Oleh ALI BUKHARI AMIR
“Democracy needs support and the best
support for democracy comes from other democracies. Democratic nations
should... come together in an association designed to help each other and
promote what is a universal value — democracy.”
Api kata-kata itu meletus, dinyalakan Benazir
Bhutto dalam suatu ucapan di Universiti Harvard tanggal 1989. Bhutto
berpendapat amalan demokrasi itu perlu didokong sesama manusia khasnya
melibatkan bangsa-bangsa di dunia. Pendek kata, demokrasi itu perlu diraikan
oleh masyarakat antarabangsa.
Amalan demokrasi itu bukannya milik peribadi
amalan Malaysia sahaja malahan itu turut diamalkan oleh rakyat di serata dunia.
Rata-rata bangsa hari ini masih mendakap pengertian demokrasi, kalau pun tidak,
ia pasti meresapkan demokrasi itu ke dalam acuan pemikiran bangsanya sendiri.
Misalnya Sukarno hadir dengan gagasan Demokrasi
Terpimpin dan selepasnya Dr Mahathir Mohamed di mana beliau memilih kata-kata madah
berhelahnya - “kita perlu demokrasi dalam acuan kita sendiri.”
Di Amerika Syarikat berdengung dan
bergema pula kata-kata ‘We The People.” Ringkasnya, segala warna bangsa manusia
berterusan mengungkap makna demokrasi dengan resapan perkataan mereka sendiri.
Apakah kata-kata mereka itu benar-benar
menyepakati jiwa dan semangat demokrasi maka hal itu perlu kita semak selalu
agar tidak terjadinya perlanggaran hak sesama manusia atas nama demokrasi pula.
Dan, demikianlah yang terjadi di negara
kita hari ini setelah amalan demokrasi nampaknya kucar-kacir di mana-mana
sahaja. Di segala tempat, manusia hadir di kawasan lapang lalu meneriakkan
kata-kata oleh bebanan ketidakadilan yang dikenakan ke atas diri sendiri. Pekerja
CIMB misalnya telah memberontak.
Ya, banyak hal tidak sihat
mutakhir ini, khasnya apabila melihat ‘kemajuan’ perkembangan pembubaran
Parlimen. Kita mesti bersetuju atas suatu perkara, iaitulah semua ini menambah
gelisah, menuang derita di hati rakyat. Banyak rancangan menjadi tergendala
dengan tiba-tiba.
“Nak pergi melancong pun susah,” kata seorang teman. “Nanti
kalau pergi ke luar negara, tiba-tiba Najib Razak umum nak bubar Parlimen.
Takut tak sempat nak balik untuk mengundi dan mengguling Najib.”
Itu baru satu pendapat. Mungkin jikalau dibuat tinjauan,
nescaya ramai orang yang akan menyatakan hal yang sama. Jejak pendapat itu penting
bagi menyemak keseluruhan resah yang bertakung di hati rakyat.
Secara tidak kita sedari, rakyat sedang menyerah buta
sahaja urusan mentadbir negara ini ke atas orang-orang bodoh. Tidak hanya bodoh,
mereka juga penakut dalam erti kata – takut berdepan kekalahan.
Semangat demokrasi yang dijunjung dan dijulang selama ini
seakan-akan jadi mati dan tidaklah bernafas lagi apabila Najib Razak mula
melambat-lambatkan kematian Barisan Nasional.
Dalam tradisi khurafat Melayu, orang yang membela hantu,
jembalang (jin dalam balang?) akan mati jua dengan penuh kehinaan. Tapi,
manusia tetap melihat mereka itu masih hidup dan kuat makan. Apa yang terjadi
sekarang lebih kurang begitulah juga. Yang menghuni tubuh manusia bukanlah jiwa
dan roh lagi.
Tapi, kuasa kejahatan yang masih bernaung di balik jasad
pengamal ilmu sesat dan ilmu hitam itu. Maka, di dalam kuasa eksekutif itu pun
demikianlah juga. Orang tidak melihat kuasa kejahatan yang mentadbir Parlimen
kita kerana tidak terlihat asap kemeyan dan tengkorak yang menakutkan.
Tetapi, percayalah saudara-saudara (ini bukannya ‘Amanat
Haji Hadi’)! Kuasa kejahatan itu memang ada. Selepas 8 Mac lalu, roh Parlimen, jiwa
syura, dan semangat demokrasi itu sudah lama mati.
Kita kini sedang berdepan dengan Parlimen yang dipenuhi puak-puak
puaka kejahatan. Kita sudah ditipu dengan helah Lahad Datu dan umat diperdayakan
dengan lembaga-lembaga kemunafikan. Gambaran di fikiran kita dibayangi dengan
darurat jika berlaku demonstrasi lagi.
Kitaran kebodohan ini diwarnai media awam raya. Selepas 8
Mac, media awam kita sepatutnya bersujud rukuk di bawah lembaga khas yang bebas
oleh sebarang kawalan kerajaan. Kerajaan kini tak lagi wujud.
Roh dan jiwa manusia yang memelihara jin itu sebenarnya telah
pun lama mati dan jasad pengamal ilmu hitam itu kini dikuasai jin yang
dipeliharanya selama ini. Sudah lama Melayu dikuasai ketakutan ini.
Dalam sejarah, hanya ada satu watak manusia sahaja yang sudah
lama mati tapi jin-jin sendiri masih lagi hidup dibelenggu oleh rasa takut
kerana menyangkakan manusia itu masih lagi hidup memerintah.
Adapun nama manusia itu - Raja Sulaiman. Baginda wafat
dalam keadaan berdiri sehingga jin-jin berkata selepas kewafatannya, “Kalaulah kita
tahu Sulaiman sudah mati, nescaya tidak kita dihinakan sebegini.”
Jin itu mengetahui kematian Raja Sulaiman setelah tongkatnya
patah oleh anai-anai yang memakannya. Maka, kita sekarang pun demikianlah juga
halnya. Yang lama mati adalah kerajaan yang dilanjutkan itu.
Sekarang menjadi tugas semua untuk terus berikhtiar dan
berusaha menyedarkan masyarakat agar tidak lagi patuh ke atas kerajaan yang
sudah lama hilang mandatnya itu.
Demam pilihan raya tidak menunjukkan kebahnya. Batuk-batuk
demokrasi tiada ditemukan penawarnya lagi buat masa ini. Sikap menanti sudah
tidak relevan dalam keadaan yang memaksa kita semua menjadi doktor. Semua kita
perlu terlibat sama dan berikhtiar membuat pembedahan ke atas sakit demokrasi.
Sakit-sakit demokrasi ini telah lama melepuh dagingnya. Bentan
sakitnya merayap, berdenyut-denyut ke urat sarafnya dan hampir-hampir
merosakkan tulang belakangnya. Jin dan segala hantu puaka itu sudah lama
mentadbir kita tanpa mandat yang diberikan. Ya, kita perlu membedah rawat demokrasi
kita kini.
Menjadi tugas kita semua merakyatkan wacana demokrasi
agar dikongsi bersama pihak luar negara dan biar ia turut hangat dibahaskan dengan
kedutaan pihak jua. Benazir Bhutto telah matii ditembak tentera Musharraf. Tetapi,
pesanan wasiat dan kata-katanya itu belum pernah mati di hati semua kita.
“Demokrasi perlu didokong bersama oleh masyarakat yang
turut menghargai demokrasi…”
No comments:
Post a Comment