Thursday, June 22, 2006

Hikayat Seribu Satu Millennium: Bab kedua: Darihal batu: - Politik batu dan batu berpolitik


Oleh Ali Shari'ati Jr.
Sekolah Pemikiran Bantul


[Diadaptasi dan diubahsuai daripada ruangan 'Gosip Semasa' - Anak Kecil Main Api di Harakahdaily.net. Cerita rekaan ini tiada kena-mengena dengan mana-mana individu sama ada yang masih hidup atau yang telah mati. Jika ada, hal yang demikian itu adalah terjadi secara kebetulan sahaja.]




Anak Kecil Main Batu

Ketika itu usia saya mungkin tiga atau empat tahun, saya adalah seorang anak-anak lelaki yang comel dan montel adanya tidak seperti sekarang. "Melecaih," kata arwah nenek sebelah ayah. Saat itu, nenek yang mengasuh saya di rumah ketika ibu mengajar di sekolah dan bapa bekerja di Imigresen Kuala Perlis.

'Melecaih' atau melecas adalah loghat Kedah 'purba' yang ditujukan kepada seorang kanak-kanak yang lincah, tak boleh duduk diam hingga mendatangkan kesusahan kepada orang tua untuk mengawalnya. Atau, dalam kata lain, buas dan nakal sekali.

Seperti anak-anak lain, saya turut diusik pelajar-pelajar sekolah rendah yang lalu-lalang depan rumah. Usikan itu lazimnya daripada pelajar wanita. Mungkin tabiat kaum wanita agaknya, kalau terjumpa kanak-kanak kecil, mereka suka cubit. Saya adalah salah seorang mangsa mereka. Tapi, saya terlupa, adakah saya pernah membalas mereka dengan cubitan juga atau melalui kata-kata.

Di usia kecil, saya memang pantang melihat kucing yang berlari-lari di depan rumah menjelang senja. Lazimnya, saban petang itulah saya bermain ditemani ibu dan nenek yang sedang berbual di muka pintu. Atau, kadangkala mereka cuma memerhatikan saya bermain-main di padang yang tidak jauh dari rumah.

Demi terlihat saja sekumpulan kucing yang putih melepak itu, saya jadi geram. Mahu saya ligan semua kucing itu sampai dapat. Ke mana saja kucing itu lari, saya cuba menangkapnya sampai dapat walaupun seekor. Rasa-rasanya, kucing-kucing itu tidak bertuan. Kemudian, saya akan bermain dengan ekornya yang akan melibas-libas ke wajah saya bagaikan pedati itu.

Jadi, kalau tak dapat menangkap kucing, sebiji batu dikutip lalu saya tinjukan kepada mereka. Haa.. padan muka, saya menjerit kesukaan apabila melihat mereka berlari jauh meninggalkan saya. Hati pun terasa puas dengan sendirinya.

Ertinya, naluri menjahanamkan makhluk Tuhan yang lain sudah wujud saat itu. Kalau batu yang saya tinjukan tadi gagal mengenai sasaran, saya rasa geram semula. Saya rasa, kucing-kucing ini patut diberikan pengajaran sekali-sekala. Demikian cara berfikir di zaman anak-anak.

Berbalik kepada cerita pelajar wanita sekolah rendah yang suka menyakat saya di waktu kecil, kata ibu, mereka memang suka memanggil nama saya. Ini kerana, saya akan memberikan respon yang cukup baik sehinggakan mereka tertawa melihatkan telatah saya.

"Ali.." mereka beramai-ramai memanggil nama saya di suatu hari. Sebagai kanak-kanak 'melecaih', saya dengan spontan menjerit semula penuh kesukaan, "Iyaa...!!!"Lalu deraian tawa meledak dalam kalangan mereka lewat petang itu. Itulah yang ibu ceritakan dulu.

Mungkin kerana itu mereka suka melaungkan nama saya kerana ingin melihat respon saya. Namun, di suatu hari, ada satu kejadian yang sampai hari ini melekat dalam kepala. Hingga kini saya berasa menyesal apabila mengenangkannya.

Alkisahnya, pada suatu hari, ketika sang suria rembang-rembang terpacak di atas ubun-ubun kepala, seorang gadis berjalan di depan rumah kami. Usianya mungkin dalam lingkungan 10 ke 12 tahun. Pelajar sekolah rendah itu berjalan pulang menuju ke rumahnya selepas tamat waktu persekolahan.

Saya ketika itu ditemani nenek yang berada di muka pintu depan rumah. Hal yang biasa berlaku. Gadis itu memanggil nama saya dan melambai-lambaikan tangannya. Tetapi, respon saya di kala itu cukup luar biasa. Entah kenapa, saya terjun ke bawah. Lalu, saya ambil sebiji batu yang cukup muat digenggam oleh seorang anak kecil.

Atau, tak silap saya. Batu itu boleh tahan juga besarnya. Lebih besar daripada penumbuk anak kecil barangkali. Nenek memekik, cuba menahan tindakan saya itu. Dia boleh memahami apa yang bakal saya lakukan. Gadis itu mula berasa risau.


Dia mula menundukkan kepala kerana terasa diancam bahaya dan kedua-dua bahunya cuba dirapatkan sehinga kelihatan dadanya semakin sempit. Dia cuba berlagak biasa, berjalan penuh hati-hati agar tidak kelihatan seperti takut dan separa cemas. Dia tidak berlari langsung, sambil matanya sentiasa berawas memerhatikan gerak laku saya.

"Hei.. jangan," nenek cuba menahan tangan saya. Tindakan nenek lambat. Ketika nenek bersuara, batu itu telah melayang jauh hampir meninju kepala anak gadis itu. Yang saya takjubkan, apabila batu itu melayang, ia betul-betul melintas tepat di atas kepala gadis yang menundukkan sedikit kepalanya itu. Sungguh ... Allahlah telah menyelamatkannya!

Nyaris dan sipi-sipi batu itu mengenai kepalanya. Harus celaka besar dan kalau cedera, memang darah akan terpercik daripada kepalanya itu. Saya masih ingat. Batu itu memang laju. Momentumnya memang menyebabkan ia boleh melayang jauh.

Sebabnya, sebelum saya meninju gadis itu dengan batu, saya masih ingat, saya memang mengambil lonjakan dari belakang seperti ahli sukan lempar lembing melontarkan tombak lembingnya dalam acara sukan Olimpik!

Ya Rabbi! Apa yang telah saya lakukan? Gadis itu berjalan seorang diri dan langsung pulang ke rumah. Mungkin di hatinya masih bersarang rasa cemas penuh debaran. Mungkin dalam hatinya separuh berbisik, "Haram daku memanggil nama si Sinchan itu lagi!"

Nenek meminta maaf daripada gadis itu. Katanya, cucunya tidak tahu apa-apa. Gadis itu mengangguk lalu pulang. Apabila dikenangkan, apakah yang wujud dalam fikiran saya ketika itu? Adakah saya lihat gadis itu bagaikan sekawan kucing yang saya tinju dengan batu saban petang? Sehingga kini saya tidak mendapatkan jawapannya. Kita pun bukannya akil baligh lagi.


Peranan batu dalam perjuangan Nabi dan Rasul

Apabila masuk sekolah rendah, saya terjumpa riwayat mengenai sirah nabi di sekolah mengenai batu Hajarul Aswad yang hanyut ditelan banjir kilat di Makkah suatu masa dulu. Ketika itu, perbalahan berlaku mengenai siapa yang berhak meletakkan semula batu itu di tempat yang asalnya.

Diringkaskan cerita, suatu keputusan diambil, iaitu sesiapa yang ditemui hadir paling awal di masjidil haram untuk bersolat esok paginya, maka orang itulah yang berhak menjadi hakim dalam perbalahan itu. Muhammad bin Abdullah al-Amin terpilih! Saat itu, sosok yang mulia itu belum lagi diangkat sebagai nabi dan rasul.

Keputusan dibuat. Kain serban Muhammad dihamparkan ke tanah. Keempat-empat bucu serban dipegang oleh empat pemimpin kabilah yang bertelagah tadi. Mereka lalu mengiringi Hajarul Aswad yang diletakkan oleh Muhammad ke dalam serbannya sehingga tiba ke tempat sebenar batu itu. Akhirnya, baginda sendiri yang meletakkan batu itu tempat asalnya. Saat itu, baginda berusia 35 tahun menurut tahun Hijrah.

Lima tahun berikutnya, Muhammad diangkat sebagai rasul terakhir sepanjang zaman sepanjang peradaban. Baginda mengulangi apa-apa yang pernah dilalui oleh nenek-nenek baginda; Ibrahim dan Ismail, iaitu kedua-dua nabi itulah yang telah menyusun batuan untuk membina semula Kaabah yang sehingga hari ini ditawaf oleh seluruh manusia dari serata dunia!

Batu-batu adalah antara penunjuk-penunjuk awal ke arah kenabian dan kerasulan! Nabi Ibrahim di usia mudanya adalah seorang pemuda yang keras dalam memerangi kesyirikan dan musyrikin. Semua batu-batu berhala itu dihancurkannya sehingga menimbulkan kemarahan penduduk setempat.

Dalam surah al-Fill, ada disebutkan juga bahawa ketika Tuhan mahu membinasakan tentera Abrahah, Allah S.W.T telah menurunkan burung Ababil daripada neraka yang membawa batu-batu panas. Lalu dicampakkan atau ditinjukan batuan itu dari atas udara ke tanah seperti mana pesawat udara perang yang mencampakkan bom dari udara di zaman perang.

"Yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras. Lalu, ia menjadi mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat." --- (al-Fiil: 4 - 5)

Kemudian, apabila kita membaca al-Quran, Tuhan menyuruh kita membaca ta'awwuz. Dalam ayat itu ada disebutkan bahawa kita perlu meminta pertolongan daripada syaitan yang direjam. Direjam dengan apa? Mungkinkah dengan batuan istimewa dari langit? Atau mungkin juga dengan meteor? Wallahu 'alam.

Juga diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w pernah singgah ke Taif untuk berdakwah kepada penduduk di situ. Jubah dan serbannya yang berwarna putih itu akhirnya bertukar merah akibat penduduk di situ melontarkan batu ke atas sosok yang mulia itu.

Apabila usia dewasa, saya dapati, tindakan membaling batu adalah sebahagian fitrah semulajadi manusia. Mungkinkah sebab itu kita dituntut melemparkan batu jamrah ketika menunaikan fardhu haji?

Amalan melempar batu di jamrah itu adalah sebagai tanda kita mengikut contoh Nabi Ibrahim a.s yang pernah melempar batu kepada syaitan yang cuba menggodanya untuk tidak menunaikan perintah Allah S.W.T.

Ada ayat al-Quran yang menjelaskan peristiwa Talut (Toliath) menentang Jalut (Goliath). Dalam peperangan Bani Israel melawan penjajahan Jalut itu, Talut akhirnya dibantu seorang kanak-kanak; Daud yang masih kecil.

