Friday, February 01, 2013

Asabiyah dan Gagasan Pengislaman Kebudayaan


Oleh H FANSURI

Ketika burdah, berzanji dan marhaban mula memasuki ke ruang daerah Alam Melayu, bangsa ini cuma terbatas kegiatannya dengan menyanyi-nyanyi dan menyebut nama nabi dengan berselawat kepadanya. Ada sesuatu yang lebih berat daripada itu selepas pengislaman Alam Melayu.


Iaitu usaha menyingkir habis kezaliman ke dalam jiwa kita sendiri. Itulah iman dan Islam penuh, total, lengkap dan sempurna. Baginda Rasulullulah s.a.w pernah bersabda:-

“Bukan dalam kalangan kami (laisa minna) yang menyeru ke arah Asabiyah, dan bukan kalangan kami yang berjuang dan mati kerana menegakkan Asabiyah.


Lalu, para sahabat pun bertanya, “Apakah Asabiyah itu ya Rasulullah?”

Nabi bersabda, “Asabiyah adalah menolong kaummu atas dasar kezaliman. (Muttafaqun ‘alaih).

Masyarakat hari ini adalah masyarakat yang zalim termasuklah masyarakat Muslimin itu sendiri. Paling rendah adalah hal kezaliman yang turut dikenakan terhadap diri sendiri. Kita mengangkat penguasa yang zalim dengan undi kita misalnya, adalah contoh menzalimi diri kita sendiri.

Akibatnya, kezaliman sudah mula mengakar dan membudaya dalam masyarakat. Maka, ruangan seni dan budaya itu sebenarnya tidak boleh dibataskan hanya dengan kegiatan kebudayaan, puisi, pesta-pestaan dan tarian sahaja, tapi turut melibatkan gerakan berfikir di peringkat dalaman juga.

Misalnya, jika disebut Budaya Ilmu, adakah tergambar di dalam benak fikiran kita mengenai satu gerak tari zapin dan acara deklamasi puisi? Mungkin acara seminar, bengkel, kolokium dan acara himpunan untuk mencegah kezaliman BN juga terangkum dalam sebaris kata Budaya Ilmu itu.

Jadi, budaya dan kebudayaan tidaklah boleh disempitkan dengan kegiatan yang selama ini dilihat sebagai acara yang dimonopoli anak-anak seni sahaja seperti pementasan teater dan lain-lainnya.

Oleh yang demikian, kesemua kita terlibat dalam usaha menerbitkan budaya yang sihat. Dan hal pembentukan budaya yang sihat itu melibatkan kepenggunaan bahasa yang baik. Kerana, bahasa yang baik akan membentuk akhlak dan sikap yang baik juga tentunya.

Hal inilah yang diperingatkan oleh baginda Rasulullah s.a.w sendiri, “Hanyasanya aku diutuskan bertujuan menyempurnakan akhlak.”

Rakyat juga harus faham bahawa pengislaman kebudayaan yang rosak hari ini berpunca daripada kesedaran rakyat sendiri bahawa ‘kebudayaan kezaliman’ telah menular dengan begitu hebatnya.

Kezaliman (asabiyah) pun menjadi kebudayaan dan sesuatu yang dianggap sah dan tidak apa jika diri mereka dizalimi. Jadi, cara mengislamkan kebudayaan kezaliman ini adalah dengan cara kita menyalakan sumbu pengetahuan di dalam bidang kesenian.

Hal ini kerana, masyarakat terdedah kepada lagu, drama, televisyen setiap hari. Kita juga perlu memberi perhatian ke atas burdah, berzanji dan marhaban yang juga sebahagian daripada acara kebudayaan Melayu Islam yang terawal. Agak aneh jika diperhatikan betapa acara ini terpinggir.

Malahan agak aneh jika ditinjau betapa Dikir Barat boleh dinyanyikan di stesen penyiaran, tetapi acara burdah, marhaban dan berzanji ini tidak dihidupkan di televisyen kerajaan; RTM.

Kita wajar bertanya, “Sudah terhentikah Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam?”

Kalau Dikir Barat boleh dimasukkan sekitar seminit dua, lalu apakah yang menghalang kerajaan daripada menyiarkan acara berzanji, burdah dan marhaban ini?

 Lagi pula, bacaan selawat, burdah, berzanji dan marhaban ini dapat menghidupkan nafas agama, dapat menyalakan rasa kasih dan menyuburkan kecintaan terhadap baginda Rasulullah s.a.w.

Di pusat-pusat pengajian tinggi pula misalnya, kita boleh menjadikan acara burdah, berzanji serta marhaban ini sebagai kokurikulum selain latihan gamelan. Kita tertanya juga, adakah berzanji, burdah, marhaban ini sudah menjadi bahan kuliah di fakulti pengajian Melayu?

Demikianlah masih banyak persoalan yang belum disingkap. Jika kita boleh membawa semua ini ke ruang IPT, maka kezaliman Asabiyah yang merebak bagai budaya itu dapatlah ditumbangkan. Sekali lagi, pengislaman kebudayaan bermatlamat penolakan ke atas kezaliman dan penindasan.