Sunday, January 15, 2012

Politik kampus perlu berani pecat NC korup

Oleh RUHI HAYATI THANI

Tertekannya politik kepartian dan tertekannya politik kampus itu lebih kurang sama dan bukan sedikit berbeza juga. Politik kepartian itu misalnya nampak jelas usaha memecat dan menggulingkan seseorang daripada jawatan yang disandangnya. Tetapi, politik kampus tidak kelihatan sebegitu.

Contoh termasyhur adalah Shahrizat Abdul Jalil telah meraih sokongan Muhyiddin Yassin yang menyifatkan beliau tidak terlibat secara langsung di dalam skandal itu. Tapi ahli parlimen Umno; Bung Mokhtar Radin dari Kinabatangan dan Abdul Ghapur Salleh (Kalabakan) masih tuntut agar Shahrizat berundur.

Kalahkan Umno dengan amalan integriti

Oleh BOESTAMAM SARI

Persoalan integriti (ketelusan) yang dibangkitkan Timbalan Presiden PAS Haji Mohamad Sabu pada awal bulan Disember ini sangat baik direnung setiap pendokong jemaah Islam. 

Ini kerana, semangat integriti itulah yang menjamin kedudukan pendokong jemaah Islamiyah agar ia mirip pentadbiran baginda Rasulullah s.a.w. Namun, kata beliau, pemimpin bukan Islam hari ini agak lebih maju ke depan ketika membicarakan hal integriti itu.

"Pelajar Timur Tengah adalah yang paling kurang berbincang tentang isu-isu yang membabitkan permasalahan integriti," kata beliau, sambil menyifatkan negara Sweden sebagai antara negara yang menjunjung nilai-nilai integriti di dalam pentadbirannya.

"Ketika ditanya kepada Rashid Ghannouchi mengenai contoh negara yang ingin diikutinya, maka beliau menyebutkan Sweden, padahal Sweden itu bukan negara Islam," tambah beliau lagi.

Persoalan membezakan PAS dengan Umno ini tidak hanya boleh diukur melalui amalan lahiriah yang boleh nampak saja tetapi mesti juga disukat dengan bawaan sikap dan akhlak. Hal inilah yang tercerna dalam sebuah sabdaan Nabi s.a.w, "Sesungguhnya aku dibangkitkan untuk kemuliaan akhlak".

Jika persoalan akhlak pemimpin jemaah Islamiyyah sudah mirip kepada Umno khasnya dalam soal ketiadaan sifat integriti maka umat akan menjadi lebih mudah dikelirukan dalam persoalan memilih kepemimpinan itu kelak.

Untuk membahaskan dengan lebih lanjut persoalan integriti ini, maka pada awalnya kita mesti sedar bahawa kalimat integriti ini sebetulnya berasal dari istilah bahasa Inggeris yang membawa erti keutuhan daripada semua segi yang baik.

Manakala, dalam bahasa Melayu pula, integriti itu pada kebiasaannya menjurus ke arah perwatakan seseorang. Sementara itu, makna integriti mengikut Kamus Dwibahasa DBP (1985), adalah kejujuran dan ketulusan; kesempurnaan; keutuhan.

Jadi, daripada makna yang didapati daripada kamus di atas, maka integriti boleh dikatakan sebagai sifat jati diri yang turut merangkumi nilai keikhlasan, keterbukaan, ketelusan, amanah, benar, berpegang kepada prinsip, tidak mudah dipengaruhi, boleh dipercayai, boleh dipegang cakapnya dan lain lagi.

Maka, salah satu modal awal ke arah pembinaan generasi baharu PAS yang lebih banyak menyuluh persoalan integriti ini ialah dengan cara mewujudkan lebih banyak usrah yang menekankan pembacaan silibus buku-buku berhubung amalan integriti itu sendiri.

Atau wacana-wacana dan bengkel mengenai integriti dan ketelusan mestilah diperbanyakkan oleh sayap-sayap dalam PAS seperti Pemuda, Muslimat dan Ulamak. Atau, dalam kata lain, persoalan menjunjung integriti ini perlu dirayapkan di peringkat bawahan dan akar umbi.

"Kalau tidak, saya bimbang kita akan benar-benar menggantikan Umno,"
kata Mohamad Sabu berjenaka. Memang, hal itulah yang mungkin berlaku, iaitu Umno hilang integriti jika mahu disemak kelaku jahat mereka di mahkamah dan di dada akhbar. Semoga PAS tidak meniru Umno yang sifar integriti itu.

Persoalan pemerintahan Islam yang tiada integriti ini bukanlah tidak pernah terjadi pada masa yang silam. Contoh-contoh klasik memang ada, contohnya pembinaan Taj Mahal. Itulah lambang dan contoh kepenggunaan dana awam untuk permaisuri Mumtaz Mahal daripada Raja Shah Jehan.

"Tidak cuma Taj Mahal, malah khalifah Islam dahulu ada ratusan gundik," tambah Mohamad Sabu lagi. "Cuba bayangkan, kalau setiap gundik mereka itu, rupa parasnya seperti Aishwarya Rai dan Zeenat Aman. Tentulah huru-hara rakyat nantinya."

Inilah antara ramuan dan rempah ratus perbincangan dalam bengkel tersebut. Walaupun kata-kata jenaka itu dilantunkan oleh Timbalan Presiden namun yang seriusnya, cukai daripada dana awam itulah yang diambil untuk membina bilik-bilik untuk para gundik dan perempuan simpanan khalifah itu.

Ditinjau daripada sudut agama pun, hal menyimpan gundik itu pun sudah terlarang. Apatah lagi dengan menyalahgunakan dana awam, harta rakyat bagi tujuan peribadi? Ke arah manakah Islam jenis ini akan memacu perkembangan akliah dan memajukan amalan umatnya?

Adakah rakyat ingin meniru zaman khalifah di India yang memiliki Taj Mahal yang memiliki ratusan gundik? Adakah pemerintahan Islam di Malaysia akan kembali kepada zaman-zaman gelap kerana menerima pemerintah seperti Mu'awiyah dan Shah Jehan?

Atau, pemerintahan Islam pada masa depan akan beralih ke arah pemerintahan ala Rasulullah atau setidak-tidaknya pemerintahan para sahabat unggul?

Saya secara peribadi berfikir, semua hasrat murni menjunjung integriti ini akan tercapai, asalkan setiap ahli PAS menyimpan hasrat ke arah meningkatkan wacana berkumpulan dalam hal mengkaji kelemahan diri termasuk para pemimpin atasan PAS sendiri. Ya, hanya dengan cara pelaksanaan integriti, maka Umno tewas dengan bersih!