Sunday, January 06, 2013


Takrif kemampuan BN ada masalah?

Oleh BOESTAMAM SARI

Seorang kenalan berkata, walau ada rungutan dalam kalangan belia terhadap rebat telefon pintar (berharga kurang RM500) itu, namun semua itu wajar dirumuskan kepada suatu hala sahaja, iaitu sikap Najib Razak yang telah memungkiri janjinya menjelang pilihan raya pada kali ini.

“Sampai hati Najib Razak kenakan kita kali ini,” katanya lagi. Yang amat menyulitkan, katanya, hadirnya sikap belia pro Umno yang menyokong SKMM-Najib Razak dalam mengukuhkan lagi gerak kerja memungkiri janji ke atas rakyat itu.

Presiden MBM, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee contohnya berkata, para belia yang mampu memiliki telefon pintar di bawah harga RM500 tidak perlu lagi memohon. Ini kerana, peluang itu boleh dibuka ke atas orang lain yang kurang mampu di bawah tawaran Pakej Komunikasi Belia.

Kata beliau lagi, belia perlu memahami tujuan diwujudkan rebat RM200 oleh kerajaan itu iaitu ia bertujuan membantu mereka yang kurang berkemampuan memiliki telefon pintar.

"Jika mampu beli telefon pintar berharga RM1,000 hingga RM2,000, tidak perlu mengharapkan bantuan kerajaan beli telefon. Belia perlu belajar lihat keperluan yang lain, bukan lihat keperluan kita saja,” katanya ketika mengulas hal tekanan dan gangguan perasaan belia mutakhir ini, gara-gara terkesan dengan janji Najib Razak yang dimungkiri berhubung rebat tersebut.

Sebenarnya, Najib Razak tidak pun jelas menyatakan bahawa tujuan kerajaan mengadakan rebat itu adalah untuk memberi kemudahan ke atas belia yang kurang berkemampuan memiliki telefon pintar. Semua orang tahu bahawa belanjawan itu jelas bertujuan memancing undi semata-mata. 

Jadi rakyat boleh terima sikap Najib yang ingin pancing undi itu. Bagi mereka bukan salah Najib Razak kalau beliau ingin memancing undi. Memang itulah yang berlaku di mana-mana pun. 

Dan rakyat seperti ikan yang sedang dipancing. Ikan yang bijak, bukan ikan yang tidak memakan umpan, tapi, ia adalah ikan yang makan umpan jangan sampai mulutnya meragut mata kail. Hari ini, rakyat menjadi ikan yang bijak dan mereka mula memakan umpan dengan bijaksana. 

Barangkali ketika melihat ikan telah bijak berdepan dengan umpan, maka Najib menukar strategi pemancingan. Jadi, marahlah ikan-ikan dan tertekanlah perasaan umat ketika Najib Razak sendiri memungkiri janjinya dalam hal pemberian rebat telefon pintar tersebut. 

Bagaimana Najib Razak ingin berdepan dengan garangan dan kemarahan semua rakyat ini, maka hal itu terpulanglah atas kebijaksanaan Najib bagi menanganinya semula. Sehinggalah catatan ini ditulis, belum ada apa-apa lagi kenyataan rasmi oleh perdana menteri ke atas sikap SKMM ini. 

Apa pun yang Najib ingin sebut selepas ini, maka ingatlah bahawa hal tidak berkemampuan belia itu tidak boleh diukur dengan merujuk gaji bulanan yang mereka. Ini sukatan yang tidak tepat.

Ambil contoh begini. Setiap belia (termasuk yang tidak mampu) boleh mempunyai telefon pintar jika mereka menabung. Ertinya jika ada belia yang tidak mampu membeli telefon pintar berharga RM2,000, namun hakikatnya dia pasti dapat membelinya jika dia menabung berterusan. 

Dan, belia kurang berkemampuan dan sedang menabung bagi memiliki telefon pintar itu tetaplah juga inginkan rebat kerana mereka juga tidak mampu memiliki telefon pintar pada awalnya tadi. 

Belia ini telah memiliki telefon pintar hingga RM2,000 itu sebab mereka setia menanti gaji bulan demi bulan dan menabung setiap bulan. Dan rebat itu perlu kerana mereka juga tidak mampu. 

Maka keberhasilan mereka mendapat telefon pintar RM2,000 itu tidaklah membatalkan hakikat dan status bahawa belia itu masih tidak mampu. Dan oleh itu, rebat itu memang perlu. Hal inilah yang wajar direnung oleh Najib Razak sebelum beliau ingin memungkiri janjinya.