Monday, January 16, 2012

Anwar bebas, tapi kehakiman masih ditindas eksekutif

Oleh BOESTAMAM SARI
Anwar bebas! Sekali lagi, umat jangan keliru. Isunya bukan Anwar. Isunya kuasa kehakiman masih ditindas dengan kejam oleh kuasa eksekutif (kerajaan). 
Keputusan mahkamah membebaskan Anwar daripada tuduhan itu akan dimanfaatkan eksekutif, dalam membuktikan kepada rakyat bahawa mahkamah kita ini tidak dikawal oleh kerajaan.

Oleh itu, rakyat mesti dimaklumkan terus-menerus bahawa apa sahaja yang terjadi ini, tidak menunjukkan bahawa mahkamah telah pun pulih dan bebas sepenuhnya daripada cengkaman eksekutif.

Adapun bukti bahawa Umno cenderung mengajak fikiran rakyat ke arah pemikiran seperti itu adalah - lahirnya berita terawal yang mengajak kita semua percaya bahawa sistem kehakiman negara kita pada hari ini masih luhur.

Sejurus selepas mahkamah membebaskan Anwar daripada pertuduhan liwat, lalu rakyat pun mula dimaklumkan melalui berita bahawa hal pembebasan Anwar ini adalah bukti bahawa mahkamah kita sudah bersih dan jernih daripada sebarang taklukan kekuasaan eksekutif itu.

Dalam satu berita selepas tersiar laporan pembebasan Anwar itu, Rais Yatim memajukan pendiriannya bahawa, bebasnya ketua pembangkang itu adalah sebagai lambang bukti bahawa mahkamah kita selama ini sudah pun bebas dan merdeka sepenuhnya.

Inilah taktik serampang dua mata yang sedang dilaksanakan eksekutif ketika merencana 'pembebasan' Anwar. Eksekutif (kerajaan) boleh penjarakan Anwar melalui kuasa mahkamah, tapi desakan ke arah revolusi jadi kuat selepas ini. Dan, semua ini akan membahayakan kedudukan politik Najib Razak.

Jadi, bagi menyelamatkan Najib, lebih baik kerajaan mengambil risiko dan kemudaratan paling rendah, iaitu mengorbankan Saiful dalam 'perjuangannya' memburu 'kebenaran' bagi pihak dirinya. Ya, semua ini terpaksa dilaksanakan Najib, dengan harapan, selepas mengorbankan Saiful, maka umat tak akan bangkit marah ke atas kerajaan di bawah pimpinan Najib Razak.

Oleh itu, setelah kerajaan atau kuasa eksekutif ini tidak memenjarakan Anwar melalui tangan kekuasaan kehakiman, maka satu semboyan yang lain pula didengungkan, iaitu kehakiman kita bebas! Ya... dengan tiba-tiba, kehakiman telah bebas sepenuhnya hanya dengan sebab terbebasnya Anwar!

Sebenarnya, seruan tentang ketelusan sistem kehakiman ini tidak perlu berbangkit lagi. Ini kerana, Anwar ingin merujuk kesnya ke mahkamah syariah dan bukannya ke mahkamah sivil. Ini berlaku sejak awal lagi. Jadi, apa pun hukuman yang dibuat, maka sistem kehakiman yang tidak bebas inilah yang mesti diperjuangkan oleh setiap ahli masyarakat.

Bukti seterusnya bahawa mahkamah tidak bebas boleh ditinjau melalui kedudukan Saiful Bukhari. Saiful, si penuduh yang bersumpah atas nama Allah itu masih bebas berleluasa, tidak dikenakan tindakan. Adakah Anwar akan buat saman malu atas beliau atau tidak?

Tapi saman malu ini penting sebagai bukti kepada rakyat bahawa mahkamah ini bermasalah. Ya, bagi menyemak kembali sama ada sistem kehakiman itu masih dikawal eksekutif atau tidak maka hendaklah Anwar tetap mengemukakan saman malu. Ini sebagai bukti apakah Saiful akan dibela Najib atau pun tidak kali ini.

Kadangkala, kita boleh semak hal kebebasan mahkamah ini dengan melihat luaran sahaja. Misalnya, Najib dan Rosmah tidak dibawa ke mahkamah serta hakim tidak bertegas pula dengan memaksa ketua eksekutif (Najib Razak) masuk ke kandang mahkamah untuk ditemu bual Anwar.

Itu pun sudah menjadi dalil yang cukup jelas bahawa mahkamah kita tidak pernah bebas. Mahkamah tetap terancam pada bila-bila masa sahaja. Ia tidak ada cukup kekuatan dalam memerintah Najib dan Rosmah ke mahkamah untuk diambil kenyataan mereka.

Dalil seterusnya bahawa mahkamah tidak bebas ialah, berpandukan sikap baik polis. Mungkin polis telah tahu keputusan mahkamah yang membebaskan Anwar itu. Polis tahu, jika mahkamah membuat keputusan bahawa Anwar bersalah dan pergi ke penjara, maka rakyat akan merusuh di jalan raya.

Tapi ketika terbocornya maklumat kepada polis bahawa mahkamah akan bebaskan Anwar, maka serentak dengan itu polis yang bertugas di bawah kuasa eksekutif pun tahu bahawa umat tidak merusuh. Maka, kerana itu permit perhimpunan mudah diberi. 
Ya, jikalau maklumat keputusan mahkamah mungkin terbocor kepada polis (akibat mereka sudah menerima arahan eksekutif, mungkin?), lalu di manakah letaknya kebebasan mahkamah?

Sekali lagi, isunya bukan pembebasan Anwar, tapi isunya kuasa kehakiman negara sudah diancam oleh kuasa eksekutif (kerajaan).

No comments: