Thursday, January 19, 2012

Shahar... kenapa Aspirasi mahu Saifuddin letak jawatan?

Oleh ALI BUKHARI AMIR

Antara tempik sorak penggerak demonstrasi 16 jam di Universiti Perguruan Sultan Idris (Upsi) di Tanjung Malim pada malam tahun baru, "Aspirasi Umno diberi berhimpun di Putrajaya, tapi siswa Pakatan Rakyat tidak diizinkan berdemo."

Mereka tentu sahaja marah terhadap sikap tidak adil pihak berkuasa termasuk sikap berat sebelah polis yang merestui demo Aspirasi berlangsung aman di Putrajaya. Sebaliknya, demonstrasi siswa haluan kiri tidak dibenarkan pula.

Bertambah berang, kerana polis yang tidak beri ruang agar mereka berhimpun dalam tempoh demonstrasi paling lama itu. Polis cuma mengulang arahan, bahawa perhimpunan ini berstatus 'perhimpunan haram'.

Tiada lagi rundingan tawar-menawar. Yang ada, hanyalah tempoh selama 15 minit sahaja untuk bersurai. Tawaran polis ini rupa-rupanya menambah rasa tegang dalam kalangan pelajar berkenaan.

Kemudian, antara polis dan pelajar itu telah saling bersahut-sahutan. Apabila polis meminta mahasiswa berkenaan keluar dari kawasan itu, lalu disahut mahasiswa, "Polis yang patut keluar!" Begitu detik drama perbalahan lidah antara polis dan siswa.

Tapi, antara tempik sorak yang tidak dapat saya lupakan adalah betapa pelajar ini menyokong Saifuddin Abdullah. Kita tak perlu tipu diri sendiri. Aspirasi itu pro Umno sementara kumpulan siswa yang berhimpun pada malam itu adalah penyokong Pakatan Rakyat.

Tapi, ada keganjilan dalam kes Saifuddin. Semua orang tahu menteri ini adalah Umno. Tapi Umno aliran Saifuddin ini tidak disukai Aspirasi dan naib-naib canselor universiti. Sudah ada gerakan di pihak Aspirasi yang menuntut agar Saifuddin meletak jawatan.

Kecaman Aspirasi ke atas Saifuddin ini dikesan sejak beliau berkempen agar pelajar diberi kebebasan berpolitik secara kepartian. Hal ini tidak disukai IPT sekali gus dibantah golongan Aspirasi kemudiannya.

Rupa-rupanya dalam Umno ini penguasa (termasuk pentadbir universiti dan Aspirasi) ingin setiap pegawai tinggi kerajaan memihak kepada mereka. Jadi, jika Saifuddin enggan memihak Umno (umpamanya menyokong penuh Auku, menolak pembabitan siswa dalam politik kepartian secara total) maka ruang untuk Saifuddin bernafas di kementeriannya agak sempit.

Oleh sebab Saifuddin tidak sepenuhnya menerima Auku dan tidak menolak pelajar haluan kiri (pro Pakatan Rakyat) seperti Khaled Nordin, beliau dibenci, ditolak Aspirasi sepenuhnya. Sikap Saifuddin yang sebenarnya adalah, beliau juga tidak menyokong siswa haluan kiri yang mahu mansuhkan Auku. Beliau sebaliknya hanya meminda apa-apa yang perlu sahaja dalam Auku.

Saifuddin mencatatkan dalam buku elektroniknya yang berjudul, 'Kalau Saya Mahasiswa, "Dalam perbahasan mengenai AUKU, umumnya terdapat tiga pandangan yang utama. Pandangan yang pertama ialah yang menerima bulat-bulat AUKU 1975. Pandangan yang kedua ialah yang menolak bulat-bulat AUKU. Kedua-dua pandangan ini adakalanya mencerminkan pendirian politik yang dianuti oleh pemegang pandangan tersebut."

Tambah beliau, adakalanya pandangan pertama mempunyai hujah-hujah yang bernas tetapi sukar dibentangkan kepada khalayak. Manakala, adakalanya pandangan kedua terbit daripada kurang membuat penelitian terhadap AUKU itu sendiri.

"Dalam hal ini, wujud pandangan ketiga, iaitu yang sederhana. Pandangan ini menerima kewajaran mewujudkan AUKU 1971, tetapi meminta agar beberapa Seksyen, sama ada pada AUKU 1971 atau pada Pindaan 1975 itu dipinda supaya mahasiswa dapat kembali kebebasan mereka. Saya berpegang kepada pandangan ini," tulisan beliau dipetik.

Jelas sekali pendirian Saifuddin ini. Beliau bukanlah memihak kepada tuntutan Pakatan Rakyat dan Pro Mahasiswa yang menuntut Auku dimansuhkan. Ini laungan yang dipekik (Mansuh Auku) dalam peristiwa Upsi Berdarah pada malam tahun baharu lalu.

Sejurus demonstrasi Upsi, Ketua Aspirasi Mohd Shahar Abdullah mengecam sikap pertubuhan pelajar itu yang berdemo mansuhkan Auku. Pro Mahasiswa lebih rasional dibanding Aspirasi. Ini kerana, biar pun seruan 'Mansuh Auku' itu berbeza dengan sikap Saifuddin yang meminda Auku, tapi Pro Mahasiswa tidak tergamak menyeru Saifuddin meletak jawatan.

Shahar dan Aspirasi tergamak menuntut Saifuddin meletak jawatan hanya kerana selisih pendirian. Beliau serta rakan-rakan Aspirasi patut menulis buku, '100 dalil kenapa Saifuddin perlu letak jawatan' untuk permulaan. Kemudian, baru kita boleh debat terbuka. Adakah dia berani dan mampu menulis buku?

No comments: