Monday, January 07, 2013


Tahun Baru, antara ‘azam’ dan ‘muhasabah’

Oleh H FANSURI

"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memerhatikan apa yang diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan." (Al-Hasyr, ayat 18)

Ayat di atas menerangkan kedudukan pentingnya fungsi muhasabah dan tahun baru ini, ramailah yang bermuhasabah mengenai buruk baik amalan mereka sepanjang tahun. Lazimnya orang akan banyak berbicara tentang azam dan jarang bermuhasabah, walhal kedua-duanya amat erat sekali.

Syahadan, setelah kita jauh merenung unsur Islam yang mungkin hadir dalam karya Kristian; A Christmas Carol sempena Hari Natal, kita beralih pula kepada serpihan ciri Islam dalam budaya Barat, iaitu Tahun Baru. Berdasarkan sejarahnya, kalendar ini bermula dari Rom.

Berdasarkan sejarah asal, acara Tahun Baru disambut pada 15 Mac menurut kalendar Rom purba sebelum ditukar ke 1 Januari 153 sebelum Masehi. Perubahan ini terjadi apabila dua konsul yang memberi nama mereka pada kalendar itu telah dilantik pada tarikh itu atas sebab ketenteraan.

Jelaslah bahawa sambutan kita ini berdasarkan semangat Rom Barat purba yang asal. Kini, Barat terima 1 Januari sebagai Tahun Baru. Dan kita gunakan Gregory yang raikan 1 Januari-seminggu selepas Krismas pada tahun sebelumnya. Jadi kaitan Tahun Baru dengan Krismas memang ada.

“We wish you a Merry Christmas and a Happy New Year,” demikian lirik lagu ini dinyanyikan.

Tahun Baru juga adalah hari suci bagi pengikut kalendar Julian termasuklah para pengikut gereja Ortodoks Timur. Sementara itu, ada sesetengah pihak yang menyambutnya pada 14 Januari.

Tahun baru adalah juga hari jamuan keagamaan. Tapi sejak 1900-an ia menjadi sambutan malam 31 Disember, atau malam Tahun Baru dengan pertunjukan bunga api diadakan di tengah malam.

Akhirnya, Barat telah menjadikan 1 Januari sebagai hari bermuhasabah secara tidak sengaja bagi meninjau kembali perilaku dunia sepanjang tempoh mereka mentadbir (meruntuhkan) dunia ini.

Lalu, kita pun ikut sama mengingati peristiwa tahun lalu menerusi radio, televisyen, dan akhbar. Di Barat, amalan ‘rencana muhasabah’ ini dibuat selepas Hari Krismas. Tapi, kita tidak mulakan budaya ‘rencana muhasabah’ selepas Zulhijjah selesai haji saat menuju Hijrah pada Muharam.

Barat melakukan ‘rencana muhasabah’ dengan akhbarnya menerbitkan rencana akhir tahun yang meneliti kejadian tahun lalu. Isu-isu yang sering ditulis termasuk politik, bencana alam dan nama orang kenamaan yang meninggal dunia sebelum ini. Di samping itu, ada juga ‘rencana azam’.

Rencana ini ditulis bagi mencadangkan perubahan yang akan dirancang pada tahun depan seperti menegakkan perundangan baru yang selalunya berkuat kuasa mulai 1 Januari. Tapi tabiat budaya baik yang digerakkan oleh pengamal media Barat ini tidak dilaksanakan pengamal media kita.

Yang ada, kita menyerap unsur kebatilan dalam Tahun Baru seperti menggalakkan berfoya-foya di Dataran Merdeka dan seribu satu amalan kebatilan. Kita menanggalkan ‘ciri keislaman’ Tahun Baru tajaan Barat. Semua ini tajaan BN dan semoga ia terhenti setelah Najib Razak digulingkan.

Sebenarnya ajaran Islam membawa isi fikiran yang jauh lebih lengkap dibanding Barat dalam hal ‘muhasabah’ dan ‘azam’. Kita kurang bermuhasabah, merenung keburukan pada masa lalu dan kurang berazam, bersumpah berikrar untuk memperbaiki diri ke arah jalan yang diredhai Allah.

Walhal, muhasabah dan azam kita bukanlah tahunan, malahan harian. Rasulullah s.a.w bersabda, "Mereka yang hari ini lebih baik dari kelmarin sesunguhnya dia beruntung, sesiapa yang hari ini sama dengan kelmarin, sesungguhnya dia rugi. Dan sesiapa yang hari ini lebih buruk dari hari kemarin, maka sesungguhnya dia terlaknat." (ad-Dailami)

Malangnya, kita bersifat kebendaan. Jikalau ditanya azam tahun baru maka dijawab, “Akan ada kereta mewah, rumah besar dan…” Jika ditanya Najib Razak, mungkin selepas muhasabah hal pembongkaran kes Altantuya, komisen kapal selam Scorpene, maka beliau berazam untuk terus menang pilihan raya agar terus kekal di Putrajaya bertujuan menindas rakyat jelata.

Dan, kiaskanlah hal ini dengan Rosmah pula. Mungkin lebih banyak beg tangan dan cincin yang akan dikautnya. Masyarakat kebendaan akan menaikkan pemimpin yang bersifat kebendaan. Jadi azam kita sepatutnya bernilai mengasuh umat agar lebih cintakan akhirat dibanding keduniaan.

Suatu masa, khalifah Umar al-Khattab berpesan, "Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab (di akhirat), dan timbanglah amalan diri kamu sebelum ditimbang di akhirat. Pada hari itu, kamu akan dihadapkan kepada pemeriksaan, tiada yang tersembunyi dari amal kalian sedikit pun."

Khabarnya, ketika Umar melihat umat mula cintakan dunia, lalu mereka dikerah ke masjid. Lalu, di sana mereka ditanya dengan soalan kubur hingga mereka menangis. Umar ketika memerintah pernah bertanya para pegawainya, “Min aina laka haza?” (Dari mana kamu dapat semua ini?).

Inilah tugas pemerintah, iaitu sentiasa mengingatkan dan membantu rakyatnya bermuhasabah. Di sini, kita juga boleh membangunkan pertanyaan-pertanyaan muhasabah kepada Najib Razak.

Ayuh mulakan budaya Tahun Baru secara terhormat dengan muhasabah diri, politik kepartian, politik negara dan politik rumahtangga. Setelah muhasabah sepanjang tahun tentang dosa Najib Razak maka sebagai revolusioner kita perlu menyalakan unggun api keazaman Tahun Baru 2013 kali ini dengan menggulingkan kezalimannya di Putrajaya!