib itu sebagai modal untuk 'back-fire', bukan hanya Taib malah BN adalah beban rakyat. Beralih kepada PR. Najib tidak payah rayu rakyat kepada dia."

Alkisahnya, baru-baru ini Najib Razak pun mencetak sebuah 'fatwa' politik baharu, iaitu beliau mengesahkan bahawa Ketua Menteri Sarawak, Abdul Taib Mahmud akan bersetuju berundur daripada jawatan yang disandang puluhan tahun itu.

Laporan akhbar tidak menyebut bilakah tarikh sebenar pengunduran Taib Mahmud itu. Cuma yang disebut, Taib akan berundur pada masa sesuai selepas pilihan raya negeri Sarawak akan datang.

Najib Razak termasuk dalam jadual rencana peralihan juga ketika beliau bersengketa dalam diam terhadap bekas Perdana Menteri sebelum ini, Abdullah Ahmad Badawi. Tetapi, drama sengketa itu tidaklah berlangsung lama kerana wujud peranan Dr Mahathir di celah-celahnya.

Bagaimanapun, agak sulit bagi Najib untuk mengusir Taib Mahmud ini. Janji ahli politik bukan seperti janji Tuhan yang menurunkan wahyu sebagai suatu pedoman. Taib Mahmud boleh berjanji berkali-kali dan ketika menunaikan janji, seperti biasa, ahli politik akan terkemut-kemut. Terpaksa pula rakyat kita jenuh berlutut.

Sengketa Najib dan Taib adalah drama sandiwara yang tidak dapat dikesan dan sulit dihebahkan kepada semua. Najib tahu dan sedar bahawa, kalau pun beliau tidak turun ke Sarawak, Taib Mahmud sudah pun dapat mengawal semua peraturan dalam pilihan raya.

Pendek kata, Najib dalam pandangan mata Taib Mahmud hanyalah seperti melukut di tepi gantang - ada tidak menambah, kalau tiada tidak pula rakyat di Sarawak itu akan terasa kekurangannya.

Tapi Najib seperti biasa. Laras bahasa akhbar akan melaporkan bahawa perubahan kepimpinan negeri itu akan dilakukan secara tersusun demi menjamin kestabilan politik Sarawak dan seluruh negara secara amnya.

Dalam drama Najib terbaru, beliau dilaporkan berkata, "Rakyat perlu bersabar dengan pelan peralihan kuasa itu dan jangan terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang sentiasa memainkan isu kepimpinan Abdul Taib yang kononnya terlalu lama mentadbir negeri ini."

"Saya sudah berunding dengan Ketua Menteri Sarawak, memang dia sudah bersetuju untuk melakukan perubahan kepimpinan di negeri Sarawak.

"Percayalah kepada saya, pada waktu sesuai, perkara (peralihan kuasa) ini akan kita lakukan,” Najib bermadah helah ketika berucap dalam Majlis Rakyat Bersama Pemimpin baru-baru ini.

Sambil menutup kelemahan Taib yang tidak disukai Najib itu, beliau berkata, bahawa isu pemerintahan Taib yang lama juga sebenarnya mirip kepimpinan ketua gabungan parti Pakatan Rakyat hari ini.

Kebodohan Najib terserlah - gagal bezakan pemerintahan 'negeri' dan 'parti'

Dalam kebodohan, Najib melalut lagi. Katanya Lim Kit Siang sudah 42 tahun di arena politik, Karpal Singh (72 tahun) dan Anwar juga sudah tua. Sama ada Najib tidak faham, cuba memperbodoh umat atau kenyataan adalah langkah percubaan awal untuk sengaja menunjukkan kebodohannya di depan rakyat. Isu Taib Mahmud memerintah negeri adalah sama seperti Ben Ali di Tunisia dan Hosni Mubarak di Mesir.

Ini bukan isu pentadbiran parti, tetapi pentadbiran negeri. Jika ditinjau tempoh pentadbiran Pakatan Rakyat di negeri-negeri yang baru mereka kuasai ini, hanyalah sepenggal. Dan, jika dihimpunkan masa pentadbirannya sekali pun, ia berbeza dengan pentadbiran BN. Peluang PR memerintah masih sedikit.

Bagaimanakah mungkin Najib Razak boleh terkeliru dan dikelirukan dengan hal seperti ini? Adakah makan rasuah mengundang kebodohan terhadap diri?

Tapi, yang paling penting di sini ialah - rakyat menunggu bagaimana bentuk rupa paras dan bentuk peralihan kuasa yang mahu didandan Najib itu. Jika tiba-tiba Taib bersilap mata dan berbolak-balik seperti Hosni Mubarak (sekejap mahu lepas jawatan, sekejap mahu dilanjut kuasa), maka kepada siapa Najib mahu 'bertawakal'?

Meminta fatwa Rosmah? Mengemis nasihat Dr Mahathir? Rakyat tahu Najib sukar mendapat tempat sebagai PM daripada Abdullah; (PM terlemah itu). Najib terpaksa angkat sembah, melutut kepada Dr Mahathir dalam rangka mengguling Abdullah sebelum ini.

Jadi, bagaimana Najib mahu guling Taib kali ini? Sesekali, Najib perlu rawat kebodohannya dengan meninjau sejarah sengketa Puteri Santubong, Puteri Sejinjang. Siapa saudara Taib yang pernah bersengketa dengannya? Tentu Abdul Rahman Yaakob. Jadi, Najib perlu jalankan kerja jahatnya untuk guling Taib jika mangsanya berdegil meninggalkan jawatannya.

Tidak perlu dilanjutkan semua formula untuk guling Taib. Bukankah beliau berpengalaman mengguling kerajaan PR Perak dan Abdullah Ahmad Badawi?

Rakan saya mengirim sms kedua berhubung kenyataan Najib berhubung peralihan kuasa Taib itu - "Jadikan lagu Sayang Semuanya Sudah Terlambat' (Shidee) sebagai lagu tema kempen PR. Pasti gelabah Najib!"

Saya fikir, selain itu perlu ditambah satu lagi lagu tradisional - Puteri Santubong, Puteri Sejinjang sebagai formula untuk Najib gulingkan Taib.

Wednesday, April 20, 2011

PR perlu dokong agenda Revolusi 2013 dan bloggers revolusioner

Oleh H FANSURI

Pemukiman bloggers revolusioner di Ampang baru-baru ini menyuntik iltizam dan semangat baharu terhadap perjuangan bloggers selama ini. Apatah lagi pada sebelah malamnya diisi dengan saranan Dr Abu Hassan Hasbullah mengenai rancangan menggerakkan Revolusi 2013.

Friday, April 15, 2011

Hubungan video seks Carcosa dan dengan April Fool (warisan Firaun)

Oleh H FANSURI

Ketika menulis ini, masyarakat Barat menyambut pesta April Fool. Dalam sejarah yang diketahui umum, April Fool terjadi di Granada, Sepanyol pada 1487 selepas beberapa daerah jatuh dalam genggaman Crusaders. Granada adalah wilayah terakhir yang mereka ingin takluki. Umat Islam di Sepanyol (kaum Moor) terpaksa bersembunyi di rumah demi keselamatan diri.

Thursday, April 14, 2011

Video Seks: Niat cendekia Umno yang meragukan

Oleh H FANSURI

Antara ahli-ahli Umno ini, kita lebih suka berdebat dan berbahas dengan elit Umno dan bukannya dengan Umno bawahan yang tiada pemikiran. Dengan ahli Umno kelas atasan dan berpendidikan tinggi inilah, saya secara peribadi suka berdebat kerana kita akan lebih berpuas hati. 

Mereka mungkin fokus topik-topik tertentu, tersusun debatnya dan kalau mereka jujur dan ikhlas, mungkin juga kita boleh mencapai kesepakatan.

Arakian, ada seorang cendekia Umno yang menitipkan pesannya di status FB, menyeru orang ramai supaya tidak masukkan video seks tersebut ke dalam Facebook. Tapi, beliau juga menyepi apabila Utusan menyiarkan tiga keping gambar yang diambil daripada Youtube itu untuk disiarkan di halaman depan Utusan pada keesokan harinya. Facebookers adalah peribadi, tapi Utusan itu institusi. Kenapa perlu ada 'double-standard' dalam urusan menegur?

Dan cendekia Umno itu juga, ketika menyeru orang-ramai supaya tidak menyiarkan gambar dan video seks (yang kononnya Anwar) itu di FB, tetapi dalam masa yang sama, beliau juga sudah menyiarkan video ceramah Youtube berhubung ucapan seorang ustaz yang menyeru agar penguasa yang terjebak di dalam kancah penzinaan tidak dilantik sebagai pemimpin.

Saya termenung lama juga memikirkan sikap dan pendirian cendekia Umno ini. Beliau ini rakan saya ketika bergelumang dalam gerakan siswa. Saya tipu kalau saya tidak berasa marah. Bagaimana seorang pemimpin sebuah gerakan pelajar suatu ketika dahulu dan pernah menemui Anwar, dengan tiba-tiba boleh beralih arah dan haluan perjuangannya dengan begitu mudah?

Kami pernah berkereta sekali ke rumah Anwar di Damansara dan telinga saya merakam bualannya dahulu betapa beliau memuja dan mendokong Anwar. Tiba-tiba, ketika banyak sudut digunakan Umno untuk menghentam Anwar, maka beliau tiba-tiba turut ikut terjebak sama ke dalam lubang biawak yang digali oleh cangkul Umno itu.

Berkaitan video ceramah seorang ustaz berhubung seorang pemimpin tidak patut diangkat sebagai pemimpin itu, saya fikir ceramah itu ditujukan kepada insan politik seperti Chua Soi Lek. Pemimpin MCA itu memang jelas dan terang-terang berzina dalam video klip sebelum ini.

Anwar kini masih belum disabitkan sebagai individu 'boroi' dalam video seks itu. Jadi kenapalah rakan saya cendekia Umno ini terlalu melulu meletakkan sebuah video klip ceramah agama itu ketika debat video seks itu masih riuh dan heboh?

Video klip ceramah agama yang menyeru agar penzina tidak dilantik sebagai pemimpin ini, telah pun beliau apungkan di FB, seolah-olah cendekia Umno ini mahu mengirim isyarat kepada orang-ramai bahawa jangan pilih pemimpin yang ada kes zina (hal itu ditimbulkan ketika rakyat riuh membahaskan kes video seks Dato' T itu).

Niat beliau merujuk ucapan penceramah agama itu kepada siapa sebenarnya? Anwar atau pun Soi Lek? Dalam pusingan pertama, beliau mengapungkan kenyataan di FB bahawa setiap orang tidak boleh pihak menyiarkan rakaman video seks Dato' T itu.

"Ingatlah pesan Nabi, sesiapa yang menayangkan aib manusia lain di dunia, maka Allah s.w.t akan dedahkan aib mereka di akhirat kelak," lebih kurang begitulah titipan pesannya di FB dengan sedikit gubahan kata daripada saya.

Alangkah memenatkan, dan betapalah malangnya apabila seorang cendekia yang punya gelar Prof Madya dengan tiba-tiba boleh turut ikut sama dijebak dalam kawah kemunafikan dan lubang kefasadan yang disediakan oleh Dato' T yang tiada latarbelakang akademik yang tinggi itu.

Jikalau dia terbaca coretan ini, harap-harap beliau sedar kritikan ini memang tercurah kepadanya. Tidaklah sama kritik akademik ke atas Anwar berkaitan faham Plularisme dengan kritikan Umno (melalui Utusan) ke atas Anwar dengan menggunakan maudhuk yang sama; Pluralisme.

Tiba-tiba, cendekia Umno ini juga tergamak menyebut di FB lebih kurang, "Tahniah kepada Najib Razak kerana punya sikap yang jelas ke atas Pluralisme. Di manakah pula suara-suara PAS termasuk NGO Muslim lain terhadap faham Pluralisme yang dipegang oleh Anwar ini?"

Di sini, sudah nampak bahawa teguran ini pun sudah berbau politik kepartian dan bukan diapungkan dengan kedudukan beliau sebagai ahli akademik. Di sini, telah kelihatan bagaimana beliau menjulang Najib Razak dan mengkritik Anwar kerana faham Pluralisme itu. Agak-agaknya, jujurkah teguran seperti ini? Kedudukan Pluralisme masih juga di peringkat khilaf dan masih banyak pendapat yang sedang dilagakan berkaitan Pluralisme ini.

Seandainya pendirian Anwar salah, maka itu sekadar pendapat. Fatwa ulamak misalnya, jika salah sekali pun, masih ada pahalanya sedangkan kesilapan dalam berfatwa itu diampunkan Tuhan. Anwar bukan mufti, tetapi pendapat beliau yang salah itu bukanlah tidak boleh diperbetulkan.

Syahadan, cara Utusan Umno membidas Anwar dengan video seks Dato' T dan isu Pluralisme itulah yang mesti difahami dengan sebenar-benarnya. Niat teguran Utusan Umno tidak jujur dengan memperbodoh para pembaca dan bidasan mereka ke atas isu-isu akademik pun bersalut faham kepartian. Sekali lagi, betapa malangnya sebab cendekia Umno ini melebihkan sudu politik dibandingkan kuah akademik!

Nak bakar Utusan Malaysia kali kedua? Bila? Di mana?

Oleh H FANSURI

"Saya sebagai pembayar cukai tidak bersetuju dengan penubuhan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat video seks ini. Tiada signifikan langsung. Kalaulah betul-betul itu adalah Anwar, apa masalahnya? Dia bukan menteri atau penjawat awam yang boleh dipecat.

Sunday, April 10, 2011

Kes liwat menguji keimanan umat terhadap Tuhan

Oleh H FANSURI

"Anwar masih lagi tegas mempertahan prinsip Pluralisme. Tahniah Najib kerana menyanggah faham sesat itu,"
kata seorang ahli akademik Umno dalam satu catatannya di Facebook. 

Video seks: Maruah Umno jauh lebih buruk dibanding parti lain

Oleh H FANSURI

Di dunia ini, dikatakan ada kira-kira tujuh orang yang berwajah serupa dengan kita. Ini cakap orang-orang tua masa dahulu. Kita juga pernah mendengar pepatah, "Pelanduk dua serupa."

Siswa biadap bersebab, belajarnya secara mencabar (SH1, 290311)

Oleh ALI BUKHARI AMIR

Apakah tugas pelajar hari ini hanya terhad kepada urusan belajar semata-mata dan melibatkan diri dengan kegiatan kemahasiswaan anjuran universiti? Suatu ketika dahulu, program Bakti Siswa hanya dikendalikan oleh mahasiswa itu sendiri.