Saturday, June 24, 2006
PAS salur lebih RM30 ribu kepada mangsa gempa
Sun | Jun 04, 06 | 12:38:00 PM
Oleh Mohd Rashidi Hassan & Ali Bukhari Amir
KUALA LUMPUR, 4 Jun (Hrkh) - Delegasi bantuan kemanusiaan PAS di Yogyakarta setakat ini sudah membelanjakan lebih RM30 ribu hasil sumbangan masyarakat prihatin Malaysia untuk membantu mangsa gempa bumi Indonesia yang masih bergelut untuk hidup.
Ketua misi ke dua bantuan kemanusiaan PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi yang tiba di Bantul, Yogyakarta semalam berkata, selain memberikan bantuan makanan dan kesihatan, delegasi beliau mengagihkan dapur masuk kepada beratus-ratus keluarga mangsa.
Ketua misi pertama bantuan kemanusiaan PAS, Dr Mohd Hatta Ramli selamat tiba di ibu negara semalam. Beliau terpaksa pulang untuk membuat persediaan menjelang Muktamar Tahunan PAS kali ke-52 di Alor Setar minggu depan.
Dalam kenyataannya menerusi SMS kepada Harakahdaily, Syed Azman memberitahu pagi ini beliau baru sahaja menyerahkan 120 kompor dapur kecil dan dua buah dapur besar untuk keperluan beratus keluarga di Dusun Bawuran dan Desa Sumberagung dekat sini.
Menurutnya, sebaik tiba di Yogyakarta semalam, beliau bersama rombongannya terus mengagihkan bantuan makanan, kesihatan dan dapur masak kepada 100 keluarga di kawasan Gunung.
"Alhamdulillah, bagi pihak penderma rakyat Malaysua, kami mendapat penghargaan daripada pemerintah Indonesia dan masyarakat kampung yang amat memerlukan sumbangan untuk terus hidup," ujarnya.
Syed Azman memberitahu, beliau dan rombongannya akan meneruskan tugas yang dimulakan oleh misi pertama PAS, antara lainnya meneruskan pemberian bantuan makanan, khemah dan khidmat rawatan kesihatan.
Sementara itu wartawan Harakah, Ali Bukhari Amir dari Yogyakarta melaporkan, ada pihak tertentu yang mengambil kesempatan dengan kehadiran sukarelawan untuk menaikkan harga sewa kereta dan tempat penginapan para petugas misi bantuan bagi menyelamatkan mangsa gempa bumi.
Kenaikan mendadak sewa kenderaan termasuk minyak petrol mencecah sehingga RM200 sehari menyebabkan gangguan terhadap misi kemanusiaan untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa yang tinggal jauh di kawasan pedalaman.
Timbalan Pengerusi Yayasan Amal Malaysia, Jamuliddin Elias berkata, pihaknya terpaksa membelanjakan kos yang tinggi bagi memastikan sukarelawan dapat menyempurnakan tugas mereka dengan lancar.
Menurutnya, kos membeli bahan-bahan perubatan adalah sekitar Rp 30 juta (RM4800) bermula sejak hari pertama mereka tiba, 30 Mei lepas.
"Dalam program Amal kali ini, kita lebih tersusun berbanding Aceh. Dulu, semua ubat kita bawa.
Jadi, ubat pada ketika itu kita beli hingga ratusan ribu ringgit. Tapi, di sini kita bawa ubat secukupnya.
"Kita bawa duit saja. Jadi, tidaklah membebankan sangat. Kita lakukan pemeriksaan dulu. Apabila kita mengenalpasti mana-mana ubat yang diperlukan itu masih belum mencukupi, kita akan beli semula ubat itu. Ini lebih mudah. Dua tiga buah beg pun sudah cukup bagi seorang doktor," kata Jamuliddin.
Katanya, antara ubat yang lazimnya amat diperlukan ialah ubat gatal, antibiotik, ubat tahan sakit dan vitamin.
Vitamin, menurutnya, dapat membantu mereka yang terganggu selera makan mereka akibat trauma akibat rungsing dan tekanan jiwa.
"Semalam," kata Jamuliddin, "ada pesakit berkata kepada saya, dia boleh menerima hakikat bahawa rumahnya runtuh. Tapi, dia rungsing memikirkan anaknya yang sakit. Hal itulah yang memberi tekanan kepadanya.
"Jadi, semua ini ada beberapa perkara yang penting untuk dinilai oleh sukarelawan yang bakal tiba di Jogjakarta nanti. Semoga, kita mendapat lebih banyak bantuan dana sekali gus pengalaman dalam memikul amanah dan tugas ini."
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment