Kebebasan media pilihan raya perlu dituntut di jalan raya
Oleh H FANSURI
Ketika ini acara LIMA 13 pun tamatlah sudah di Langkawi.
Terleka sebentar cerita derita Lahad Datu itu. Lupalah kita kepada hal-hal
tragedi yang menimpa balu-balu tentera.
Ganjil ketika memikirkan -- bagaimana kerajaan masih
ingin mempamerkan kehebatan peralatan tentera apabila rakyat mengetahui
peralatan tentera kita masih ‘lemah’ ekoran terjadinya bolosan di Sabah.
Jadi, jikalau Najib Razak masih bermaruah, nescaya LIMA tidak
diadakan. Tapi, oleh kerana mereka tidak bermaruah, maka hal itu dibiarkan
sahaja. Lalu timbul desas-desus mengenai kemungkinan pembubaran ini sengaja
dilewatkan gara-gara ada hajat mengaut laba keuntungan komisen peralatan
tentera itu.
Akhirnya, semua persepsi dan tanggapan di atas tak akan
pernah dibahas tuntas di media. Hal ini terjadi kerana - untuk setiap perkara
ini, media tidak pernah diberikan kebebasan untuk melaporkannya.
Hal ini bukan terjadi dalam kes berdarah di Lahad Datu
sahaja. Memang akan banyak juga perkara yang bersangkutan dengan permasalahan
kehidupan rakyat akan turut disembunyikan penguasa.
Maka, peranan asal media sebagai alat jurubantu dalam
meluaskan pandangan rakyat, tiba-tiba berubah menjadi alat propaganda Umno dan
BN sekali gus menindas pemikiran rakyat. Penindasan ke atas fikiran ini juga boleh
diperhitungkan sebagai seni deraan halus dan gagal dikesan menurut Unesco dan
PBB.
Semua ini terjadi kerana kesan daripada pemerkosaan Umno,
BN ke atas pelaksanaan kebebasan media. Ada tiga pertahapan di mana Umno, BN
memperalatkan media awam - sebelum bubar, ketika bubar dan selepas pilihan raya
umum. Lazimnya, pada ketiga-tiga tahap ini, Umno, BN yang menguasai media!
Sebelum terjadi pembubaran Parlimen sekali pun, Umno, BN sudah
memperalatkan media awam rakyat semahu-mahunya. Apatah lagi ketika Parlimen
dibubarkan nanti? Adakah kebebasan media akan diberi?
Jawapannya, tentu
sekali tidak! Beberapa pilihan raya sebelum ini pun, kita dapat melihat
kesungguhan BN dalam menguasai media pada ketiga-tiga tahap ini – sebelum bubar
Parlimen, menjelang bubar serta selepas pilihan raya umum. Hal ini boleh sahaja
kita marahkan kepada Umno dan BN.
Tetapi, tahukan anda, bahawa hal ini terjadi kerana
ekoran kesalahan dan kesilapan rakyat itu sendiri. Ya ia (sikap Umno, BN
menguasai media pada ketiga-tiga fasa, tahap) terjadi lantaran sikap kita yang
belum jelas dengan kebebasan media. Rakyat kurang muhasabah dan tiada motivasi
untuk membahas hal ini.
Ceramah-ceramah politik kita hanya melibatkan usaha
menerangkan manifesto dan selebihnya hal yang bersangkutan dengan salah laku
Umno sahaja. Seolah-olahnya, kita boleh menang di atas kelemahan BN dan bukan
dipilih rakyat dengan sebab kekuatan diri sendiri.
Barangkali masih ramai yang teringat sandiwara Najib
Razak berhubung kebebasan media apabila beliau berjanji akan membatalkan ISA
sebelum ini. Kebetulan pada masa yang sama permit penerbitan Harakah telah
ditarik sebelum itu. Najib Razak benar-benar bersandiwara menunjukkan kesalihan
dirinya.
Bersama-sama pengumuman membatalkan ISA, lalu Najib turut
menarik semula sekatan yang dikenakan ke atas Harakah sebelum itu, iaitu penggantungan
permit penerbitan Harakah. Lakonan sandiwara inilah yang menyebabkan orang
melihat Najib Razak berwatak baik kerana menarik balik penggantungan itu.
Padahal, penggantungan permit penerbitan akhbar itu
mestilah dihalang oleh Najib Razak sejak awal lagi jika beliau ingin benar
melihat wujudnya kebebasan media diamalkan di Malaysia ini.
Jadi, ringkasnya, di tangan Najib Razak dan kerajaan,
amalan kebebasan media pada hakikatnya tidaklah wujud melainkan (jika ada), ia
hanya terjadi bertujuan sandiwara dan lakonan semata-mata.
Kita sendiri, pengamal media mestilah merancang suatu
gerakan merakyat agar jalan raya dipenuhi lagi dengan rakyat yang menyokong
gagasan bersama – kebebasan media menjelang pembubaran Parlimen
sekurang-kurangnya. Rakyat perlu dibangunkan fikirannya bahawa kebebasan media
itu adalah wajib!
Mereka, iaitu rakyat perlu sedar bahawa kebebasan media
itu akan hanya terlaksana jika mereka sendiri berani turun ke jalan raya sekali
gus menggesa agar diwujudkan mekanisme untuk mengendalikan RTM, Bernama dan
Jabatan Penerangan menjelang pembubaran Parlimen pada kali ini!
No comments:
Post a Comment