Sunday, December 21, 2008

Siswa perlu berani pertahankan program mereka

11 Disember, 2008

Tadi, rombongan kami baru selesai membuat persembahan nasyid di Kg Okebut, yang terletak tidak jauh daripada bandaraya Phnom Penh. Kini, saya sedang mencoret sedikit catatan di dalam coaster yang kami sewa sepanjang hari ini.


Perkara pertama yang tersemat di fikiran, tatkala tiba di Kemboja sejak 7 Disember lalu, ialah saya mahu terus tumpukan penulisan tentang cara bagaimana pelajar-pelajar UKM mempertahankan program baktisiswa mereka di di Kemboja Mei lalu.

Baru sahaja semangat mengarang tentang usaha ISIUKM mempertahan acara baktisiswa itu, tiba-tiba, pada malam terakhir saya di sini (11 Disember), seorang pimpinan meminta agar hal hal itu tidak dipanjangkan lagi.

"Tak payahlah cerita. Kes itu dah nak selesai," kata pengarah program baktisiswa itu.

Kemungkinan mereka enggan membongkar cerita lama mungkin disebabkan mereka takut diambil tindakan semula atas dakwaan memberi kenyataan pada akhbar tanpa melalui pihak IPT. Dan semua ini tentunya bersalahan dengan Auku.

Atau keengganan berkongsi pengalaman ini boleh jadi melibatkan isu-isu apa sahaja yang tidak dimengertikan. Letih juga mendesak orang supaya jadi berani. Lebih baik bersikap seperti ibu helang mendidik anak-anaknya.

Apabila tiba usia anak helang terbang, ibu helang itu akan menolak anak-anaknya keluar dari sarang, terus jatuh dalam gaung. Mana-mana anak burung helang yang ada keinginan kuat untuk hidup, dia akan terbang. Yang lemah pula akan terus menemui kematian.

Cuma ada sekali sahaja saya desak seorang pimpinan pelajar untuk beri kenyataan kepada Berita Kampus bagi menyatakan pihaknya telah menang di USM. Dan untuk menyatakan mereka menang sekalipun mereka tak berani. Bukan sedikit wartawan kecewa dengan hal pelajar yang sukar memberikan kenyataan ini. Masih ramai yang play safe.

Kepustakaan mahasiswa
Sejak di sana, saya simpan azam, berikrar untuk menulis tentang kisah HEP cuba mengganggu baktisiswa pelajar UKM ini di Kemboja untuk tatapan pembaca. Penulisan ini bukanlah bermaksud mahu julang nama mereka untuk kemegahan, sebaliknya untuk membina dan menyusun kepustakaan perjuangan siswa.

Sesuatu bangsa itu mula lemah apabila ia tak tahu sejarah perjuangan nenek-moyangnya yang terdahulu. Dalam gerakan pelajar, ini antara masalah kita sekarang. Pelaku-pelaku dan aktor-aktor sejarah kurang menulis pengalaman dan ini tentu menyulitkan generasi baru untuk membuat rujukan.

Apabila pelajar tiada panduan, rujukan dan tidak tahu siapa imam, mursyidul am dan tiada pimpinan maka mudahlah mereka tersasar dalam tindakan.

Dalam kehidupan ini, kita perlukan peta perjuangan yang memandu kita menuju ke akhirat. Sebagai Muslim, kita bertuah dan beruntung besar kerana dikurniakan al-Qur'an sebagai peta perjuangan dan peta kehidupan itu. Tanpa peta ini, kita mungkin boleh berjalan, berkelana dan mengembara, tetapi kembara itu tentunya tidak membawa kita menuju ke akhirat.

Atau, kalau menuju ke akhirat sekali pun, kita tidak diberitahu mengenai apakah bekalan yang perlu dibawa. Di dalam peta perjuangan al-Qur'an, Tuhan meletakkan kisah-kisah perjuangan orang terdahulu seperti Ashabul Kahfi yang tinggal di dalam gua demi menyelamatkan iman mereka, Ashabul Ukhduud dan lain-lain catatan mengenai perjuangan orang yang soleh untuk kita nilai dan kita ikuti jejak yang ditinggalkan mereka.

Turut ditemukan catatan sejarah di dalam al-Qur'an berhubung sikap tamak, keangkuhan Fir'aun, Namrud, kedegilan Bani Israel dan lain-lainnya untuk kita ambil pengiktibaran agar tidak mengikut contoh perilaku mereka itu.

Pendek kata, al-Qur'an itu peta kehidupan, peta perjuangan, yang memandu arah perjalanan kita menuju ke akhirat serta al-Qur'an itu sering bertanya kita mengenai apakah persediaan kita untuk berdepan dengan situasi di alam barzakh, alam mahsyar yang sungguh menakutkan.

Al-Qur'an itu kitab rujukan dan panduan kehidupan bagi manusia yang mahu berkelana dan mengembara menuju ke akhirat. Dan mereka yang selalu risau tentang amalannya, tentu akan menyibukkan dirinya dengan urusan-urusan menyiapkan bekalan kerana mereka sudah faham tuntutan kehidupan.

Mahasiswa Muslim yang ada pegangan, pemikiran dan prinsip hidup seperti ini, mereka akan lekas-lekas mengerti bahawa dalam kehidupan universiti ini, tiada masa lagi untuk kita membuat hal-hal mengarut seperti mengurat sakan dalam universiti, meniru jawapan, menipu tesis, tidak hadir ke kelas hanya kerana semata-mata malas dan sebagainya.

Tafsiran perjuangan
Banyak tafsiran perjuangan siswa ini. Ia berbeza mengikut aliran, mazhab-mazhabnya. Dan, sekurang-kurangnya perjuangan itu terbahagi tiga.

Pertamanya, hendaklah saudara mempertahan pendapat yang diyakini benar. Janganlah gugurkan dan tarik balik kenyataan kita itu hanya kerana Auku. Kita boleh tarik balik setelah dalam debat bersama HEP, ternyata hujah kita ada kelemahan. Maka, dengan jujur kita menariknya kembali setelah idea itu ada kelemahan. Hal ini tidak mengapa. Bersikap jujur dengan idea itu sangat penting.

Apa yang berlaku dalam kebanyakan kes ialah, pelajar menarik kembali idea-ideanya yang kuat bertenaga itu kerana takut hukuman Auku dan gertakan HEP, padahal idea HEP itu boleh disanggah. Hal inilah yang paling banyak dan kerap berlaku.

Kedua, hendaklah saudara mempertahan acara saudara. Contoh bagaimana siswa UKM itu mempertahan acara baktisiswa Kemboja inilah yang terbaik setakat ini rasanya. Tapi untuk bercerita lebih-lebih, rasanya merekalah yang terlebih afdal bercerita. Saya tidak mahu panjangkan cerita ini kerana mereka sendiri tidak berminat bercerita mengenainya.

Ketiga, hendaklah kita mengkaji dan menilai masalah-masalah masyarakat dan cuba cari penyelesaiannya dengan menjemput ahli-ahli yang pakar dalam masalah itu dan cuba memajukan langkah penyelesaiannya kepada pihak kerajaan.

Kita bukan ahli dan pakar dalam banyak perkara. Maka, dengan menjemput tenaga pakar-pakar yang boleh mengulas kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa misalnya, ini bermaksud anda maju selangkah ke depan dalam menjuarai isu-isu masyarakat. Tapi, siapakah yang tergerak hatinya untuk membuat hal-hal sedemikian?

http://anakchampa.blogspot.com

12:19 p.m, 21 Disember
Sekolah Pemikiran Kg Baru

1 comment:

urangCam said...

Assalamualaikum...
Wow, anak Campa KITA! Hebat petah bhujah. Mmg kgagahan Campa satu mse tu bknla satu legenda smata2!