Monday, February 04, 2013

Felda tidak berkat di bawah Isa Samad?

Oleh RUHI HAYATI THANI 

Segala pekerjaan yang tiada kaitan dengan keberkatan, maka lazimnya akan berakhir dengan derita dan kesengsaraan juga akhirnya. Keberkatan dalam kepemimpinan sangat penting. Tanpa keberkatan, maka segala amalan pasti tidak menjadi. 

Hari ini, rakyat dapat menyaksikan betapa sentuhan Umno adalah sentuhan kecundang. Sentuhan mereka menatijahkan keruntuhan atas masyarakat di negara ini tanpa mengira bangsa dan penganut agama apa pun. 

Ambil contoh Felda. Ketika Saham Felda merudum semua perkara ini ada kaitan dengan tiadanya keberkatan dalam kepemimpinan. Sikap Umno dan BN yang tidak jujur dan suka menipu umat, akan mengurangi keberkatan dalam kepemimpinan itu sendiri. 

Adakah kerana watak pemimpin seperti Isa Samad, Ahmad Maslan antara punca semua kemelut ini? Boleh jadi juga. Boleh jadi mereka menipu dan tidak jujur berkata-kata juga.  

Sejak dahulu, FGVH sebelum disenaraikan di bursa saham, ia punya tanah puluhan ribu hektar di Indonesia. Ia anak syarikat pelaburan baru Felda yang bergerak sejak lima tahun belakangan ini dan dibenarkan melabur di luar negara; Amerika, Kanada dan China. 

Tetapi, ia menjunam dan merosot dengan teruknya. Terbaru, ketika mengulas kejatuhan saham ini, Ahmad Maslan menyatakan bahawa ia berpunca daripada fitnah pembangkang. Hal ini mengingatkan kita kepada sikap helah Umno yang tidak mengakui kelemahan diri. 

Misalnya, Dr Mahathir Mohamad menyatakan bahawa Umno lemah kerana kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi dan tidak melihat salah sendiri. Dr Mahathir juga salahkan Tunku Abdul Rahman apabila terdedah skandal pemberian kad pengenalan. Ringkasnya, salah di pihak Umno sendiri seolah-olahnya memang tiada. 

Sekali lagi sikap tidak jujur, tidak amanah dan tabiat menipu inilah yang menjadikannya tiada berkat dalam pekerjaan. Wujud kerugian dan sulit mendapatkan keuntungan kerana sudah banyak penyelewengan yang tidak diperbetulkan. 

Kita boleh melihat bagaimana keberkatan itu boleh dicabut. Iaitu apabila mula-mula Isa Samad dinaikkan sebagai pimpinan syarikat itu. Berita ini memang tidak menggembirakan ramai pihak. Sudah tidak ada lagikah calon-calon yang lebih layak dibanding beliau?

Lalu, keberkatan pun hilang oleh tangan-tangan kejahatan. Kita dapat melihat, apabila pelaburan luar negara beroperasi, maka dalam beberapa tahun berikutnya kerugian FGVH sudah mencecah RM500 juta. Sekali lagi, bukankah keberkatan menatijahkan peningkatan?

Hal kerugian ratusan juta itu dibangkitkan Anwar Ibrahim di Parlimen dan diakui oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Ahmad Maslan. Tetapi, hal keberkatan tidak  diselidik langsung oleh Umno. Ilmuwan Wahabi Muda juga tidak bercakap hal keberkatan. 

Perkara yang aneh kini berlaku apabila manusia yang bermasalah telah diberi amanah dan kepercayaan yang berulang-ulang setelah dibukti kegagalan mereka berulangkali. Apa kita sudah ketandusan pegawai yang mahir dengan selok-belok urusniaga ini semua?

Rakyat tertanya-tanya, kenapa kerajaan masih berikan kepercayaan untuk senaraikan lagi syarikat yang bermasalah itu ke bursa saham? Hari ini dan entah untuk beberapa hari lagi, kita dapat menyaksikan penderhakaan Najib Razak kepada ayahandanya sendiri.

Hari demi hari, rakyat sedang melihat dasar pengkhianatan Najib Razak dan Isa Samad di depan mata. Mereka akan tertanya-tanya kenapa peluang diberi lagi ke atas syarikat itu menyedut kekayaan syarikat lain di dalam Felda itu yang sudah pun maju?

Kenapa kerajaan masih lagi memilih FGVH setelah ia telah gagal? Peneroka Felda akan tertanya, kenapa Felda Platation dan KPF menjadi mangsa untuk penyenaraian itu. Lama-kelamaan mereka lupa bertanya, "Adakah kurangnya keberkatan itu gara-gara Isa Samad?"

Najib perlu bina kampung Melayu Palestin


Oleh IBNUAMIR AL-PENDANGI

Kehadiran Najib Razak di bumi Gaza, Palestin adalah ketika kedamaian sudah kembali bertapak. Umat sudah semakin reda kemarahannya. Tiada lagi peperangan ketika Najib dan Rosmah tiba. 

Jadi, pemergian beliau itu tidak diiringi tembakan dan desingan peluru yang dimuntahkan keluar daripada mulut mesingan dan ketibaan mereka tidak disambut senapang-senapang Yahudi Israel. 

Jika keselamatan Najib Razak dan Rosmah Mansor tidak dipelihara, rugilah Malaysia belanjakan puluhan juta kepada penasihat Apco Israel selama ini. Jadi Najib Razak sudah pastilah tidak akan dibunuh kerana dasar beliau yang memihak kepada Israel secara diam-diam itu. 

Ini sebabnya dan rahsia kenapa Najib Razak dan isterinya boleh tiba ke Palestin dengan sejahtera dan aman tanpa hadir apa-apa kekecohan. Sejarah membuktikan, Yahudi akan membunuh musuh dan seterunya secara curi-curi. Syeikh Ahmad Yassin antara mangsa Yahudi juga. 

Usaha membunuh musuh-musuh Yahudi memang ada. Hanya kehendak Allah yang menentukan sama ada perancangan Yahudi untuk membunuh musuhnya berjaya atau tidak. Hitler antara yang ingin dibunuh Yahudi dan Fidel Castro juga lapan kali cuba dibunuh. Tapi percubaan itu gagal.

Napoleon Bonaparte dan Hitler antara pemimpin Eropah Barat yang sentiasa dicemuh Yahudi di dalam wayang gambar dan ini membuktikan bahawa mereka ini banyak berdendam terhadap dua watak ini. Tetapi, tidak sedikit pun kecaman Israel tersiar mengutuk Najib Razak selama ini. 

Maka, lawatan ziarah Najib Razak ke Palestin itu bukanlah satu hal yang menyebabkan Najib itu layak dihormati. Ini kerana, sesiapa pun boleh ke sana jika punya wang dan kuasa seperti Najib. 

Yahudi boleh menghidu gerakan untuk mengancam Israel. Maka selagi mana kehadiran Najib itu tidak mengutuk Israel dan Yahudi di Palestin, maka keselamatan Najib Razak akan terpelihara. 

Malah, kalau Najib Razak ingin mengutuk Yahudi dan Israel itu pun berkemungkinan besar skrip ucapan beliau itu telah disemak oleh Apco sebelum meluluskannya keluar di media. Jadi wayang kulit sandiwara ini pun semestinya memang wujud antara mereka. 

Sejarah membuktikan, hanya bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sahaja yang pernah dikutuk Yahudi antarabangsa sebagai anti-Semitik. Hal ini terjadi, kerana Dr Mahathir menuduh Yahudi menguasai dunia melalui proksi. Hanya kerana ini, maka Dr Mahathir dicemuh Yahudi.

Namun, Najib Razak belumlah pernah didakwa sebagai musuh Yahudi oleh media antarabangsa. Tiada media yang pernah bangkit mengecam Najib Razak sepertimana dikecamnya Dr Mahathir. Ini bukti bahawa Najib tiada masalah dengan Israel dan Israel tiada masalah juga dengan Najib. 

Mungkin selepas ini, Najib Razak perlu mencari sokongan rakyat dengan berpura-pura menjadi wira Palestin dengan mencemuh Yahudi melalui perkenan Apco. Cara ini belum lagi dirancang. 

Tapi ia mungkin perlu kalau Najib Razak ingin memulihkan wataknya yang tercalar oleh skandal kapal selam Scorpene di Perancis sebelum ini. Apakah strategi ini berkesan menjelang PRU?

Entahlah. Jika Apco terfikir strategi ini, maka selepas ini Najib hanya perlu menunjukkan sedikit sikap penentangannya kepada Yahudi – Israel dengan bantuan teks ucapan yang disediakan Apco juga. Mungkin Apco, Yahudi Israel perlu berkorban juga bagi memulihkan watak Najib Razak.

Hal ini kerana umat mengetahui bahawa cuma Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim sahaja yang telah dikecam hebat Yahudi. Anwar dikecam pelobi Yahudi antarabangsa - B’nai B’rith. Ini faktanya dan ini sejarahnya. Walhal, ketika ini pun, Najib Razak belum pernah dikecam Yahudi. 

Maka, syarat menjadi wira Palestin adalah Najib Razak mestilah dikecam Yahudi terlebih dahulu sama ada melalui perbuatannya dan tindakannya yang jelas memihak umat Islam di Palestin. Jika tidak, umat melihat kunjungan ziarahnya di Gaza kali ini hanyalah satu sandiwara Apco sahaja. 

Alang-alang Najib Razak sudah rapat dengan Ismail Haniyeh, apa kata beliau cuba berbisik-bisik di telinga tokoh Hamas itu, “Juallah sebidang tanah Gaza untuk Melayu, agar dapat dibangunkan kampung di sini, agar orang Malaysia boleh beriktikaf di Masjid al-Aqsa pada suatu hari nanti.”

Najib mencari pengaruh di Palestin?


Oleh BOESTAMAM SARI

“Itulah Negeri Akhirat, Kami berikan kepada mereka yang tidak inginkan ketinggian di bumi dan mereka tidak membuat kerosakan dan kesudahan yang baik adalah bagi mereka yang bertaqwa.” (al-Qasas: 83)

Hari ini, sulit benar hendak mencari pemimpin tulin yang akan berjuang demi rakyat, Allah serta ‘darul akhirah’ (negeri akhirat). Dua syarat bagi mendapat darul akhirah itu adalah, mereka mesti mengosongkan jiwanya daripada inginkan habuan dunia, pangkat, gelar dan kedudukan tinggi.

Namun, jika mereka diberi gelaran itu, maka hal itu diharuskan bagi untuk mengambilnya. Yang menyebabkan mereka terhalang mendapat Darul Akhirat itu adalah kerana keghairahan memburu nama dan kedudukan itu yang mana sikap itu bermuara daripada keangkuhan dan ketakburan.

Ketakburan dan kesombongan inilah sikap yang tidak disukai oleh Allah s.w.t. Kedua sikap tidak suka membuat kerosakan di atas muka bumi ini. Maka ke atas mereka yang suka menyalakan api permusuhan, suka berperang dan menabur fitnah, darul akhirah itu bukanlah tempat bagi mereka. 

Dua hal ini dihimpun di dalam diri seorang Najib Razak dan sesiapa sahaja yang ingin mengikuti jejak langkahnya. Mencari pengaruh itu boleh saja melalui cara baik seperti melawat Palestin.

Dan, semua ini dilakukan menjelang pilihan raya umum yang makin dekat. Najib Razak perlulah mendandan hias wataknya sebagai juara pembela rakyat Palestin walaupun orang Umno BN kini menobatnya sebagai pembela ummah pula. Demikian cara mencari pengaruh demi pilihan raya. 

Jika betul Najib Razak pergi ke Palestin secara ikhlas dan tidak bertujuan mendapatkan pengaruh di dunia ini menjelang pilihan raya, maka nescaya dia sulit juga mendapat habuan ‘darul akhirah’ kerana ada ciri kedua yang tidak melayakkannya ke sana, iaitu sikap suka ‘kerosakan’ (al-Fasad).

Seperti yang dibahaskan di dalam surah al-Qasas ayat 83 seseorang itu perlu mengosongkan jiwa daripada keinginan mendapatkan pengaruh dan tidak melakukan kerosakan di muka bumi ini. 

Maka, seandainya Najib Razak jujur dan ikhlas ke Gaza, Palestin untuk kerja-kerja kemanusiaan, Najib Razak masih tidak lulus ujian kedua, iaitu menahan dirinya daripada melakukan kerosakan di bumi. Menjelang pilihan raya, Najib mungkin menjalankan fitnah ke atas Pakatan Rakyat. 

Maka gugur satu ciri yang melayakkan beliau mendapatkan habuannya di Darul Akhirah itu. Hal yang perlu dipelajari oleh Umno BN hari ini adalah - syaitan pun boleh membuat kebaikan untuk tipu manusia. Barshisha seorang ulama’ Bani Israel pernah ditipu syaitan yang berbuat kebaikan.

Syaitan bersolat tanpa rehat, tanpa berhenti minum, tanpa tidur bila menumpang di rumah ulama’ itu. Lalu, dengan amal baik syaitan itulah Barshisha berhasil ditipu serta dijerat untuk melakukan dosa yang dimulai dengan minum arak, memperkosa dan akhirnya membunuh!

Hal inilah yang mesti difahami oleh sekalian rakyat. Sentiasalah berhati-hati dan menyemak lagi dan lagi ke atas amalan-amalan baik syaitan yang dikenali pada hari ini. 

Mungkinkah Apco Israel telah pun menyuntik maklumat kepada pihak Israel berkaitan kehadiran Najib Razak di Palestin sebelum ini? Lalu, beliau pun dapatlah pergi dan balik dengan selamat? Ini pun andaian yang perlu diambil kira. Kenapa dengan tiba-tiba Najib berbaik dengan Hamas?

Mungkinkah ini juga suatu strategi yang mengelabui fikiran ramai orang, khasnya orang Islam di Malaysia agar kembali melihat watak Najib Razak itu sebagai wira pembela agama? 

Bukankah Apco Israel juru perunding imej bagi Najib Razak? Terkadang, menjelang pilihan raya ini hatta Apco sekali pun perlu mengubah watak Najib Razak sebagai pembela agama. Semua ini perlu bagi memastikan kemenangan Yahudi dan Israel untuk jangka masa panjang. 

Dan khabarnya, Najib Razak dalam lawatannya ke Palestin, sudah mendapat anugerah gelar serta meraih kehormatan juga. Rakyat menuntut jawapan ke atas Najib ke atas setiap lawatannya itu.

Sampai ke tahap manakah Najib Razak boleh dianggap sebagai wira Palestin? Iaitulah jika Najib sendiri dapat mengusulkan supaya diwujudkan sebuah perkampungan Melayu Palestin untuk meletakkan tentera Melayu di sana. Tentera Melayu inilah yang akan berjuang membebaskan Palestin ini nanti. Ini baru benar-benar wira!