Tuesday, January 17, 2012

Bendera Najib setaraf Union Jack penjajah British

Oleh BOESTAMAM SARI

"Saya memang sejak dari tahun 1981 kurang bersetuju dengan banyak perkara yang berlaku dalam HEP. Semasa menjadi pegawai HEP di UIAM pada 1985-1994, saya cuba sedaya upaya untuk melaksanakan sesuatu yang baru yang saya anggap benar, walaupun saya turut melakukan beberapa perkara yang sekarang saya kesali.

"Kerana itu, dalam banyak forum, saya sentiasa mencadangkan supaya diwujudkan pendekatan-pendekatan yang baru."
[Petikan tulisan Dato' Saifuddin Abdullah dalam e-book beliau; Kalau Saya Mahasiswa]

Dalam buku maya beliau berjudul 'Kalau Saya Mahasiswa', timbalan menteri pengajian tinggi, Saifuddin Abdullah menyatakan rasa kesalnya ke atas HEP, hatta tindakan beliau sendiri sebagai pegawai HEP di UIAM itu pun turut beliau kesali.

Warga kampus, dalam konteks sekarang, sedang berdepan dengan sekurang-kurangnya dua ancaman. Pertama, ancaman luaran yang bermuara daripada kementerian pengajian tinggi di Putrajaya. Dan keduanya adalah ancaman yang bersifat dalaman, iaitu pengaruh HEP, NC yang menggunakan Auku di IPT masing-masing.

Dalam kes Adam Adli misalnya, gerakan mahasiswa itu terancam oleh kedua-dua ancaman ini, baik dalaman atau pun luaran. Baik HEP atau KPT. Diheret ke jawatankuasa tatatertib, itu bermaksud akan digantung pengajian, kalau pun bukan dibuang universiti. Hukum buang IPTA adalah hukuman tinggi.

Bagaimanapun, Saifuddin jujur dan dia berani pula mengaku kesal terhadap beberapa pendekatannya ketika mengemudikan HEP di UIAM sebelum ini. Ya, dia mungkin cuba memperbaiki masalah HEP di universiti ketika dia sudah menjadi timbalan menteri pengajian tinggi.

Salah satu masalah dalaman yang masih belum dapat diselesaikan di universiti kita pada hari ini adalah masalah pegawai HEP. Golongan ini paling kuat mendesak supaya Auku tidak dimansuhkan. Dengan kekalnya Auku, mereka dapat kekal berkuasa menindas mahasiswa dan warga kampus seluruhnya.

Tetapi inilah rahsia yang mesti difahami betul-betul oleh warga kampus dan rakyat. Iaitu jika dimansuh sekali pun Auku itu, sikap para pegawai HEP yang akan menindas mahasiswa itu masih wujud, walaupun Auku terbatal. Ini kerana rata-rata pegawai HEP ini (kalaupun tidak semua) adalah Aspirasi belaan TNC HEP pada zaman-zaman sebelumnya.

Sebab itu, gerakan pelajar seperti Adam akan berdepan tindakan kampus walau jika ditakdirkan Auku termansuh. Ini kerana, HEP adalah sarang Aspirasi setelah tamat berijazah. Bekas Aspirasi (yang kini pegawai HEP) akan memastikan gerakan siswa haluan kiri ini dilenyapkan dari muka bumi universiti.

Begitu ringkasan mengenai hubungan panjang HEP - Aspirasi (Umno). Maka, nasihat kita, dalam menghukum Adam, pegawai HEP patut menoleh sejarah Umno menurunkan bendera Union Jack. Bendera itu lambang kedaulatan Great Britain dan ia sudah diturunkan pada malam 31 Ogos 1957. Dicatat dalam lembaran sejarah, bahawa British adalah penjajah Malaya.

Catatan sejarah itu tetap kekal, tak boleh diubah walau Zainal Kling telah berkeras bahawa Malaya tidak pernah terjajah. Fikiran songsang ini terkambus, terus hilang dalam lipatan kenangan selepas penggulingan Najib.

Sehebat-hebat Britain yang mencapai kemasyhuran sebagai saingan empayar Turki, ia akhirnya tersungkur rebah. Inilah beza Union Jack dengan bendera Najib. Najib bukan negara dan empayar. Oleh sebab itu, dia bukan entiti mewakili semua pihak, khasnya kita yang bernaung di bawah kibaran Malaysia.

Najib hanya watak yang menaungi ahli-ahli Umno yang sudah sikit bilangannya kerana ramai yang hilang percaya ke atas Najib. Kalau pun ada juak, puak Aspirasi yang hadir demonstrasi di Putrajaya, hakikat sebenarnya, mereka diupah berarak ke Putrajaya. Begitu kedudukan Najib mutakhir ini.

Di celah keriuhan umat yang mahu guling Najib saat ini, hadir mahasiswa Adam yang menurunkan bendera Najib itu. Memang ada yang marah. Ada yang melontar kejian, kutukan caci-maki. Semua ini harus dihadam telinga sesiapa pun yang berbuat hal yang dipandang keji oleh pandangan insan lain.

Mereka turut dipalit fitnah konon mereka pijak bendera. Kata mereka, Reezal Merican memfitnah pelajar memijak bendera itu walhal, yang terjadi adalah penurunan bendera Najib. Itu pun sebagai mengikuti semangat Umno menurunkan bendera Union Jack.

Adam digantung tiga semester. Hukuman Upsi tidak Islamik, tidak mendidik jiwa siswa. Yang Islamik adalah hukum qisas. Jikalau mahu, Najib (atau wakil Aspirasi) boleh turunkan bendera Adam dan naikkan kembali bendera Najib. Hukuman qisas pun selesai. Sesudah itu, Upsi batalkanlah hukuman gantung pengajian tiga semester itu.

No comments: