Sunday, December 11, 2011

Yang berkuasa memansuh PPSMI bukan TPM Muhyiddin, tapi PAGE dengan bantuan mantan PM; Dr M!

Oleh H FANSURI

Kata orang tua, penyakit seperti kilat jika ia menyambar dan ia ibarat semut merayap keluar dari tubuh badan kalau sedang mula kebah. PPSMI itu kesan yang timbul atau ditimbulkan daripada penjajahan yang berlangsung dalam tempoh lama. Pelaksanaannya pula dibuat secara mengejut, bagaikan kilat.

Tiba-tiba, ketika penyakit PPSMI mulai kebah, seakan-akan mahu pulih seperti sediakala, maka dijalankan referendum, iaitu usaha mengutip tandatangan sokongan dan dilakukan kajian bermacam-macam bagi mengembalikan semula PPSMI, setidak-tidaknya sebagai hal pilihan, opsyen ('option') di sekolah.