Oleh
H FANSURI
Dalam
bualan bersama teman-teman penulis, kerap terlambung kata-kata berhubung
‘pengakuan penyair’. Apakah makna pengakuan penyair? Dan atas tujuan apakah ia
dimaklumkan?
Mungkin
ada banyak tafsiran jua. Untung benarlah belum ada orang yang menafsirkannya
secara rasmi. Jadi, ruangan ini bebas mentakrifkannya dan berbahas mengenai
tujuan-tujuannya.
Awal-awal
penglibatan dalam dunia kepenyairan sekitar 2007, saya bertembung kata
‘pengakuan penyair’ ini di Samarinda, Kalimantan Timur, Indonesia dalam acara
Mastera.
“Lepas
ni kena adalah pengakuan penyair,” demikian gurau teman-teman penyair dalam
bergelak ketawa selepas bertembung beberapa kisah melucukan. Hal-hal itu ada
yang bersifat rahsia juga.
Acara
itu menghimpunkan barisan penyair dari Nusantara termasuklah paling ramai –
Indonesia. Pesertanya ramai gadis-gadis siswi dan muda-muda belaka. Darah muda
sentiasa mengajak kami bersuai kenal dengan beberapa keindahan Samarinda yang
merebakkan ‘unsur kegatalan’ di jiwa.
Maka,
sejak ada saling pandang-memandang, maka terungkaplah antaranya hal yang
dinamakan sebagai ‘pengakuan penyair’ itu. Inilah satu tafsiran yang hinggap
tertangkap di benak fikiran.
Biar
apa pun tafsiran dan kecenderungan orang menafsirkan ‘pengakuan penyair’, namun
kepada saya, hal yang penting di sini adalah usaha mendekatkan tafsiran
‘pengakuan penyair’ itu kepada tradisi ilmu Islam yang disebut Asbabun Nuzul (al-Quran) dan Asbabul Wurud
(hadis).
Asbabun
Nuzul ini adalah ruang untuk para sahabat menceritakan pengalaman mereka
berdepan sendiri dengan ketika di mana Rasulullah s.a.w dikunjungi wahyu. Ada
kisah melatari peristiwa turunnya wahyu. Dan Asbabul Wurud meriwayatkan
peristiwa bagaimana sabda nabi diluahkan.
Semua
ini penting sebagai panduan kepada kita untuk memahami dalam konteks apakah
surah-surah, ayat-ayat dan sabda-sabda nabi itu disebutkan. Kita tidak boleh
mengenakan semua jenis ayat al-Quran ke atas setiap permasalahan yang timbul.
Saya
sering tertanya-tanya tentang sajak-sajak Usman Awang yang baik dihadam – dalam
waktu dan ketika bagaimana Usman menukang puisi dan menggubah karangan sajaknya
itu. Mesti ada sesuatu peristiwa yang melatari kejadian yang menyebabkan puisi
itu ditimbulkan.
Tanpa
memahami erti semua ini maka sajak itu akan kehilangan ruh, makna dan tujuan ia
ditulis, walhal kita semua sedar, bahawa setiap hidup serta setiap nafas itu
ada tujuan. Tanpa memahami makna dan tujuan, puisi itu seolah-olah tidak hidup
dan tiada bernyawa.
Mungkin
sebab inikah puisi telah mula kehilangan ruh dan tidak menyalakan api fikiran
bangsa? Misalnya, bagaimana kita ingin tahu - kritik ‘seni’ di bawah ini diangkat
daripada peristiwa apa?
"Semalam kulihat sebuah tari
dada montok berlenggok, gila mencari
nafsu jalang dan mata penuh berani,
dengan muzik nada liar memuncak tinggi.
Mata penonton berkisar melebar,
paha putih dalam nafsu menjalar.
Segala terbuka dan segala mendamba,
dan berahi mematuk-matuk pada diri, meminta.
Itulah lagu dengan tari pada malam panjang,
senantiasa berulang pada zaman gila perang;
sedang esok segala hati dan tulisan memuji,
inilah 'seni', hasil gemilang 'seniman' sejati!"
[Lagu dan Tari, Usman Awang, 1954]
Puisi
Sasterawan Negara menjadi asas, ukuran dan panduan untuk membina ‘sejarah’
negara. Di sini, setidak-tidaknya ada andaian, mungkin Usman melihatnya di
Happy World Singapura.
Bagi
sesetengah penyair, ia mungkin diangkat sebagai pengakuan penyair jika penyair
zaman itu memujinya. Tapi jika penyair mengutuknya ia boleh diangkat sebagai ‘Asbabun
Nuzul’ pula.
Dan,
jika ada penyair ke Putrajaya yang melihat mengalirnya duit rakyat RM2 juta
untuk artis K-Pop, ia mungkin jadi ‘pengakuan penyair’ jika penyair itu hanya
ghairah memuji keindahan yang terbentang di depan matanya. Kita sendiri boleh
menyedari, apakah ada jahiliah dalam diri kita.