Tuesday, January 01, 2013


A Christmas Carol percikan Persuratan Islami?

Oleh H FANSURI

“..demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang paling dekat sekali kasih mesranya buat orang beriman ialah mereka yang berkata, “Bahawa kami ini Nasrani”. Hal itu disebabkan ada antara mereka pendeta dan ahli-ahli ibadat dan mereka tidak sombong” (al-Maidah: 82).

Di dalam debat, polemik antara Shahnon Ahmad dan Kassim Ahmad, timbul usul bahawa sastera Islam itu tidak hanya dikarang oleh pengarang Muslim saja. Catatan ini tidaklah sampai ke tahap memutuskan bahawa A Christmas Carol (Charles Dickes) adalah tergolong dalam sastera Islam.

Ia cuma diangkat suatu renungan semata-mata. Baru-baru ini, penganut Kristian baru saja selesai menyambut Hari Krismas dan kisah Santa Klaus kerap diperingatkan dalam tradisi Kristian.

Charles Dickens akhirnya membawa kita berkenalan dengan Ebenezer Scrooge, seorang majikan tua, kaya, sombong, dingin dan selalu bersikap zalim, kejam dank eras menindas ke atas pekerja.

Pada suatu malam, ketika malam Krismas, Scrooge bermimpi didatangi semangat Krismas pada zaman kanak-kanaknya. Scrooge teringat kembali betapa beliau seorang yang periang. Kemudian perlahan-lahan wataknya berubah ketika dia mula memasuki alam remaja.

Ketika ini, semangat Krismas pada zaman dewasa pula yang mengambil tempat untuk membawa dirinya mengembara ke alam lain. Dia terkenang kembali zaman di mana dia sedang bercinta dan orang-orang yang pernah beliau zalimi dan beberapa babak kedegilannya sebelum ini.

Dalam salah satu babak, memang nampak ketara jelas, betapa keringnya hati Scrooge saat beliau membidas rayuan orang-orang yang ingin memohon bantuannya itu.

"Saya ingin bersendiri,” kata Scrooge ketika menolak permintaan orang. “Saya tak ucap selamat buat diri sendiri pada hari Krismas dan saya tidak mampu membuatkan orang menjadi gembira.”

Dia menambah, “Cukai saya telah pun menyokong pertubuhan yang telah saya sebutkan tadi dan orang-orang yang sedang menderita kesakitan mestilah pergi mendapatkan rawatan di sana.”


“Ramai orang yang akan mati,” kata orang yang meminta bantuan Scrooge itu lagi. 

"Jika mereka akan mati, ya, maka lebih baik berlaku sedemikian kerana ini akan mengurangkan jumlah penduduk.”


"Tetapi, tuan! Saya pasti tuan tentu tidak bermaksud sedemikian."

"Dengan sepenuh hatiku. Kalaulah aku boleh teruskan hasrat maka setiap orang bodoh yang ucap ‘Merry Christmas’ di bibirnya itu akan direbus dan dikebumikan secara terhormat!"


"Tetapi sudah tentu anda mahu membantu mereka!"

“Ia bukanlah urusanku. Memadailah seorang lelaki menjalankan urusannya sendiri, dan dia tidak mengganggu urusan orang lain. Hal akulah yang selalu diutamakan. Selamat malam!"

Akhirnya, Scrooge dibawa menuju hari tuanya yang kelam. Di sana, dia melihat anak-anak gadis jalanan yang tidak dibantunya dulu telah menjalani kehidupan sebagai wanita lacuran. Manakala, kanak-kanak lelaki yang dibiarkannya telah menjadi penjahat yang mengganggu masyarakat.

Saat Scrooge diambang maut, dengan tiba-tiba dia sedar daripada mimpinya. Dia masih bernafas. Dengan pantas lelaki ini menukar wataknya menjadi pemurah.

Segala pengalaman rohani milik Scrooge ini, daripada suatu sudut adalah mirip Isra’ Mi’raj yang menunjukkan perjalanan rohani nabi ke langit tertinggi. Juga seperti pengalaman rohani Musa a.s ketika berguru dengan Khidhir a.s yang menempuh babak-babak tertentu.

Pecahan babak-babak dan episod, plot, adegan ini sangat dramatik dan Islam, Kristian berkongsi bersama nilai-nilai persuratan kebatinan ini dalam cara dan pengalamannya yang tersendiri.

Tetapi, cerita perubahan sikap dan hijrah ruhiyyah Scrooge ini tenggelam dek kisah Santa Klaus yang memberi hadiah kepada kanak-kanak. Ertinya, sekurang-kurang ada dua mazhab Kristian di sini dan salah satunya sangat akrab semangatnya dengan Islam.

Menurut ukuran pemerhatian saya, sosok Santa Klaus ini selalu diwarnakan kehadirannya oleh si kapitalis. Di gedung membeli-belah, Santa Klaus mengambil tempatnya sementara Scrooge yang insaf dihilangkan terus wataknya. Watak Scrooge lebih kejap kisahnya dibanding kisah Santa.

(Watak Ebenezer Scrooge wajarlah diangkat dibanding Santa Klaus seperti SMN al-Attas angkat keperibadian Hamzah Fansuri dibanding Ismail Hussein mengangkat sosok Munsyi Abdullah)

Scrooge setidaknya bercerita hal perjuangan melawan kezaliman dirinya. Ada unsur kependetaan (ruhban) dalam kisah Scrooge seperti yang tergambar dalam al-Ma’idah ayat 82. Dan ciri ruhban kependetaan Scrooge inilah yang mungkin ditakuti oleh Najib Razak.

Sempena Hari Krismas baru-baru ini di Petaling Jaya, sempat Najib berpesan kepada gerejawan agar menjauhi revolusi. Mungkin Najib risau dengan perpaduan Muslimin dan Kristian di Mesir yang mengguling Hosni Mubarak. Moga kisah Scrooge dapat menyatukan Muslim – Kristian di Malaysia dalam meniti zaman-zaman penggulingan kali ini. 

No comments: