Saturday, June 24, 2006

Menteri digesa tarik balik penggantungan ISA 7

Thu | Jun 22, 06 | 07:07:33 PM

Oleh Ali Bukhari Amir

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Hrkh) - Pemuda PAS menggesa Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Mustapa Mohamed menarik semula penggantungan pengajian bekas pelajar-pelajar ISA7 sempena sesi baru akademik IPT yang bakal menjelang, kata Pengarah Jabatan Pembangunan Mahasiswa (JPM) Abdullah Abdul Karim di sini hari ini.


"Pada 22 April tahun lalu, kumpulan ISA7 tidak dipanggil untuk membela diri dan kemudiannya dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur (MMKL) setelah menghadapi perbicaraan selama hampir empat tahun.

"Dalam tempoh itu, mereka digantung pengajian berdasarkan Seksyen 15D (1) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), iaitu jika seorang pelajar didakwa di mahkamah atas sebarang jenayah, maka pelajar itu hendaklah digantung daripada menjadi seorang pelajar sepanjang perbicaraan kes itu berlangsung di mahkamah," kata Abdullah.

ISA7 merujuk kepada kumpulan bekas aktivis mahasiswa, Rafzan Ramli dan Helman Sanudin (UiTM), Nik Mohd Norhafizi dan Ahmad Kamal Abd. Hamid (UKM), Wan Sanusi Wan Mohd Nor dan Khairul Amar Mohamad (UM) dan Zulkifli Salleh (UTM) yang dihadap ke MMKL di bawah Seksyen 27 Akta Polis 1967 kerana dituduh menyertai perhimpunan membantah Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) di Masjid Negara pada 8 Jun 2001.

"Apabila mahkamah membebaskan mereka, sepatutnya mereka diterima kembali meneruskan pengajian di universiti terbabit. Malangnya, hingga kini, hanya UTM yang menerima pelajarnya, Zulkifli Salleh. UiTM Shah Alam juga telah memberi jawapan, tapi ia tidak membenarkan salah seorang pelajarnya memasuki semula UiTM atas alasan tempoh maksimum pengajian pelajar itu telah tamat.

"Kes beliau ini telah dibawa ke Mahkamah Tinggi Shah Alam. Manakala, UM dan UKM hingga kini tidak mempedulikan permohonan bertulis mahasiswa mereka termasuk surat peguambela mahasiswa itu, Tetuan Chooi & Co," kata Abdullah.

Merujuk undang-undang yang berkaitan, Abdullah berkata, ISA7 haruslah disambung pengajian kerana mereka berhak mendapatkan pengajian itu di sisi undang-undang dan hal itu bukan berasaskan ukuran ihsan dan budi bicara pentadbir universiti terbabit.

"Mereka ‘dihukum’ lebih awal sebelum disabitkan kesalahan dengan digantung begitu lama oleh sebab wujudnya peruntukan Seksyen 15D (1) AUKU yang zalim dan bercanggah dengan kaedah ‘seseorang itu tidak boleh dikatakan bersalah sehingga terbukti kesalahannya’.

"Kini ditambah dengan sikap tidak bertanggungjawab para pentadbir universiti yang memekakkan telinga dan tidak mempedulikan permohonan menyambung pengajian walaupun mereka telah dibebaskan oleh mahkamah," tambah beliau.

Untuk itu, tambah Abdullah, KPT harus mengarahkan IPT terbabit menerima kembali ISA7 bagi menyambung pengajian mereka pada awal Julai ini.

"Adalah jelas kepada mereka yang berfikiran waras, bahawa semua mahasiswa itu tidak seharusnya dihukum bertalu-talu atas kesalahan yang sebenarnya mereka tidak lakukan.

"Jika hal yang mudah begini Dato' Mustafa Mohamed tidak mampu lakukan, maka terbuktilah bahawa tiada bezanya antara menteri baru dengan menteri sebelum ini yang dilihat sebagai gagal menjalankan amanah untuk meningkatkan imej IPT. Malah kementerian dan IPTA hanyalah perkakas dalam mengukuhkan kekuasaan Umno dan Barisan Nasional," kata Abdullah. - mks.

1 comment:

Anonymous said...

orang champa ke? saya orang cham tinggal di melaka arafatc@yahoo.com