Friday, January 28, 2011

Selepas Interlok dibakar, debat DKK dan PPSMI juga masih bergelora!

Oleh H FANSURI

Pada 16 Januari lalu, saya dijemput Persatuan Penulis Nasional (Pena) bagi membahas hal-ehwal yang terkait dengan permasalahan Dasar Kebudayaan Kebangsaan. 

Dalam simpang-siur sengketa antara kabilah nasionalis Universiti Malaya dan kabilah sosialis Universiti Kebangsaan Malaysia, hal sekolah satu aliran (Wawasan) masih juga tidak boleh diselesaikan.

"Apa jaminan bahawa, jika sekolah satu aliran ini dikembangkan, maka perpaduan akan tercapai?" tanya salah seorang daripada lulusan sosialis itu. Hal ini kemudiannya berkembang sebagai ombak pertikaian yang lebih luar biasa ketika seorang mahasiswa Cina UKM campurtangan dalam debat tersebut.

Demikianlah cerita suatu pagi di Rumah Pena dalam acara Dialog Orang Muda itu. Formula dan rumusan yang tercetak itu bukan wahyu ilahi dan sabda nabi, suhuf terkini yang boleh menerangkan dan mencerahkan sekali gus memutuskan kedudukan hukum-hakam yang lebih afdal buat kelompok itu.

Akhirnya, saya sekadar berpesan, "Bacalah Buku Jingga Pakatan Rakyat dan 'Buku Biru' Barisan Nasional dan undilah pihak mana yang terbaik untuk kita berikan mandat kepada mereka dalam urusan pendidikan negara."

Ya, itu bukan rumusan terbaik, wahyu Tuhan dan  sabda nabi. Tetapi jika masuk ke hutan mencari rotan, pesan orang tua budiman, maka tiada rotan yang dicari, maka akar pun jadi. 

Sekarang, marilah kita bicarakan suatu hal yang yang lama, tetapi tidak kalah pentingnya, iaitu syor meneruskan PPSMI dalam sistem pembelajaran sebagai suatu pilihan ('option').

Mansuh PPSMI bukan pilihan, Hari 152 mesti diingati semula
Pada 16 Januari lalu, tersiar laporan berita berjudul, 'Page To Submit Memorandum On PPSMI To Prime Minister'. Kumpulan The Parent Action Group for Education (Page) dikatakan akan menyerahkan memorandum kepada Najib Razak pada Rabu (19 Januari).

Antara isi memorandum tersebut - menyeru agar sekolah kebangsaan di negara ini diberi pilihan untuk meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris itu.

Pengerusi Page Noor Azimah Abdul Rahim berkata, Page juga sedang mencari sokongan ibu bapa yang menyokong PPSMI untuk menjadikannya sebagai pilihan di sekolah-sekolah.

Dalam kenyataannya, beliau menyeru ibu bapa di Malaysia untuk mendaftar Page dan berharap semoga dengan penyertaan yang lebih ramai ini, hasrat kumpulan itu akan menjadi kenyataan.

Kali terakhir sejak kita dengar Muhyuddin Yassin berikrar akan memansuhkannya pada 2012, maka kita tentu teringat bahawa PPSMI itu akan digantikan dengan suatu dasar baharu, iaitu 'Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasakan Bahasa Inggeris' (MBMBI) pada 2011.

Maka, sebagai yang dijanjikan pada 16 Januari, badan itu benar-benar mencapai hasrat mereka menemui Najib Razak untuk menyerahkan memorandum itu. Bernama pada 19 Januari melaporkan bahawa Page mengulangi syor agar (PPSMI) dijadikan pilihan di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan.

Tambah Noor Azimah, Page berharap Najib Razak akan membawa resolusi persatuan itu untuk dibincang semula oleh kabinet kerana hal itu adalah untuk kebaikan kanak-kanak.

PPSMI, diperkenalkan pada 2003 ketika Dr Mahathir menjadi perdana menteri. Alasan PPSMI diwujudkan ialah supaya meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar dalam bidang sains dan matematik. Namun pada 2009, Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Pelajaran sudah mengumumkan pemansuhan dasar itu berkuatkuasa 2012 setelah rakyat bersuara di jalan raya bagi memansuhkan dasar tersebut.

Namun, suatu hal yang lebih afdal untuk kita renungkan bersama, kenapakah bagi sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, Menteri Pelajaran, kerajaan membenarkan sekolah aliran itu menggunakan bahasa ibunda masing-masing bagi pengajaran dan pembelajaran dua subjek tersebut?

Mengakhiri ucapannya kepada pemberita, Noor Azimah berhujah bahawa keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) baru-baru ini, telah menunjukkan peningkatan memberangsangkan dalam mata pelajaran Sains, Matematik Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.

"Jadi, sebenarnya apa yang difahami oleh orang yang menentang PPSMI yang mengatakan Bahasa Melayu akan ditindas, sebenarnya tidak betul," kata beliau lagi.

Nampaknya Pena, Gapena dan rakyat perlu bekerja lebih keras kerana kumpulan Page tidak faham kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi yang patut menjadi bahasa pembelajaran di sekolah.

Andaian Page masih tertakluk kepada keresahan palsu; 'rakyat tolak PPSMI kerana risau anak mereka tidak mencapai keputusan baik dalam peperiksaan'. Sebenarnya, PPSMI membabitkan maruah bangsa negara.

Mungkinkah masih ada kapitalis yang masih mengaut keuntungan mencetak buku teks PPSMI? Pada mereka, tidak mengapa PPSMI dimansuhkan, tetapi beri sedikit ruang agar PPSMI dijadikan 'option' agar dapat dicetak buku teks sebagai modal keuntungan berganda?

Kepada para pejuang bahasa, jangan dilupakan sambutan Hari 152 (hari pejuang bahasa) pada 15 Februari setiap tahun. Semoga kita tidak lupa sumpah lafaz ikrar sendiri.

Malang bertimpa-timpa ke atas bahasa Melayu. Kecelakaan berlaku tiba-tiba setelah Muhyiddin selaku Menteri Pelajaran menerima American Peace Corps tajaan Hillary Clinton yang menawarkan bahasa Inggeris USA ketika negara sudah menerima bahasa Inggeris piawai, 'standard', fus'ha, baku sejak kita mengirim guru-guru ke Kirby di England.