Ada riwayat yang saya baca menunjukkan bahawa Jalut mati bukan dengan tikaman pedang, tetapi dengan sebutir batu yang dilastikkan oleh Daud tepat mengenai wajahnya, lalu Jalut mati.

"Oleh sebab itu, mereka dapat mengalahkan tentera Jalut dengan izin Allah, dan Nabi Daud (yang turut serta dalam tentera Jalut) membunuh Jalut. Dan (sesudah itu) Allah memberikan kepadanya (Nabi Daud) kuasa pemerintah, dan hikmat (pangkat kenabian) serta diajarkannya apa yang dikehendakiNya. Dan kalaulah Allah tidak menolak sesetengah manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan sesetengahnya yang lain (yang beriman dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini; akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurniaNya kepada sekalian alam." --- (al-Baqarah: 251)

Di dalam al-Quran disebutkan juga bahawa fitrah Allah itu ada pertaliannya dengan fitrah manusia. Surah ar-Ruum ayat 30 telah menunjukkan perkaitan antara hubungan tindakan/sifat Tuhan yang ada keterkaitannya dengan tindakan/sifat manusia. Di samping itu, kita temui sepotong hadis berbunyi: "Berakhlaklah kamu dengan akhlak Allah."

Maka, bertitik-tolak dari sini, saya dapati perbuatan meninju makhluk lain adalah suatu hal yang normal dan biasa. Cuma yang kita boleh berbual di sini ialah atas tujuan apa dan matlamat apa tinjuan, balingan, lemparan, lontaran itu dilakukan.

Kalau ia bertujuan mempertahankan diri, maka baguslah. Cuma, dalam kes saya semasa kecil dahulu, lontaran batu ke atas kucing dan anak gadis itu bukanlah suatu yang sangat baik kerana kedua-dua makhluk itu bukanlah ada dosa apa pun kepada saya.

Mengapa kita sebutkan bahawa hal meninju, membaling batu itu terkait dengan sifat Allah S.W.T? Ini kerana, di dalam al-Quran ada dalil yang menunjukkan bahawa Tuhan meninju umat yang zalim dengan batu-batu daripada langit sebab iktibar kepada umat lain, khususnya kepada umat Nabi Muhammad s.a.w sebagai umat istimewa dan terakhir.


Tuhan meninju dengan batu dari langit?

Apabila kita menyelam jauh ke dalam lautan ilmu al-Quran, kita akan temui pelbagai mutiara hikmah yang memperihalkan azab dan siksa Allah ke atas umat yang degil dengan batu-batu yang dilontarkan daripada langit.

"Dan kami telah menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan). Oleh itu, lihatlah, bagaimana akibat orang-orang yang melakukan kesalahan." --- (al-A'raff: 84)

"Dan (ingatlah) ketika mereka (kaum musyrik Mekah) berkata: "Wahai Tuhan kami! Jika betul (Al-Quran) itu ialah yang benar dari sisimu, maka hujanilah kami dengan batu dari langit, atau datangkanlah kepada kami azab seksa yang tidak terperi sakitnya." --- (al-Anfaal: 32)


"Maka apabila datang (masa perlaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu tunggang terbalik (tertimbus segala yang ada di muka buminya), dan Kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu. Batu-batu itu ditandakan di sisi Tuhanmu (untuk membinasakan mereka), dan ia pula tidaklah jauh dari orang-orang yang zalim itu. --- (Hud: 82-83)

"Mereka berkata: "Wahai Syuaib, kami tidak mengerti kebanyakan dari apa yang engkau katakan itu, dan sesungguhnya kami melihat engkau orang yang lemah dalam kalangan kami; dan kalau tidak kerana kaum keluargamu, tentulah kami melimparmu (dengan batu hingga mati). Dan engkau pula bukan orang yang dipandang mulia dalam kalangan kami!" --- (Hud: 91)

"Maka Kami jadikan negeri kaum Lut itu tunggang-balik (tertimbus segala yang ada di muka buminya), dan Kami hujani atasnya dengan batu dari tanah yang dibakar." --- (al-Hijr: 74)

"Adakah kamu (sesudah diselamatkan ke darat) merasa aman (dan tidak memikirkan), bahawa Allah akan menggempakan sebahagian dari daratan itu menimbus kamu, atau Ia akan menghantarkan kepada kamu angin ribut yang menghujani kamu dengan batu; kemudian kamu tidak beroleh sesiapapun yang menjadi pelindung kamu?" --- (al-Israa': 68)


Namun, ada juga ugutan membaling dengan batu daripada orang kufur kepada orang soleh seperti yang terkena ke atas Ibrahim a.s. Hal inilah yang telah berlaku ke atas Nabi Muhammad di Taif sebagai ulangan peristiwa yang silam.

"(Azar) menjawab: "Patutkah engkau membencikan tuhan-tuhanku, wahai Ibrahim? Demi sesungguhnya, jika engkau tidak berhenti menyeru dan menasihati daku, sudah tentu aku akan melontarmu dengan batu; dan (ingatlah, lebih baik) engkau tinggalkan daku sepanjang masa". --- (Maryam: 46)

"Tidakkah kau melihat Allah mengarahkan awan bergerak perlahan-lahan, kemudian Dia kumpulkan kelompok-kelompoknya, kemudian Dia menjadikannya tebal berlapis-lapis? Selepas itu engkau melihat hujan turun dari celah-celahnya. Dan Allah pula menurunkan hujan batu dari langit, gunung-ganang (awan) yang ada padanya; lalu Ia menimpakan hujan batu itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Sinaran kilat yang terpancar dari awan yang demikian keadaannya, hampir-hampir menyambar dan menghilangkan pandangan." --- (an-Nur: 43)

"Maka, masing-masing Kami binasakan dengan sebab dosanya, iaitu antaranya ada yang Kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu; dan ada yang dibinasakan dengan letusan suara yang menggempakan bumi; dan ada yang kami timbuskan dia di bumi; dan ada pula yang Kami tenggelamkan di laut. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganaiaya diri sendiri. --- (al-Ankabut: 40)

Kita lihat ada banyak cerita batu ini terkait dengan Nabi Ibrahim a.s. Misalnya, para malaikat pernah mendatangi Ibrahim sebelum mereka diperintahkan untuk menghancurkan umat Nabi Lut. Dalam surah adz-Dzaariyaat, ayat 31 hingga 37 ada disebutkan ceritanya sebagai di bawah ini: -

- Nabi Ibrahim bertanya: "(Selain dari itu) apa lagi tugas penting kamu wahai utusan Tuhan?"- Mereka menjawab: "Sesungguhnya Kami diutus kepada suatu kaum yang berdosa (untuk membinasakan mereka);
- "Supaya kami menimpakan mereka dengan batu-batu dari tanah (yang dibakar),
- "Batu-batu itu ditandakan di sisi Tuhanmu, untuk membinasakan orang-orang yang melampaui batas (dalam keingkarannya)".
- (Setelah sampai utusan Kami ke tempat itu), Kami (perintahkan mereka) mengeluarkan orang-orang yang beriman yang tinggal di situ.
- (Sesudah diperiksa) maka (utusan) Kami tidak mendapati di situ melainkan sebuah rumah sahaja yang ada penduduknya dari orang-orang Islam (yang beriman kepada Nabi Lut).
- Dan Kami tinggalkan di negeri itu (timbunan batu-batu yang telah menghujani dan membinasakan mereka), sebagai tanda (yang mendatangkan keinsafan) bagi orang-orang yang sedia takut kepada azab siksa yang tidak terperi sakitnya.


Umat Nabi Lut a.s adalah contoh paling popular dalam kes hujan batu dari langit ini. Ketika azab itu mahu diturunkan, Allah meminta Nabi Lut dan para pengikutnya keluar daripada wilayah mereka pada waktu malam.

"Sesungguhnya, Kami telah menghantarkan kepada mereka angin ribut yang menghujani mereka dengan batu, kecuali keluarga Nabi Lut, Kami selamatkan mereka (dengan menyuruh mereka keluar dari situ) pada waktu jauh malam." --- (al-Qamar: 34)

Azab seperti batu dari langit juga terkait dengan tindakan Tuhan merombak sisi dan struktur alam seperti tanah lalu umat itu tenggelam dan terkubur dengan sendirinya. Hal ini terkait juga dengan bencana alam seperti gempa bumi.

"Patutkah kamu berasa aman kepada Tuhan yang pusat pemerintahanNya di langit itu: menunggang-balikkan bumi menimbus kamu, lalu bergegarlah bumi itu dengan serta merta (melenyapkan kamu di bawahnya)? Atau, patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Allah yang menghantarkan kepada kamu angin ribut yang menghujani kamu dengan batu; maka dengan itu, kamu akan mengetahui kelak bagaimana buruknya kesan amaranKu?" --- (al-Mulk: 16 - 17)

"Dan Kami hujani mereka dengan hujan (azab yang membinasakan); maka amatlah buruknya hujan azab yang menimpa kaum yang telah diberi amaran." --- (Asy-Syu'araa': 173)


Batu dalam pandangan alam Melayu

Berdasarkan ayat al-Quran di atas, disebutkan bahawa tanah-tanah yang dibakar itu menjadi keras bagaikan batu. Mungkin, batu ini berasal-usul daripada tanah. Setelah terkena panahan cahaya matahari sepanjang zaman, maka jadilah dia batu. Kalau kita lihat pembuatan buyung dan labu sayong yang diperbuat daripada tanah liat, ia dibakar hingga menjadi keras bagaikan batu.

Nampaknya, al-Quran mendahului pemikiran manusia dalam pelbagai aspek kehidupan. Itu baru satu contoh. Orang Melayu membuat labu, buyung dan lain-lain perkakas dapur bukannya merujuk al-Quran pun. Ini maknanya, mereka melakukan semua itu berdasarkan naluri fitrah mereka sendiri. Dengan tiba-tiba, lahir idea itu, berkembang dengan sendirinya.

Selain itu, ada beberapa kisah mengenai batu. Salah satu yang popular ialah Sang Kelembai yang feelnya suka menegur sehingga orang yang ditegurnya itu berubah menjadi batu. Kalaulah Sang Kelembai berjalan di depan rumah dan menegur saya seperti mana pelajar-pelajar sekolah perempuan yang suka menegur saya kecil dahulu, maka nahaslah saya.

"Hai Ali, apa khabar?" tegur Sang Kelembai sambil tersenyum simpul bahasanya. Jangankan nak membalas teguran, nak baling batu kepada Sang Kelembai sepertimana halnya saya membaling batu kepada pelajar wanita dulu pun belum tentu.

Tup! Tup! Tercongoklah batu 'Ali The Legend' yang seperti beraksi membaling lembing dalam Sukan Olimpik di depan rumah sebagai tatapan (hiburan) generasi depan. Haaa... barulah padan muka saya!

Atau, jika Sang Kelembai seorang guru wartawan, dia boleh menegur jika teknik laporan berita saya itu bermasalah. "Ya syeikh, enta ni mengarang cerpen ke tulis berita? Habislah duit ana, kerana menghantarkan enta ke sana-sini. Satu habuk pun tarak."

Maka, saya pun beranglah. Lalu, saya balas teguran itu, "Ana bukan bikin cerpen ya syeikh, ana ... "

Tanpa menghabiskan ayat terakhir, tup! tup! Sebongkah batu tercongok depan komputer. Sayalah tu. Siapa lagi? Jadi, bukanlah kita yang tulis berita. Kita pula yang menjadi bahan berita --- "Seorang pemberita menjadi batu dek sergahan Sang Kelembai." Terpampang berita itu menjadi berita utama muka depan.

Lalu, berita ini menjadi topik hangat dan polemik yang berpanjangan dalam mengisi wacana baru kebebasan akhbar dan kebebasan bersuara di negara kita. Jangankan ditangkap di bawah ISA, Auku dan lain-lain akta drakonian ciptaan bangsawan drakula, mahu menyatakan kebenaran diri di depan Sang Kelembai pasca-moderen pun bermasalah.

Izinkan saya hentikan rapuan saya terlebih dahulu. Bukannya apa. Panjang bercerita darihal serius ini, kadangkala membuatkan orang gundah gulana bermuram durjana jadinya. Mungkin tuan-tuan yang budiman tertanya-tanya, darihal apa kejadahnya maka si jahil ahmak ini mengheret jalan pemikiran tuan-tuan kepada Sang Kelembai?

Puncanya ialah, dalam pandangan bodoh saya ini, saya melihat Sang Kelembai ini sebenarnya adalah seorang nabi dan rasul. Hal ini diambilkira jika cerita dongengan itu adalah sebuah hakikat nyata yang benar adanya sebagaimana yang pernah dihikayatkan orang-orang tua di zaman bahari dahulu.

Berdasarkan nas dan dalil di atas, memang didapati Tuhan telah mengutuskan nabi dan rasul kepada manusia. Ada antara mereka yang menolak, lalu mereka dihujani batu daripada langit. Sebenarnya, ada banyak lagi contoh. Tidak mampu saya kutipkan semuanya kerana keterbatasan ilmu saya yang dangkal dan juga keterbatasan masa untuk mengarang.

Kalau Sang Kelembai adalah seekor haiwan (kata orang, ia adalah monyet. Atau mungkin juga keturunan Bigfoot!), maka tentulah hal ini bercanggah dengan prinsip karamah insaniyyah. Prinsip ini kemuliaan insan menyebutkan; manusia sebaik-baik kejadian dan semua isi dunia ini dijadikan khusus untuk manusia sebenarnya, dan bukanlah sebaliknya!

Jadi, kalau haiwan boleh menyumpah kita sehingga menjadi batu, maka hinalah manusia itu! Kita boleh faham, bahawa Zat mulia seperti Tuhan boleh menukar wajah insan kepada monyet seperti yang Tuhan sebut dalam al-Quran ke atas Bani Israel yang degil. (Lihat al-Baqarah: 265, al-Maidah: 60, dan al-A'raff: 166)

Tapi, kalau Sang Kelembai ada makhluk yang bertaraf rendah, maka dia gugur kelayakannya untuk menjadikan kita batu melainkan Sang Kelembai ini mestilah manusia suci adanya.

Manusia suci atau dalam istilah lain; Insan Kamil adalah manusia yang telah bermujahadah melawan nafsunya hingga mencapai taraf kemuliaan, martabat dan maqam yang tinggi. Mereka ini tentulah wali-wali keramat, orang-orang soleh atau pun nabi-nabi di zaman purba sebelum kedatangan Islam!


Dakwah Sang Kelembai kepada umat Melayu

Dalam renungan bodoh saya, mungkin ada dakwah dan risalah yang sampai kepada umat Melayu di suatu masa dahulu sebelum Islam. Mungkin ada yang telah menolak seruan mereka.

Mereka menyeru dan 'menegur' mereka ke arah kebaikan dan menjauhi kemungkaran. Mungkin pada suatu hari mereka pernah melalui kenduri-kendara yang bercampur lelaki dan wanita sehingga melanggar syariat.

Atau, kenduri itu bertujuan melangsungkan perkahwinan antara saudara lelaki dan wanita seperti adik lelaki berkahwin dengan kakaknya, lalu ditegurlah oleh Sang Kelembai (Sang Lebai).

Akibat tidak mengendahkan teguran itu, maka jadilah mereka batu. Atau pun, mungkin juga Tuhan menghujani mereka dengan hujan batu. Barangkali, sebab itulah timbulnya pepatah - Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri.

Entah-entah, azab Tuhan dalam bentuk hujan batu ini memang wujud di zaman purba. Kaum Kapitalis Nasionalis mengeksploitasikan hal ini sebagai pepatah patriotik. Rasa-rasanyalah! Kita main teka saja. Azab Tuhan dengan batu ini bukan saja dengan hujan batu, bahkan ada nas yang memperihalkan manusia berubah menjadi batu dalam menurut tafsiran al-Quran.

Segala azab yang maha dahsyat ini memang jelas wujud sebelum kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. Setelah zaman Baginda, maka azab yang maha dahsyat ini telah ditangguhkan terlebih dahulu akibat doa Rasulullah s.a.w yang meminta agar umatnya ini, walaupun berdosa besar, tapi azabnya jangan disegerakan sebagaimana halnya yang terjadi ke atas umat terdahulu.

Akhirnya, apabila dewasa saya temui fakta mengenai manusia menjadi batu ini dalam buku karangan Harun Yahya, 'Kaum-Kaum Yang Pupus'. Di halaman 58 - 65, Harun telah menulis mengenai kewujudan bandar Pompeii di Italy. Bandar ini telah pupus bersama kerakusan para penduduknya yang tenggelam dalam lautan syahwat.

Kata Harun, di bandar Pompeii ada gunung berapi, Vesuvius yang kini tidak lagi aktif. Dua ribu tahun dahulu, ia telah meletup dan lava dari gunung itu telah memerangkap para penduduk di bandar itu. Harun merakamkan peristiwa 'manusia menjadi batu' sebagai berikut:-

"...memandangkan malapetaka itu berlaku secara tiba-tiba, semua penghuni bandar itu terperangkap ketika sedang menjalankan urusan seharian mereka dan kekal begitu sehingga hari ini, seperti mana keadaannya dua millennium yang lepas. Seolah-olah masa telah dibekukan."

Apa yang mungkin dimaksudkan oleh Harun Yahya mengenai 'masa telah dibekukan' ialah penduduk itu secara tiba-tiba tidak boleh bergerak. Manusia sebenarnya sentiasa bergerak dengan peralihan waktu. Hatta, jika dia tidak bergerak sekali pun atau sedang bersantaian sekali pun, sebenarnya proses penuaan sedang berlaku. Itu adalah satu proses pergerakan.

Mungkin jika anda adalah peminat siri Charmed (NTV7) anda boleh memahami bagaimana azab itu boleh berlaku dengan maksud yang dikatakan sebagai masa telah diberhentikan atau telah dibekukan itu. Watak Piper, seorang ahli sihir dalam drama bersiri itu mempunyai keistimewaan untuk membekukan pergerakan orang ramai dan kejadian peristiwa. Gambaran seperti itulah yang telah berlaku.

Apabila teringat Gunung Merapi yang boleh meletus pada bila-bila masa di Kabupaten Bantul, Jogjakarta, saya teringat hal ini. Pompeii diazabkan dengan letusan gunung berapi juga. Dalam hal ini, Harun Yahya terus menyambung ulasannya:-

"... lava dari Vesuvius telah menyapu bersih keseluruhan bandar itu dan memadamkannya dari peta dalam hanya satu ketika. Yang menariknya, tidak ada satu jiwa pun yang terselamat. Seolah-oleh mereka semua tidak sedar bahawa satu bencana alam yang hebat berlaku. Mereka seperti telah dipukau. Satu keluarga yang sedang menikmati juadah telah menjadi batu dalam sekelip mata.

"Banyak pasangan yang sedang melakukan aktiviti seksual ditemui menjadi batu. Bersama-sama mereka turut ditemui pasangan-pasangan yang sejenis dan pasangan-pasangan kanak-kanak lelaki dan perempuan. Wajah sebahagian daripada mereka yang menjadi batu kekal seperti keadaan asalnya. Daripada air muka mereka, jelas kelihatan kesakitan yang ditanggung."


Harun menyifatkan hal ini adalah bencana yang paling sukar difahami. "Bagaimanakah boleh terjadi ribuan manusia hanya membiarkan saat-saat kematian tanpa terdengar atau terlihat sesuatu?" soal beliau. Akhirnya, beliau menyimpulkan kejadian ini sebagai 'kehancuran tiba-tiba' seperti yang pernah dirakam Tuhan dalam al-Quran.

"(Kebinasaan mereka) hanyalah dilakukan dengan satu pekikan (yang dahsyat), maka dengan serta merta, mereka semua senyap sepi - tidak hidup lagi." --- (Yaasin: 29)

Hal yang berlaku kepada penduduk Pompeii di atas turut berlaku ke atas kaum Tsamud.

"Sesungguhnya Kami hantarkan kepada mereka satu pekikan (yang dahsyat), lalu menjadilah mereka (hancur) seperti ranting-ranting dan daun-daun yang pecah hancur, yang dikumpulkan oleh tuan punya kandang binatang ternak." --- (al-Qamar: 31)

Jadi, mungkin Sang Kelembai ini nabi-nabi yang diutuskan untuk menegur bangsa Melayu purba. Gelaran ini pula lazimnya membawa kepada suatu watak yang cerdik. Kita guna istilah Sang Kancil sebagai nisbah terhadap kecerdikannya dalam menipu seterunya.

Gelaran 'Sang' juga dijumpai pada manuskrip Melayu, Sulalatus Salatin dalam aqad perjanjian dan kontrak antara Demang Lebar Daud dengan Sang Sapurba. Entah-entah, Sang Sapurba adalah nabi-nabi yang menurunkan waris dan zuriat raja-raja Melayu di Nusantara ini. Apa yang boleh kita simpulkan di sini, mungkin 'Sang' adalah gelaran kepada orang-orang soleh, bijaksana lagi berhikmah adanya.

Semua ini boleh kita katakan benar, jika kita menerima Sang Kelembai dan Sang Sapurba itu sebagai suatu hakikat nyata dan bukan dongengan, bahkan ia suatu realiti dan ia benar-benar wujud.


'Hang' Tuah Melayu, bukan Cina

Kadangkala, saya terfikir juga. Kalau Sang mewakili watak alim, berhikmah lagi bijaksana. Maka, tentulah bahasa Sanskrit purba telah menyusun satu sistem gelaran tersendiri ke atas watak-watak tertentu juga. Ertinya, mungkin tatabahasa dan nahu Sanskrit itu telah memberikan makna ke atas gelaran-gelaran yang sama bunyinya dengan 'Sang' tadi.

Umpamanya, kepada wanita-wanita yang cantik jelita di zaman itu, diberikan jolokan 'Dang' atau 'Yang'. Maka, lahirlah nama-nama seperti Dang Merdu, Yang Zarina, Dang Suria, Dang Wangi (balai polis Dang Wangi), Dang Anum, Dang Merdu dan pelbagai contoh lagi.

Mungkin, kepada orang lelaki yang gagah perkasa, sendo tubuhnya, ahli silat serta pakar bermain senjata, maka jolokan 'Hang' itu dikekalkan kepada nama mereka. Maka, jadilah mereka sebagai Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir, Hang Lekiu, Hang Ali, Hang Shariati dan Hang Fansuri. Eeehhh...

Boleh jadi, ketika membawa puteri Hang Li Poh itu ke Melaka, sengajalah diletakkan istilah 'Hang' kepada puteri itu sebagai cara menakut-nakutkan khalayak secara psikologi. Maklumlah, puteri yang cantik, hati siapa yang tidak berkenan?

Jadi, kalaulah ada orang-orang Melaka yang mahu kerabat Bukit Cina untuk mengintai puteri itu, sudah tentulah dia terpaksa bertempur dengan membunuh ketakutan mereka terlebih dahulu sebelum merempuh kehebatan 'serikandi' Hang Li Poh di Bukit Cina.

Lagi pun, dalam dinasti Cina itu, memang ada Dinasti Han di mana pemerintahan itu diwarisi oleh keluarga Han. Mungkin juga, puteri itu memakai nama keluarga 'Han' dan akhirnya ditukar namanya sedikit kepada 'Hang'.

Manalah tahu. Kita main teka saja dan urusan berat ini kita serahlah kepada ahli sejarah untuk membatalkan pandangan remeh kita ini. Untuk urusan ringan seperti penulisan merapu seperti ini, bolehlah kita uruskan. Tinggal lagi, selepas ini kita terpaksa menguruskan emosi khalayak yang terasa geram dengan rapuan kosong ini.

Berbalik kepada nama puteri itu, rasa-rasanya sememangnya ada keperluan untuk menukarkan namanya. Misalnya, kalau ada penduduk tempatan dan asingan menyusup dalam Bukit Cina, tentu disergah para pengawal, "Hoi, hangpa tau dak, 'Hang' Li Poh bukan calang-calang orang. Darah panglima tahu? Nak mengorat konon!"

Ataupun, sergahan itu boleh jadi berbunyi begini: "Hangpa jangan main-main la dengan puteri tu. Dia tu kerabat Dato' Laksamana Hang Tuah, hangpa tau tak?"

Lalu terjegillah biji mata mereka. Pupus dan khatamlah sudah harapan berbunga-bunga untuk memetik sekuntum bunga Cina. Tunduk kemalu-maluan lalu mereka tebalkan muka mereka kerana malu kepada Sang Mamak yang berniaga di tepian pagar, dekat pintu masuk Bukit Cina itu.

Alkisahnya, biarlah kita namakan salah seorang pemuda yang baru mengintai itu sebagai Hang Fansuri atau H Fansuri yang telah gagal dalam misi kerabat Bukit Cina.

Hujan emas di negeri orang

"Adey kici, mai la singgah duduk sini dulu," seru Sang Mamak. "Apa malu-malu? Dikau worang, entah manusia kali ke berapa yang panjat itu 'gunung'."

"Cait! Bukit Cina la bodoh! Bukan gunung!" sergah Hang Fansuri kerana dendam dan amarahnya kepada para pengawal Bukit Cina itu belum sempat dilunaskan lagi. Dia pun melangkah ke warung mamak.

"Wokey-wokey. Tarak pa pa ye! Saya saja bikin silap itu cakap. Mahu kasi dikau worang hepi juga ada," kata Sang Mamak sambil membawa teh tariknya.

Sambil menghirup teh tariknya, Fansuri berceritera mengenai kegagalannya tadi. Elit kampungan yang berperangai seperti lintah darat sedang memasang radar telinga. Telinga mereka seperti telinga lintah layaknya. Mata pandang ke arah lain, tapi telinga, hati dan perasaan tetap menumpu kepada ceritera aksi kegagalan Fansuri.

"Syahadan, yang aku takut tu sebab depa kata Hang Li Poh tu kira macam saudara Dato' Laksamana. Tu yang daku risaukan tu. Cuba hang tengok, nama dia pun Hang jugak kan? Lepas tu, depa kata puteri tu pun bukan main handal lagi. Tu yang dia dapat gelaran Hang tu," jelas Fansuri panjang lebar.

"Abih, yang hang tu, bukan pendekar jugak ke?" sampuk seorang lelaki bermisai kucing. "Hang pun ada gelaran hang jugak."

"Aku orang Kedah. Merantau sini sebab Siam dah langgar kampung aku minggu sudah. Memang kami di sana pun guna istilah 'hang'. Bukan ada makna apa-apa gelaran tu, bodoh!!" balas Fansuri dengan geram sambil memerhati keahmakan penduduk setempat hingga terlupa akan kebodohan dirinya sendiri.

Bukannya Fansuri tidak tahu. Sepanjang seminggu sudah, tiap-tiap malam dia mendengar ada sahaja komplot dan konspirasi untuk panjat Bukit Cina itu.

Medan lapangan warung mamak itulah yang menjadi Parlimen untuk menggubal rang undang-undang baru untuk merampas tanah penduduk kampung setelah mereka gagal melunaskan hutang dengan bunga-bunganya sekali. Akibatnya, sama ada tanah penduduk kampung itu tergadai atau anak gadis mereka yang terkorban.

Elit kampungan dan bangsawan Melayu itu juga pantang benar melihat dayang-dayang istana dan kalau mereka ada gadis yang boleh dikorbankan sebagai dayang-dayang, mereka akan mendapat jasa besar pula daripada pihak atasan.

Padahal, jika orang bujangan macam Fansuri nak mengorat dan mengintai-intai sikit, elit kampungan bandaran itu sudah bikin kacau. Sikap mereka itu sama saja daripada dahulu, kini dan mungkin juga buat selama-lamanya. Huh! Menyampah sungguh!

Sambil mengherdik elit kampungan lintah darat itu dua tiga das dalam senafas, Fansuri memutarkan wajahnya semula ke arah Sang Mamak. Hati Fansuri puas. Dia terasa macam 'superhero', padahal baru tadi dia baru membikin onar di Bukit Cina.

Sambil dia hirup teh tarik buat kali kedua, tiba-tiba, 'kelekuk!' ... sebiji batu menyinggah dan hinggap tepat ke ubun-ubun kepalanya.

Fansuri naik berang, lantas dia memutar kembali wajahnya ke arah elit kampungan bandaran lintah darat itu. "Ceh, kamu ini bukan anak jantan jika hanya tahu bermain batu. Kita sama-sama jantan, bersilatlah! Jika mahu tinju jemalaku dengan batu ini, ada baiknya kalian balik belajar main batu selambut dengan kakak-kakakmu di rumah!"

Fansuri pun berpantun sambil dua tiga puluh 'kelekuk!' batu-batu itu menimpa kepalanya dua tiga puluh das banyaknya. Tidak larat lagi dia menepis batu-batuan daripada sekalian sarjana elitan kampungan bandaran 'pondanan' itu.

Orang Kedah tak main batu,
Singgah Melaka di Bukit Cina,
Kalau berahi membunuh daku,
Mari ke sini tikamlah dada.


Maka, disambut lintah darah elit kampungan bandaran itu:-

Singgah Melaka di Bukit Cina,
Di warung mamak minum susu lembu,
Kami bangsawan penuh berkuasa,
Hanya berani meninjukan batu.


Batu-batu itu tidak putus-putusnya sabung-manyabung ibarat kanak-kanak Palestin merejam tentera regim Israel lagaknya. Pada malam itulah, Fansuri mengalah lalu dia pulang tanpa menoleh lagi. Tiba-tiba, dia teringat teh tariknya masih belum dibayar.

Dia teringat pesanan Guru Lanang yang meminta murid-muridnya menjauhi amalan berhutang PTPTN dan memerangi hal itu hingga ke akar umbi. Dalam koceknya cuma tinggal wang perak. Dinar emas sudah habis dirasuahnya kepada para pengawal di Bukit Cina bajingan tadi.

"Mamak, itu baki hutang teh tarik kasi taruk dalam buku 555 wokey. Daku ada dirham perak saja sekarang ini, Nah! Ambillah ya sang mamak!" lalu Fansuri lemparkan wang perak itu ke tanah. Belum jatuh ke tanah, lalu disambut oleh Sang Mamak dengan hikmat kalaripayatnya.

Sambil berlari, sempat lagi Fansuri mengambil sebiji pisang emas lalu dia berpantun, "Pisang emas ini akan kubawa belayar hingga masak sebiji atas peti, hutang dinar emas boleh daku bayar, hutang budi sang mamak akan kubawa berlari!"

Sang Mamak berteriak pantun dalam dinihari itu, "Adey kici jangan berlari, kalau berlari buruk padahnya, hutang budi bolehlah dikau bawa berlari, di akhirat juga kita nanti berjumpa!"

Hang Fansuri pun berlari membelah kedinginan malam petaka setelah tidak tahan dengan tinjuan demi tinjuan batu-batu dari elit kampungan bandaran dan lintah darat itu.

Yang berkuasa tetap menang dalam sistem feudal ini. Mereka menang propaganda kerana media di tangan mereka, ibarat menangnya penjajah British melawan komunis ketika darurat dulu kerana media propaganda.

Malam itu juga, dengan kolek buruknya Fansuri berlari meninggalkan bumi Melaka. Perjuangannya menentang kaum kapitalis elit bangsawan masih belum selesai. Kononnya tadi, dia mahu meminta nasihat, pertolongan dan budi bicara Bendahara dan Temenggung mengenai kaedah-kaedah tersusun dalam mendepani ancaman yang ditimbulkan oleh sengketa permusuhan armada Siam dengan Kedah.

Tapi, apakah malangnya, dia 'tersesat' jauh ke Bukit Cina pula. Tiba ke kedai sang mamak, dia ditinju batu oleh sekawan elit penguasa lintah darat itu. Hai... apalah malangnya nasib. Bumi bertuah di Kedah dilanggar Siam.

Ingatkan boleh mencari senang di bumi orang. Rupa-rupanya, lebih baik kembali ke negeri sendiri. Demikian getus hatinya sambil mengunyah pisang emas yang baru diambilnya daripada warung sang mamak sebentar tadi. Lelehan darah 'pendekar' berhamburan di sana-sini dalam kolek itu.

Kata pepatah H Fansuri, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Lebih baik di negeri sendiri. Tetapi, kalau polis yang bikin kacau dan buat onar, macam mana para demonstran tak mengamuk menggunakan batu?
T***A***M***A***T

1 comment:

Anonymous said...

Penulisan mantap, tetapi terlalu panjang untuk di baca memerlukan masa yang banyak jadi kekadang orang boleh jadi boring.

Tapi ok lah penulisan, ayat-ayat yang digunakan baik