Sunday, January 15, 2012

Politik kampus perlu berani pecat NC korup

Oleh RUHI HAYATI THANI

Tertekannya politik kepartian dan tertekannya politik kampus itu lebih kurang sama dan bukan sedikit berbeza juga. Politik kepartian itu misalnya nampak jelas usaha memecat dan menggulingkan seseorang daripada jawatan yang disandangnya. Tetapi, politik kampus tidak kelihatan sebegitu.

Contoh termasyhur adalah Shahrizat Abdul Jalil telah meraih sokongan Muhyiddin Yassin yang menyifatkan beliau tidak terlibat secara langsung di dalam skandal itu. Tapi ahli parlimen Umno; Bung Mokhtar Radin dari Kinabatangan dan Abdul Ghapur Salleh (Kalabakan) masih tuntut agar Shahrizat berundur.

Shahrizat terhadap dengan desakan ini. Beliau berterusan menolak dakwaan bahawa beliau terbabit dengan syarikat kelolaan suaminya Mohamad Salleh Ismail, sekali gus menegaskan bahawa beliau tiada kaitan apa-apa pun dengan NFC itu.

Kekecohan tidak hanya ditimbulkan oleh kalangan Umno, malahan kaum wartawan pun mengasaknya dengan pertanyaan di Dewan Negara baru-baru ini, berhubung desakan ramai pimpinan Umno yang mahu beliau berundur. Beliau tidak menjawab apa-apa sebelum meninggalkan ruang Dewan Negara itu.

Begitu juga saat berlangsungnya perhimpunan agung tahunan Umno baru-baru ini. Shahrizat tidak menjawab soalan berkaitan NFC, selepas dia menyelar Rafizi dan Zuraidah lewat ucapan beliau itu.

Sebetulnya ramai orang Umno yang tidak berpuas hati kerana dalam isu NFC ini, keluarganya diberi pinjaman mudah RM250 juta dari kerajaan. Tapi wang tersebut dibelanjakan dengan membeli kondominium dan kereta mewah sekali gus berlibur ke luar negara.

Apakah nasib dan kesudahan Shahrizat ini? Jika Najib dan Muhyiddin masih mendokongnya sebagai Ketua Wanita. Maka, ini alamat baik untuk PR untuk menjadikan isu ini sebagai alat berkempen dalam rangka menggulingkan Umno menjelang pilihan raya umum akan datang.

Kita tinggalkan cerita politik kepartian Umno yang melibatkan Shahrizat ini. Di universiti pula, terjadi kegemparan. Mereka gelar kegemparan ini sebagai flashmob. Gerakan ini menyarung seruan 'bebaskan akademik'. Gempar di kampus ini dibangunkan untuk membantah rintangan akademik yang semakin parah. Gangguan di dalam universiti ini mempunyai sejarah panjang juga.

Tapi gempar ini memuncak berikutan gelora yang membadai sudut Pidato di UiTM Shah Alam. Sebelum ini, ada desas-desus mengenai Sudut Pidato yang dikatakan mahu dijanakan di UKM. Bagaimanapun, para pemidato diminta menyerah transkrip pidato mereka kepada HEP terlebih dulu untuk disemak.

Inilah punca asal-muasal flashmob. Mereka yang ingin berpidato pula dihalang HEP setelah dihalalkan oleh kerajaan. Setelah memendam dendam terlalu lama mereka akhirnya memilih Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) bagi menuntut kebebasan akademik.

Khabarnya, bantahan secara senyap ada jua dilaksanakan di KL Sentral. Mereka memakai topeng muka sebagai gimik kebebasan akademik yang disekat.

Gangguan ini bercampur aduk antara UKM, UIAM termasuklah di UM. Baru-baru ini misalnya, ada sekatan HEP Universiti Malaya (UM) pada acara Debat Akta Undang-undang Kolej dan Universiti yang diadakan di kampus itu.

Untuk tahap awal, boleh dikatakan mahasiswa ini telah berjaya kerana 'flashmob' ini berhasil meraih sokongan dan dokongan daripada seluruh pakatan pelajar yang bernaung di bawah Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM).

Apa pun yang mereka lakukan, saya ucapkan tahniah. Tapi, di peringkat awal tadi, ketika kita membangkitkan isu Shahrizat dengan lembu NFC beliau itu, maka yang terkurung di fikiran kita adalah persoalan desakan Umno sendiri yang menyeru Shahrizat meletakkan jawatannya. Itu cerita politik kepartian.

Politik kepartian tidak sama dengan politik kampus melainkan dengan sedikit sebanyak persamaan juga. Tetapi sehebat-hebat mana pun gerakan pelajar itu, mahasiswa ini tidak akan sampai hati membuat desakan agar Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor mereka meletakkan jawatannya.
Mahasiswa hari ini kurang garang dibanding dahulu yang sampai ke tahap mentadbir universiti sendiri dan membuang Naib Canselor. Ya, dalam keadaan sekarang, masih belum ada desakan kuat di pihak SMM untuk menyenaraikan NC dan TNC yang perlu dipecat oleh Khaled Nordin.

Kekuatan desakan suara pelajar untuk memecat pemimpin IPT ini tidak setinggi serta separas desakan mazhab Umno ala Bung Mokhtar Radin dan Abdul Ghapur Salleh yang kini sudah kuat 'berjihad' dalam rangka mengguling dan memecat Shahrizat!

No comments: