Thursday, July 28, 2011

Surat buat KPN: Apa itu Jamuan Teh Boston dan siapa revolusioner Sam Adams?

Oleh H FANSURI

UNGGUN BERSIH

Semakin lara kita didera bara -
kita laungkan juga pesan merdeka:
Demokrasi sebenderang mentari
sehasrat hajat semurni harga diri.


Lama resah kita - demokrasi luka;
lama duka kita - demokrasi lara.
Demokrasi yang angkuh, kita cemuhi;
suara bebas yang utuh, kita idami!

Dua abad lalu Sam Adams berseru:
(di Boston dijirus teh ke laut biru):
Tak diperlu gempita sorak yang gebu,
diperlu hanya unggun api yang syahdu.

Kini menyalalah unggun sakti itu;
kini merebaklah nyala unggun itu.

24—25, 6.11.
A SAMAD SAID


Salam hormat kepada teman-teman revolusioner secara amnya dan salam khusus buat Ketua Polis Negara! Barangkali, sebuah sajak puisi yang baik membuatkan seseorang itu berfikir. Dalam bait sajak A Samad Said di atas, sebaiknya kita dan pasukan polis cuba menyemak siapa Sam Adams yang disebutkan di baris ke-9? Sementara itu, di baris ke-10 termuat pula jalinan kata-kata, "(di Boston dijirus teh ke laut biru)."

Saya teringat peristiwa Jamuan Teh Boston yang termuat dalam buku teks Sejarah Dunia sekolah menengah. Saya tidak saya peduli sangat kerana akal belum bercambah cerdas ketika remaja. (dan Sejarah dianggapnya tidak lebih daripada rekod lama sebagai alat menambah markah sahaja!)

Kita pun menyemak dengan melayari samudera internet bermodal bahtera komputer riba yang maha gagah ini. Lalu,  kita kitab kepada sosok Sam Adams. Bahawa Samuel Adams adalah jenama bir, arak Amerika yang diperbuat oleh Syarikat Beer Boston.

Di Bursa Saham New York (New York Stock Exchange), kod perusahaannya ditandakan dengan kependekan SAM. Syarikat ini diasaskan pada 1984 oleh Jim Koch, Harry M Rubin, dan Lorenzo Lamadrid di Boston, Massachusetts, Amerika.

Jenama Samuel Adams (disingkatkan kepada Sam Adams di iklan), dipilih sebagai tanda penghormatan ke atas Samuel Adams yang dinobatkan sebagai patriot Amerika yang terkenal kerana peranannya dalam Revolusi Amerika dan Jamuan Teh Boston. Beliau juga pembuat arak beer.


Ini secebis maklumat, serangkai pengetahuan terhumban di balik cebisan bait rangkuman sajak ringkas Unggun Bersih. Kita ingin bertanya - maklumat apa yang Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat lewat puisi itu?

Tuan Ketua Polis Negara - polis kini mungkin seorang pemantau, tapi bukan seorang intelligen. Revolusioner kerap memikirkan, kalau polis di negara ini ada sedikit nilai untuk menjadi seperti pemikir, nescaya mereka tak kan akur ke atas titah perintah Najib Razak, khasnya arahan Hishammuddin Hussein.

Jika anda membaca akta, menyemak Perlembagaan dan boleh mandiri, maka tentu saja anda bertembung dengan penguasa dan membetulkan kesilapan mereka. Apabila polis boleh bersikap adil dan membetulkan sikap penguasa, maka tidak mungkin huru-hara berlaku seperti yang terwujud pada hari ini.

Wajarkah, hanya kerana puisi Unggun Bersih, maka Sasterawan Negara disiasat di bawah Akta Hasutan?

Sekali peristiwa, Imam Hasan Al-Banna, seorang tokoh terulung, penggerak dan pengasas Ikhwan pernah menasihati seorang pegawai polis yang datang ke rumahnya untuk menangkapnya atas suatu hal tertentu. Lalu, ruang kesempatan itu dimanfaatkan beliau untuk tampil menjelaskan kepadanya tentang Islam. Saya bukan Hasan Al-Banna. Lidah pertuturan dan tulisan saya agak keras dan tajam menikam rasa.

Kita bukan revolusioner da'ie yang terbagus. Tapi, bagaimanapun, dengan muatan isi surat ini, mari kita sama-sama merenungkan kedudukan negara kita hari ini. Mewakili revolusioner serata negara, bahawa pesan kami yang terutama ialah - jangan sesekali Ketua Polis Negara takut kepada penguasa Najib Razak dan Hishammuddin Hussein.

Mereka manusia biasa dan biasa tersasar arahan. Jika mereka silap, kenapa polis dan rakyat jelata semua berlumba-lumba ke lubang biawak dan lembah durjana itu? Kita semua ada akal fikiran, mata dan telinga yang kemudian akan dipersoalkan Tuhan kelak.

Bergabunglah bersama kami, para revolusioner untuk membina sebuah tatanan dunia baru. Nanti kami tawarkan beberapa dasar yang munasabah, lebih berfaedah kepada polis-polis di negara ini. Anda berhak melawan Pakatan Rakyat ketika mereka korup seperti BN hari ini. Dan, banyak lagi pesanan yang akan kami muatkan kepada anda buat catatan masa depa. Cukuplah kita bicara tentang Sam Adams terlebih dulu dalam nota kali ini.

No comments: