Oleh H FANSURI
Aesop adalah nama seorang tukang cerita pada zaman Greek. Ceritanya yang termasyhur adalah kisah seekor serigala yang mengidam anggur yang tergantung tinggi di sebuah pokok. Akhirnya, serigala itu mengalah kerana tidak berhasil mendapatkan buah anggur tersebut.
Kata Aesop, serigala itu berkata, “Ah! Anggur itu masam! Tidak dapat pun tidak apa!”
Aesop merumuskan bahawa – seseorang itu akan mencemuh sesuatu yang tidak berjaya mereka mendapatinya. Serigala itu mencemuh anggur lantaran haiwan itu ada masalah untuk mengambil anggur tersebut. Jika serigala itu berhasil mendapatkannya, maka rungutan itu tidak wujud lagi.
Seorang pencerita adalah juga seorang ahli falsafah. Dan, Alam Melayu melahirkan banyak lagi failasuf yang tidak dinamakan dalam sejarahnya. Nenek moyang kita handal bercerita mengenai kisah sang kancil yang menipu buaya ganas pada zaman Raja Sulaiman.
Demikianlah peranan failasuf Melayu dahulukala menyalakan api penderahan kepada anak-anak mereka agar moral kisah itu akan menyalakan semangat juang mereka bagi melawan pihak yang lebih besar dan gagah. Tetapi, kita sering memandang rendah terhadap cerita-cerita itu.
Maka teknik penceritaan lisan pada zaman lalu yang merujuk hubungan haiwan dengan manusia amat baik diamalkan hari ini. Aesop memulakan kisah seekor serigala yang bermasalah terhadap anggur yang sedang ranum dan failasuf Melayu berkisah darihal sang kancil menipu buaya untuk makan buah-buahan di seberang sungai yang dipenuhi buaya-buaya ganas.
Serigala dalam kisah Aesop itu tumpas dan ditewaskan semangatnya sedangkan failasuf Melayu itu menyalakan api harapan agar terus berjuang mendapatkan kejayaan walau kita keras ditindas oleh orang-orang yang selalu mahu membinasakan kita.
Kaum ibu bapa hari ini jangan memandang rendah terhadap keupayaan cerita haiwan yang boleh menyalakan iltizam anak-anak bagi mengguling penindasan di Putrajaya. Kancil yang tersesat di Putrajaya boleh mengguling dinasour di Seri Perdana juga jikalau kita aktif dan kreatif bercerita.
Kebanyakan haiwan ini menemui masalahnya dalam kehidupan dan sudah tentu kisah-kisah akan berlabuh dan kemudian akan berlayar terus di dalam fikiran manusia sepanjang zaman.
Sesungguhnya, kisah-kisah tentang haiwan ini tidak pernah mati. Ia akan terus hidup. Bagaimana Allah s.w.t bercerita mengenai haiwan-haiwan ini di dalam al-Quran? Ada banyak juga kisah itu. Tapi kita jangan terikat dengan judul, ‘haiwan bermasalah’ seperti yang diangkat Syarifah Zohra.
Nanti kita sulit menemukan kebenaran jika terlalu mengikut arus kemarahan kita. Bagaimanapun ucapan bersejarah; ‘Listen! Listen! Listen!’ itu menyebabkan semua mendapat iktibar yang baru.
Dalam tulisan ringkas ini, kita mula menyemak al-Quran sebagai sastera persuratan unggul untuk menyemak kaitan haiwan bermasalah di dunia hari ini. Ucapan ‘Listen! Listen! Listen!’ itu boleh jadi sebab agar kita kembali menyelak sastera persuratan al-Quran berkaitan haiwan bermasalah.
Sejak era Nabi Adam a.s maka kambing boleh dikatakan ‘bermasalah’ lantaran buat pertama kali ternakan kambing Habil diterima Allah. Masa berlalu dan lembu betina pula ‘bermasalah’ kerana disembelih sebagai cara menghakimi kes pembunuhan terbesar dalam sejarah Bani Israel.
Perkara ini diabadikan dalam al-Quran dan lembu betina itu diangkat sebagai nama sebuah surah. Kita juga melihat gajah-gajah sebagai haiwan ‘bermasalah’ kerana Raja Abrahah telah membawa tentera bergajahnya menyerang Kaabah lalu serangan itu dipatahkan burung Ababil.
Yang amat sadis dan menyedihkan barangkali peristiwa pembunuhan unta Nabi Saleh a.s sebagai haiwan bermasalah yang sudah dibunuh oleh kaum Arab purba yang ingkar ke atas Allah s.w.t.
Lagu ‘Bangau Oh Bangau’ menderetkan sekitar lima ekor haiwan yang bermasalah dalam fikiran bangsa Melayu – bangau, ikan, lembu, katak dan ular. Akhirnya, ular membuat perisytiharan, hal katak sebagai makanannya bukanlah masalahnya kerana memang tertulis katak itu makanannya.
Tetapi pencetus perbahasan mengenai haiwan bermasalah ini tidak tulen Melayu, malah berdarah campuran jua adanya. Buktinya, beliau sendiri tidak tahu apakah nama ikan ‘jaws’ dalam bahasa Melayu. Ini antara bukti bahawa para penyokong dan ahli Umno itu bukannya tulen Melayu!