Monday, April 01, 2013

Bezanya Ainun Habibie dengan Rosmah Najib

Oleh H FANSURI

Sejak buku autobiografi Rosmah itu dilancarkan, maka tidak sedikit buku itu mengundang kutukan dari langit. Kutukan dari langit itu sudah diterjemahkan lewat impian segala hati manusia untuk mengejinya.

Sementara itu di pihak Umno pula -- ketika catatan ini ditulis -- belum ada mana-mana pihak Umno yang sudi membuat diskusi bertujuan mengangkat wacana berhubung buku ini. Agaknya Umno juga mengerti bahawa Rosmah itu bebanan buat seluruh alam termasuk Umno.

“Kalau Umno nak kalah cepat,” kata seorang teman, “Banyakkan perbahasan tentang buku Rosmah itu.”

Masalah demokrasi Malaysia wajib diketahui semua negara

Oleh ALI BUKHARI AMIR

“Democracy needs support and the best support for democracy comes from other democracies. Democratic nations should... come together in an association designed to help each other and promote what is a universal value — democracy.”

Api kata-kata itu meletus, dinyalakan Benazir Bhutto dalam suatu ucapan di Universiti Harvard tanggal 1989. Bhutto berpendapat amalan demokrasi itu perlu didokong sesama manusia khasnya melibatkan bangsa-bangsa di dunia. Pendek kata, demokrasi itu perlu diraikan oleh masyarakat antarabangsa.

Amalan demokrasi itu bukannya milik peribadi amalan Malaysia sahaja malahan itu turut diamalkan oleh rakyat di serata dunia. Rata-rata bangsa hari ini masih mendakap pengertian demokrasi, kalau pun tidak, ia pasti meresapkan demokrasi itu ke dalam acuan pemikiran bangsanya sendiri.

Misalnya Sukarno hadir dengan gagasan Demokrasi Terpimpin dan selepasnya Dr Mahathir Mohamed di mana beliau memilih kata-kata madah berhelahnya - “kita perlu demokrasi dalam acuan kita sendiri.”

Di Amerika Syarikat berdengung dan bergema pula kata-kata ‘We The People.” Ringkasnya, segala warna bangsa manusia berterusan mengungkap makna demokrasi dengan resapan perkataan mereka sendiri.

Apakah kata-kata mereka itu benar-benar menyepakati jiwa dan semangat demokrasi maka hal itu perlu kita semak selalu agar tidak terjadinya perlanggaran hak sesama manusia atas nama demokrasi pula.

Dan, demikianlah yang terjadi di negara kita hari ini setelah amalan demokrasi nampaknya kucar-kacir di mana-mana sahaja. Di segala tempat, manusia hadir di kawasan lapang lalu meneriakkan kata-kata oleh bebanan ketidakadilan yang dikenakan ke atas diri sendiri. Pekerja  CIMB misalnya telah memberontak.

Ya, banyak hal tidak sihat mutakhir ini, khasnya apabila melihat ‘kemajuan’ perkembangan pembubaran Parlimen. Kita mesti bersetuju atas suatu perkara, iaitulah semua ini menambah gelisah, menuang derita di hati rakyat. Banyak rancangan menjadi tergendala dengan tiba-tiba.

“Nak pergi melancong pun susah,” kata seorang teman. “Nanti kalau pergi ke luar negara, tiba-tiba Najib Razak umum nak bubar Parlimen. Takut tak sempat nak balik untuk mengundi dan mengguling Najib.”

Itu baru satu pendapat. Mungkin jikalau dibuat tinjauan, nescaya ramai orang yang akan menyatakan hal yang sama. Jejak pendapat itu penting bagi menyemak keseluruhan resah yang bertakung di hati rakyat.

Secara tidak kita sedari, rakyat sedang menyerah buta sahaja urusan mentadbir negara ini ke atas orang-orang bodoh. Tidak hanya bodoh, mereka juga penakut dalam erti kata – takut berdepan kekalahan.

Semangat demokrasi yang dijunjung dan dijulang selama ini seakan-akan jadi mati dan tidaklah bernafas lagi apabila Najib Razak mula melambat-lambatkan kematian Barisan Nasional.

Dalam tradisi khurafat Melayu, orang yang membela hantu, jembalang (jin dalam balang?) akan mati jua dengan penuh kehinaan. Tapi, manusia tetap melihat mereka itu masih hidup dan kuat makan. Apa yang terjadi sekarang lebih kurang begitulah juga. Yang menghuni tubuh manusia bukanlah jiwa dan roh lagi.

Tapi, kuasa kejahatan yang masih bernaung di balik jasad pengamal ilmu sesat dan ilmu hitam itu. Maka, di dalam kuasa eksekutif itu pun demikianlah juga. Orang tidak melihat kuasa kejahatan yang mentadbir Parlimen kita kerana tidak terlihat asap kemeyan dan tengkorak yang menakutkan.

Tetapi, percayalah saudara-saudara (ini bukannya ‘Amanat Haji Hadi’)! Kuasa kejahatan itu memang ada. Selepas 8 Mac lalu, roh Parlimen, jiwa syura, dan semangat demokrasi itu sudah lama mati.

Kita kini sedang berdepan dengan Parlimen yang dipenuhi puak-puak puaka kejahatan. Kita sudah ditipu dengan helah Lahad Datu dan umat diperdayakan dengan lembaga-lembaga kemunafikan. Gambaran di fikiran kita dibayangi dengan darurat jika berlaku demonstrasi lagi.

Kitaran kebodohan ini diwarnai media awam raya. Selepas 8 Mac, media awam kita sepatutnya bersujud rukuk di bawah lembaga khas yang bebas oleh sebarang kawalan kerajaan. Kerajaan kini tak lagi wujud.

Roh dan jiwa manusia yang memelihara jin itu sebenarnya telah pun lama mati dan jasad pengamal ilmu hitam itu kini dikuasai jin yang dipeliharanya selama ini. Sudah lama Melayu dikuasai ketakutan ini.

Dalam sejarah, hanya ada satu watak manusia sahaja yang sudah lama mati tapi jin-jin sendiri masih lagi hidup dibelenggu oleh rasa takut kerana menyangkakan manusia itu masih lagi hidup memerintah.

Adapun nama manusia itu - Raja Sulaiman. Baginda wafat dalam keadaan berdiri sehingga jin-jin berkata selepas kewafatannya, “Kalaulah kita tahu Sulaiman sudah mati, nescaya tidak kita dihinakan sebegini.”

Jin itu mengetahui kematian Raja Sulaiman setelah tongkatnya patah oleh anai-anai yang memakannya. Maka, kita sekarang pun demikianlah juga halnya. Yang lama mati adalah kerajaan yang dilanjutkan itu.

Sekarang menjadi tugas semua untuk terus berikhtiar dan berusaha menyedarkan masyarakat agar tidak lagi patuh ke atas kerajaan yang sudah lama hilang mandatnya itu.

Demam pilihan raya tidak menunjukkan kebahnya. Batuk-batuk demokrasi tiada ditemukan penawarnya lagi buat masa ini. Sikap menanti sudah tidak relevan dalam keadaan yang memaksa kita semua menjadi doktor. Semua kita perlu terlibat sama dan berikhtiar membuat pembedahan ke atas sakit demokrasi.

Sakit-sakit demokrasi ini telah lama melepuh dagingnya. Bentan sakitnya merayap, berdenyut-denyut ke urat sarafnya dan hampir-hampir merosakkan tulang belakangnya. Jin dan segala hantu puaka itu sudah lama mentadbir kita tanpa mandat yang diberikan. Ya, kita perlu membedah rawat demokrasi kita kini.

Menjadi tugas kita semua merakyatkan wacana demokrasi agar dikongsi bersama pihak luar negara dan biar ia turut hangat dibahaskan dengan kedutaan pihak jua. Benazir Bhutto telah matii ditembak tentera Musharraf. Tetapi, pesanan wasiat dan kata-katanya itu belum pernah mati di hati semua kita.

“Demokrasi perlu didokong bersama oleh masyarakat yang turut menghargai demokrasi…”