Monday, January 16, 2012

Tugas penyair bela siasahwan pembela rakyat

Oleh H FANSURI

8 Januari, 2012 - 10:10 malam. Oleh sebab rumah tidak jauh dari Kelab Sultan Sulaiman, maka saya berjalan kaki sahaja. Malam itu, Sasterawan Negara Dato' A Samad Said mendeklamasi puisi untuk Anwar Ibrahim. Sajak itu tidak sempat dicatat. Hanya sempat didengar pekikan Reformasi di hujung suara.

Tidak hanya Pak Samad, malah di sini pernah didengungkan sajak W S Rendra untuk Anwar yang terpenjara. Menteri Besar Selangor Abdul Khalid Ibrahim mendeklamasi sajak Rendra saat Anwar buat pertama kali menggema seruan 'Ketuanan Rakyat' di sini untuk membantah Ketuanan Melayu tajaan Umno. Rendra pernah tampil membela Anwar dengan sajak burung rajawali.

"Rajawali terbang tinggi
membela langit dengan setia
dan ia akan mematuk kedua matamu
wahai, kamu, pencemar langit yang durhaka."


Sebelum Samad Said dan Rendra tampil membela Anwar hari ini, Sasterawan Negara Usman Awang telah membela Ketua Pengarang Utusan Melayu Said Zahari (merangkap pimpinan parti haluan kiri) yang ditahan ISA selama 17 tahun mendekam di penjara.

"Suaramu dari penjara Singapura
'Mereka akan berkembang
Menghancurkan manusia biadab
dan rakyat nanti
Tidak takut lagi'

"Salut untuk Said Zahari
Salut untuk mereka yang berani."


Selain itu, Usman menitipkan pesan terhadap rakan seperjuangannya dalam kumpulan berhaluan kiri. Sebuah sajak berjudul 'Boestamam' beliau nukilkan sebagai berikut:-

"Maka bergurulah ia pada pengalaman
bergurulah ia pada sejarah
bergurulah ia pada kehidupan rakyat
Ditimbanya ilham dari manusia-manusia besar
Washington, Jefferson, Rousseau,
Nehru, Nasser, Sukarno... dan puluhan lagi
juga Subash Chandra Bose yang mengilhamkan nama Boestamam."


Tidak hanya siasahwan partisan yang turut dibela kaum penyair yang berjiwa revolusioner, malahan Usman Awang misalnya pernah membela mahasiswi yang bernama Siti Noor Hamid Tuah lewat sebuah sajak penentangan beliau. Dalam '500 Mereka', beliau abadikan kata-kata semangat kepada siswi itu sebagai berikut:-

"Lima ratus mereka
mara! Mara mencium hutan dara
lima ratus mereka
kapak di tangan parang di pinggang
hutan dara mereka rebahkan..."
 
Dan banyak lagi sajak perjuangan, puisi protes untuk menyokong kaum revolusioner yang tercetak di lembaran sejarah perjuangan ini. Ringkasnya, kaum penyair tulen, sejati dan terkenal pada suatu masa dahulu, tidak pernah lupakan perjuangan pejuang berhaluan kiri yang disifat sebagai pembangkang.

Agak sulit ditemukan sajak-sajak yang menyokong pimpinan Umno seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, dan Tun Dr Mahathir sendiri. Kalau pun ada, hanya satu sajak Usman mengenai Onn Jaafar. Namun, tertuang dalam sajaknya kata-kata ikhlas Usman, bahawa beliau dan Onn Jaafar berbeza garis haluan perjuangan.

"Meski kita berlainan bicara
dalam kenangan namamu terpaku
jasa baktimu hidup selama
meski keranda dirahap sepi."


Sehingga usia tuanya, Usman sudah tidak lagi memuja sesiapa. Beliau meninggalkan kita dengan sejumlah kenangan kita terhadap puisi-puisi bantahnya yang mengharum di balik birai jiwa dan hati kita. Apakah sajak Usman Awang kan senada irama dengan timbunan sajak protes Pak Samad Said dan sajak beliau yang menyokong siasahwan PR pembela bangsa? Hati saya menjawab, "Ya, barangkali sudah pasti Pak Usman menyokong PR!"
 
Namun, suatu hal yang masih kita tertanya-tanya - apakah penyair kini akan setia membela dan memihak PR setelah melihat kejijikan Najib dan Rosmah yang mengada-ngada itu? Terhadap hal ini, batin saya terus melantunkan pertanyaan berganda-ganda beratnya juga.

Kadang-kadang ada jua penyair yang tetap mengkritik PR dan ingin dilihat sebagai orang tengah-tidak sokong PR dan BN. Tapi hakikatnya pemikiran yang seperti orang tengah ini tidak jelas sangat pendirian. Kita perlu bertanya, adakah sokongan sasterawan terhadap siasahwan BN untuk 'playsafe' ini suatu sikap yang baik?

Negara ini tidak akan mencetak nama-nama penyair besar sehinggalah penyairnya berani mengarang sajak yang memihak siasahwan jujur dalam PR kini seperti mana sikap Usman yang menyebelahi ramai tokoh siasahwan PKMM (haluan kiri) pada suatu masa dahulu.

Pada masa depan, kita mungkin berdepan dengan deratan nama pengarang, penyair yang menang banyak anugerah, namun nama mereka malap selepas kematiannya. Jadilah penyair revolusioner seperti Usman dan sahabatnya. Namanya mengharum dan semakin gilap selepas ketiadaannya. Itulah balasan bagi mereka yang setia membela kebenaran ketika hayat usia remajanya.

No comments: