A Christmas Carol percikan Persuratan Islami?
Oleh H FANSURI
“..demi sesungguhnya engkau akan dapati
orang-orang yang paling dekat sekali kasih mesranya buat orang beriman ialah mereka
yang berkata, “Bahawa kami ini Nasrani”. Hal itu disebabkan ada antara mereka pendeta
dan ahli-ahli ibadat dan mereka tidak sombong” (al-Maidah: 82).
Di dalam debat, polemik antara Shahnon Ahmad dan Kassim Ahmad, timbul
usul bahawa sastera Islam itu tidak hanya dikarang oleh pengarang Muslim saja.
Catatan ini tidaklah sampai ke tahap memutuskan bahawa A Christmas Carol
(Charles Dickes) adalah tergolong dalam sastera Islam.
Ia cuma diangkat suatu renungan semata-mata. Baru-baru ini, penganut
Kristian baru saja selesai menyambut Hari Krismas dan kisah Santa Klaus kerap
diperingatkan dalam tradisi Kristian.
Charles Dickens akhirnya membawa kita berkenalan dengan Ebenezer Scrooge,
seorang majikan tua, kaya, sombong, dingin dan selalu bersikap zalim, kejam
dank eras menindas ke atas pekerja.
Pada suatu malam, ketika malam Krismas, Scrooge bermimpi didatangi
semangat Krismas pada zaman kanak-kanaknya. Scrooge teringat kembali betapa
beliau seorang yang periang. Kemudian perlahan-lahan wataknya berubah ketika
dia mula memasuki alam remaja.
Ketika ini, semangat Krismas pada zaman dewasa pula yang mengambil tempat
untuk membawa dirinya mengembara ke alam lain. Dia terkenang kembali zaman di
mana dia sedang bercinta dan orang-orang yang pernah beliau zalimi dan beberapa
babak kedegilannya sebelum ini.
Dalam salah satu babak, memang nampak ketara jelas, betapa keringnya hati
Scrooge saat beliau membidas rayuan orang-orang yang ingin memohon bantuannya
itu.
"Saya ingin
bersendiri,” kata Scrooge ketika menolak permintaan orang. “Saya tak ucap
selamat buat diri sendiri pada hari Krismas dan saya tidak mampu membuatkan
orang menjadi gembira.”
Dia menambah, “Cukai
saya telah pun menyokong pertubuhan yang telah saya sebutkan tadi dan
orang-orang yang sedang menderita kesakitan mestilah pergi mendapatkan rawatan
di sana.”
“Ramai orang yang akan mati,” kata orang yang meminta bantuan
Scrooge itu lagi.
"Jika mereka akan mati,
ya, maka lebih baik berlaku sedemikian kerana ini akan mengurangkan jumlah penduduk.”
"Tetapi, tuan! Saya
pasti tuan tentu tidak bermaksud sedemikian."
"Dengan sepenuh
hatiku. Kalaulah aku boleh teruskan hasrat maka setiap orang bodoh yang ucap ‘Merry
Christmas’ di bibirnya itu akan direbus dan dikebumikan secara terhormat!"
"Tetapi sudah tentu
anda mahu membantu mereka!"
“Ia bukanlah urusanku. Memadailah
seorang lelaki menjalankan urusannya sendiri, dan dia tidak mengganggu urusan orang
lain. Hal akulah yang selalu diutamakan. Selamat malam!"
Akhirnya, Scrooge dibawa
menuju hari tuanya yang kelam. Di sana, dia melihat anak-anak gadis jalanan
yang tidak dibantunya dulu telah menjalani kehidupan sebagai wanita lacuran.
Manakala, kanak-kanak lelaki yang dibiarkannya telah menjadi penjahat yang
mengganggu masyarakat.
Saat Scrooge diambang
maut, dengan tiba-tiba dia sedar daripada mimpinya. Dia masih bernafas. Dengan
pantas lelaki ini menukar wataknya menjadi pemurah.
Segala pengalaman rohani
milik Scrooge ini, daripada suatu sudut adalah mirip Isra’ Mi’raj yang
menunjukkan perjalanan rohani nabi ke langit tertinggi. Juga seperti pengalaman
rohani Musa a.s ketika berguru dengan Khidhir a.s yang menempuh babak-babak
tertentu.
Pecahan babak-babak dan episod, plot, adegan ini sangat dramatik dan
Islam, Kristian berkongsi bersama nilai-nilai persuratan kebatinan ini dalam
cara dan pengalamannya yang tersendiri.
Tetapi, cerita perubahan sikap dan hijrah ruhiyyah Scrooge ini tenggelam
dek kisah Santa Klaus yang memberi hadiah kepada kanak-kanak. Ertinya,
sekurang-kurang ada dua mazhab Kristian di sini dan salah satunya sangat akrab
semangatnya dengan Islam.
Menurut ukuran pemerhatian saya, sosok Santa Klaus ini selalu diwarnakan
kehadirannya oleh si kapitalis. Di gedung membeli-belah, Santa Klaus mengambil
tempatnya sementara Scrooge yang insaf dihilangkan terus wataknya. Watak
Scrooge lebih kejap kisahnya dibanding kisah Santa.
(Watak Ebenezer Scrooge wajarlah diangkat dibanding Santa Klaus seperti
SMN al-Attas angkat keperibadian Hamzah Fansuri dibanding Ismail Hussein
mengangkat sosok Munsyi Abdullah)
Scrooge setidaknya bercerita hal perjuangan melawan kezaliman dirinya. Ada
unsur kependetaan (ruhban) dalam kisah Scrooge seperti yang tergambar dalam
al-Ma’idah ayat 82. Dan ciri ruhban kependetaan Scrooge inilah yang mungkin
ditakuti oleh Najib Razak.
Sempena Hari Krismas baru-baru ini di Petaling Jaya, sempat Najib
berpesan kepada gerejawan agar menjauhi revolusi. Mungkin Najib risau dengan
perpaduan Muslimin dan Kristian di Mesir yang mengguling Hosni Mubarak. Moga
kisah Scrooge dapat menyatukan Muslim – Kristian di Malaysia dalam meniti
zaman-zaman penggulingan kali ini.