Thursday, March 21, 2013

Umno peralatkan askar di Lahad Datu

Oleh H FANSURI

“Jika tentara bingung dan curiga, penguasa negara tetangga akan menimbulkan masalah. Inilah yang dimakna dengan perkataan, tentera yang bingung menyebabkan kemenangan musuhnya.” --- Sun Tzu

Peristiwa berdarah Lahad Datu itu, sama ada disengajakan atau tidak, akhirnya ia menjadi sebab yang kukuh bagi memanjangkan lagi talian hayat Umno dan Barisan Nasional.

Barangkali memang tiada rancangan pun di dalam fikiran Umno usaha memadamkan bahang api perang yang marak itu. Dunia tidak boleh melupakan kenyataan Hishammuddin Hussein bahawa sengketa di Lahad Datu itu tidak lebih daripada sebuah berita perkhabaran angin sahaja.

Hal ini sekali gus membuktikan bahawa BN tidak banyak memberi perhatian terhadap hal Sabah sebelum ini. Namun, setelah disedari kedudukan sebenar, maka dikerahkan pula tentera ke sana.

Akan lebih banyak nyawa tentera terkorban dan Umno tidaklah bercita-cita hendak menamatkan perang ini. Dr Mahathir Mohamed misalnya, walaupun tiada jawatan lagi dalam kerajaan, tetapi beliau mampu menyeru kerajaan mengirim tentera ke Lahad Datu.

Kerajaan di bawah Najib Razak masih setia mendengar ‘arahan’ bekas Perdana Menteri itu. Dan, ‘perang’ Ops Daulat itu sudah mula kelihatan sulit dihentikan kecuali dengan rundingan.

Media-media arus perdana mula melaporkan berita sehala dan tidak menyiarkan laporan tentang Sulu kecuali sedikit. Itu pun, cerita Sulu cuma dibatasi dengan laporan pemberitaan buruk sahaja.

Media-media sendiri tidak menginginkan perdamaian itu berlaku. Sulu dijenamakan pengganas, dan tentera yang gugur digelar perwira dan pahlawan. Apabila gugur tentera setelah diperalatkan Umno, maka stesen televisyen menyiarkan lagu-lagu sanjungan ke atas tentera yang gugur itu.

Akhirnya tertutuplah fikiran rakyat berhubung hal Umno memperalatkan askar guna melanjutkan perang di Lahad Datu itu. Ya, BN berhasil memainkan sentimen rakyat dengan lagu-lagu emosi.

Lagu-lagu pahlawan yang kerap dimainkan itu akhirnya melupakan fikiran umat tentang hakikat Umno yang tiada berkehendakkan jalan perdamaian itu. Sepatutnya, rakyat berhak mendapatkan maklumat berhubung punca kekecohan melibatkan Lahad Datu itu. Tapi, ini dipadamkan media.

Bagaimana mahu dipatahkan sihir Umno melalui media ini? Pertama, rakyat mestilah diyakinkan bahawa Umno memang enggan pertikaian ini ditamatkan. Lalu, rakyat mesti diyakini kenapa hal ini diinginkan BN. Semua ini tentu saja terkait dengan usaha melanjutkan pembubaran Parlimen.

Pilihan raya kali ini akan menyaksikan kejatuhan BN, sekali gus berakhirnya pemerintahan Najib Razak. Lalu kekecohan sangat diperlukan bagi melanjutkan pembubaran Parlimen. Semua hal ini mesti ada dalam fikiran orang. Selagi ini belum ada, maka BN menang menawan fikiran rakyat.

Sentimen yang sudah dibangkitkan Umno lewat lagu-lagu pahlawan setiap malam, setiap hari ini boleh dikatakan berjaya. Lagu-lagu pahlawan berirama syahdu di televisyen ini akan menidurkan kesedaran dan melambatkan pencerahan kerana jiwa semua orang kini dilanggar sentimen emosi.

Kita tidak boleh menyelesaikan masalah dan pertikaian di Lahad Datu ini berdasarkan perasaan. Sentimen perasaan yang terbawa-bawa dan dihanyutkan ini akan melupakan orang ke atas usaha Umno memperalat tentera bagi memanjangkan perang agar pembubaran Parlimen dilanjutkan.

Mereka yang melihat peristiwa ini sebagai konspirasi Umno akan disiasat. Contohnya Tian Chua diheret dalam kancah perbalahan ini setelah berharian akhbar membedil beliau tanpa pembelaan. Siasatan dan hukuman ke atas Tian Chua akan melambat-lambatkan lagi pembubaran Parlimen.

Ini adalah antara deretan contoh kekecohan yang boleh mengambil masa yang lebih lama. Lebih banyak jiwa terkorban. Semua ini terjadi oleh sebab askar dibingungkan dengan hal yang terjadi mutakhir ini. Adakah mereka turun ke Lahad Datu untuk berbakti, atau agar Umno dapat meraih keuntungan politik mereka menjelang pilihan raya yang tertunda itu?

Hal ini dikait dengan perkataan Sun Tzu, “Jika tentara bingung dan curiga, penguasa negara jiran akan menimbulkan masalah. Inilah yang dimaknakan dengan perkataan, askar yang kebingungan bakal menyebabkan kemenangan musuhnya.” Kini, saat askar bingung, maka Sulu akan menang.

Peperangan ini tidak akan ditamatkan dan tidak akan pernah dihentikan oleh kebingungan tentera dan rakyat sendiri. Mereka yang bingung tidak akan nampak dirinya diperalatkan oleh Umno. Di atas kebijaksanaan golongan pencerah, maka hal ini boleh diselesaikan.

No comments: