Friday, June 25, 2010

Bahan-bahan berita penting


Usaha pulih jati diri Melayu Singapura (2010/04/21)

Lulusan filem dari Jabatan Filem, Bunyi dan Video, Politeknik Ngee Ann, Singapura dan pemegang Ijazah Sarjana Muda Media dari Universiti Murdoch, Perth, Australia ini mempunyai cita-cita besar untuk mengembalikan kemasyhuran kegemilangan filem Melayu di Singapura.


Ia bukan sekadar omongan kosong kerana atas daya usaha sendiri, Sanif kini menerbitkan filem sulungnya berjudul Ramuan Rahasia. Ia filem yang mengetengahkan identiti diri orang Melayu dengan mengetengahkan sambal goreng yang menjadi makanan kegemaran harian masyarakat Melayu sebagai tema.
##########################
Filem itu lakonan Datuk Rahim Razali, Adlin Mosbit, Rafaat Hamzah, Keagan Kang, Aaron Aziz, Iskandar Shah, Asnida Daud, Marina Yusoff dan Nurul Aini.

Ramuan Rahasia adalah filem Melayu pertama selepas empat dekad sejak era kegemilangan Cathay Keris dan Shaw Brothers berakhir.

Meskipun kekurangan modal, Sanif berani terbitkan juga filem itu kerana seseorang perlu memulakan sesuatu.

Dalam pertemuan dengan Wartawan Hiburan Harian Metro, NOR AKMAR SAMUDIN, di Kuala Lumpur, baru-baru ini, Sanif dengan rendah hati beritahu dia mohon pembiayaan untuk menyiapkan Ramuan Rahasia. Ia baru 65 peratus siap dan masih perlukan dana.

Selama 15 tahun terbabit dalam bidang penerbitan, Sanif sudah menerima pelbagai anugerah di Singapura dan peringkat antarabangsa.

Antaranya, Pengarah Terbaik Drama Bersiri (1988, Segaris Sinar), Siri Info-ad Terbaik (Mentari, siri 1 & 2), Info-Majalah Terbaik/Siri Gayahidup (So Lazat), Pengarah Drama Terbaik (Kaki Borak), Siri Kebudayaan Terbaik (Semarak Budaya), Filem Pendek Terbaik (A la folie), Jogja-NETPAC Asian Filem Festival (Indonesia), Filem Terbaik Agama (Lost Sole), Festival Filem Pendek Kebudayaan (Jaipur, India), Filem Naratif Terbaik (Lost Sole) dan Festival Filem Pendek Antarabangsa Rahmat (Iran).


RAP: Kenapa selepas 40 tahun baru filem Melayu hidup semula di Singapura?

SANIF: Selepas berakhirnya era Cathay Keris dan Shaw Brothers di Singapura pada awal 1960-an, maka lenyaplah juga kegemilangan filem Melayu di pulau itu. Studio Jalan Ampas hanya jadi kenangan. Kini selepas 40 tahun berlalu sebagai seorang yang mencintai kesenian bangsa, saya terpanggil untuk menerbitkan filem Melayu dengan mengekalkan budaya dan adat resam orang Melayu Singapura.

Bukan senang hendak menerbitkan filem Melayu di Singapura kerana apabila saya berjumpa dengan pihak tertentu untuk mendapatkan sokongan mereka menganggap filem Melayu tiada nilai komersial. Mereka tidak tahu hendak melabelkan atau meletakkan filem Melayu itu dalam kategori apa dan di mana. Oleh itu saya perlu berusaha sendiri dengan mengumpul modal kerana tidak mahu jati diri orang Melayu Singapura turut terkubur sama.

Saya menerbitkan filem Ramuan Rahasia ini untuk memberi penghormatan kepada filem Melayu lama yang melahirkan pengarah filem legenda seperti Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Hussin Haniff dan M Amin. Mereka ini banyak meninggalkan kenangan yang mengusik jiwa dan memori indah dalam kalangan penonton.

Skrip dan konsep filem ini sudah siap pada 2001 dan apabila saya beritahu hasrat membuat filem ini, masyarakat Melayu di sana memberikan sokongan kerana mereka juga teringin hendak menonton filem Melayu Singapura selepas sekian lama tiada yang berani menerbitkannya.

Dengan adanya filem ini juga saya berharap orang Melayu Singapura dapat memartabatkan semula budaya Melayu yang kian terhapus. Orang Melayu Singapura terutama golongan muda sudah hilang jati diri. Apabila saya berbual dengan orang luar, mereka kata sukar hendak kenal Melayu Singapura.

Syarikat penerbitan di sana lebih aktif menerbitkan drama untuk TV dan juga menghasilkan program hiburan. Ini kerana ia tidak memerlukan belanja yang besar dan lebih komersial.


RAP: Selepas 40 tahun tiada filem Melayu di Singapura anda tentu kena pastikan ia produk terbaik. Jadi apa istimewanya filem ini?

SANIF: Sudah tentu Ramuan Rahasia karya terbaik saya. Ia kisah menyayat hati mengenai cinta dalam keluarga dan hubungan kasih sayang antara generasi yang berbeza. Hubungan itu direnggangkan lagi oleh kongkongan emosi. Ilham saya datang selepas menonton filem Eat Drink Man Woman oleh Ang Lee, Chocolat, Babette's Feast dan Like Water For Chocolate. Semua cerita itu mengangkat makanan sebagai tema utama kerana daripada makanan kita boleh mengenali bangsa dan budayanya. Apabila sebut lemang orang tahu ia makanan kegemaran orang Perak dan lontong pula menjadi kesukaan orang Johor.

Jadi dalam filem ini saya ketengahkan sajian sambal goreng. Semua orang boleh menyediakan hidangan itu, tetapi mungkin yang membezakannya ramuan digunakan. Hidangan istimewa ini diketengahkan bagi memaparkan bentuk subteks yang terkandung dalam budaya Melayu yang kerap menghidangkan sambal goreng sebagai makanan harian.

Filem ini juga disulami banyak lagu klasik seperti Si Jali-Jali, Pesan Kakek dan Sayang Di Sayang untuk meletakkan filem ini dalam konteks budaya di rantau ini. Ragam ini dinyanyikan sendiri oleh watak utama filem ini.


RAP: Elemen lain terdapat dalam filem itu?

SANIF: Ramuan Rahasia juga memaparkan keunikan budaya dan warisan Melayu atau Muslim kepada dunia. Kebanyakannya daripada amalan yang lazim dilakukan oleh masyarakat Nusantara. Semua elemen itu disatukan dalam konteks Singapura moden. Misalnya babak memaparkan perkahwinan Melayu yang memperlihatkan pertembungan budaya Melayu kontemporari dan tradisi.


RAP: Ringkasan cerita Ramuan Rahasia?

SANIF: Murni seorang jururawat dan pembantu rumah dari Aceh yang bekerja dengan Pak Harun, seorang lelaki tua berkerusi roda yang dirundung kesepian. Murni dalam dilema untuk memasak hidangan sambal goreng yang sedap seperti masakan arwah isteri Pak Harun. Sikap Murni yang suka menyanyi di dapur juga membuatkan Pak Harun bertambah sakit hati.

Lalu Murni berusaha mencari ramuan rahsia yang membuatkan sambal gorengnya sedap. Apakah ramuan rahsia itu yang mampu meredakan ketegangan antara Murni dan Pak Harun serta menyatukan semula Pak Harun dengan anaknya, Rosli yang kini menetap di Sydney? Mampukan ramuan rahsia itu mengubati jiwa yang luka dan menyatukan mereka kembali untuk mengalunkan irama lagu yang sama? Itulah yang mahu saya paparkan.


RAP: Yakin filem ini akan mendapat sambutan?

SANIF: Saya yakin kerana penonton Melayu Singapura sudah lama teringin hendak menonton filem Melayu yang diterbitkan orang Singapura sendiri.


RAP: Barangkali ramai yang tidak kenal siapa Sanif? Ceritakan latar diri anda.

SANIF: Saya berpengalaman dalam bidang penerbitan drama, majalah dan pengiklanan. Saya mempunyai kelulusan daripada Jabatan Filem, Bunyi dan Video dari Politeknik Ngee Ann (1996), Singapura. Pada 2001 saya melanjutkan pengajian perfileman di Sekolah Media, Komunikasi dan Budaya di Universiti Murdoch, Perth, Australia dan mendapat ijazah sarjana muda dalam Media.

Tamat belajar, saya terus terbabit dalam bidang penerbitan televisyen dengan menjadi pengarah dan penerbit sambilan . Ada juga bertanya cukup makankah dengan kerja yang saya buat? Saya tidak ambil hati dengan soalan itu kerana tahu apa yang saya buat dan ia adalah minat saja sejak remaja. Selepas 10 tahun menimba pengalaman dalam bidang penerbitan, drama, iklan dan majalah saya terbitkan tiga filem pendek, Lost Sole, A la folie dan Ameen.

Saya dapat ilham menerbitkan filem pendek Lost Sole berdasarkan cerita bapa saya sendiri yang kehilangan kasut di masjid. Kejadian itu berlaku ketika saya masih kecil. Filem pendek itu mendapat pelbagai penghargaan antarabangsa dan dipilih secara rasmi dan ditayangkan di lebih 30 festival filem antarabangsa termasuk di Hawaii, San Francisco, New York, St Petersburg, Montreal dan Tehran.

Lost Sole sudah lapan kali dipertandingkan pada festival filem itu dan berjaya meraih dua anugerah filem. Lost Sole juga pernah ditayangkan di Museum of Modern Art, New York. Dalam diam tak diam sudah 15 tahun saya terbabit dalam bidang penerbitan ini.


RAP: Harapan anda terhadap filem Melayu di Singapura?

SANIF: Saya harap ada pihak yang sudi membantu usaha saya untuk mengembalikan semula kegemilangan filem Melayu di Singapura. Dengan adanya filem Melayu ini diharap dapat membantu golongan muda di sana mengenali asal- usul mereka. Saya berazam dalam setiap filem terbitan saya akan diselitkan budaya Melayu kerana sekarang identiti diri orang Melayu Singapura semakin terhakis.

##########################

10 perkara jamin kepentingan orang Melayu Kampung Baru (2010/06/15)

KUALA LUMPUR: Kepentingan orang Melayu di Kampung Baru terjamin menerusi 10 perkara mengenai kaedah pelaksanaan pembangunan di kawasan itu yang dikemukakan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB).

Kaedah pelaksanaan itu turut dipersetujui oleh 18 tokoh anak tempatan Kampung Baru yang mewakili pemilik dan pewaris tanah pada sesi penerangan Cadangan Kaedah Pelaksanaan Pembangunan Kampung Baru bersama Menteri KWPKB, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin, semalam.

Raja Nong Chik berkata, perkara yang mendapat kata putus adalah pembangunan secara komprehensif dipersetujui di 55.5 hektar (222 ekar) kawasan emas yang dikekalkan sebagai hak milik orang Melayu manakala 20 hektar (80 ekar) lagi kawasan dimiliki oleh kerajaan, yang boleh disewakan kepada orang bukan Melayu dengan kadar 60:40.

“Dalam hal ini, nisbah 60:40 akan diguna pakai di atas kawasan milik kerajaan iaitu orang bukan Melayu boleh menyewa dengan nisbah 40 di kawasan 20 hektar yang dimajukan ini. Hak milik tanah emas yang dianugerahkan oleh Sultan Selangor kepada orang Melayu akan dikekalkan,” katanya.

Permintaan pemilik atau pewaris untuk menukar status tanah pertanian kepada tanah komersial juga dipersetujui dengan mengekalkan pemilikan tetap kepada Bumiputera dan ciri kebudayaan Melayu turut dipastikan terus dipelihara.

Bagaimanapun, katanya, pembangunan yang dimajukan termasuk di kawasan emas boleh disewakan kepada sesiapa saja tanpa mengira kaum untuk jangkamasa ditentukan pemaju.

“Pemaju terpilih untuk memajukan kawasan ini diberikan tanggungjawab mendapatkan harga yang adil kepada pemilik dan membangunkan kawasan berke-naan secara sama rata tanpa mengira statusnya sama ada bangunan bertaraf hijau atau untuk tujuan komersial,” katanya.

Turut dipersetujui, permintaan pemilik dan pewaris tidak dipertanggungjawabkan dengan bayaran premium apabila tanah mereka dimajukan.

Laman web khas kwp.gov.my//kampungbaru boleh dilayari orang ramai untuk memberi maklum balas berhubung pelan khas berkenaan.

##########################

Malaysia pada tahap dua pemerdagangan manusia (2010/06/15)

Oleh Anwar Hussin, Mohd Anwar Patho Rohman dan Zanariah Abd Mutalib

Keberkesanan kerajaan patuhi TVPA kurangkan jenayah

KUALA LUMPUR: Jabatan Negara Amerika Syarikat meletakkan Malaysia pada Tahap Dua Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) 2010 berikutan keberkesanan kerajaan mematuhi Akta Perlindungan Pemerdagangan dan Keganasan (TVPA).

Tahun lalu, Jabatan Negara Amerika Syarikat meletakkan Malaysia pada Tahap Tiga dalam menangani masalah jenayah pemerdagangan manusia.

Laporan TIP menyenaraikan kedudukan negara-negara berdasarkan tahap pematuhan standard minimum bagi memerangi aktiviti pemerdagangan manusia.

Tahap Satu merujuk kepada pematuhan sepenuhnya dan Tahap Dua pula bagi usaha yang signifikan untuk mematuhi Akta Perlindungan Pemerdagangan dan Keganasan (TVPA), manakala Tahap Tiga adalah negara yang tiada usaha untuk mematuhi standard minimum TVPA.

Menurut laporan yang dikeluarkan Jabatan Negara Amerika Syarikat semalam, kerajaan kepemimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang sangat prihatin mengenai isu pemerdagangan manusia, mengambil pelbagai langkah termasuk meningkatkan siasatan dan mendakwa mereka yang terbabit dalam kes seumpama itu serta menambah latihan pegawai yang terbabit dalam pencegahan dan siasatan.

Kerajaan juga mengadakan pelbagai kempen kesedaran awam mengenai isu pemerdagangan manusia, membuka tiga lagi pusat perlindungan mangsa dan melancarkan pelan tindakan peringkat nasional.

Kejayaan Malaysia itu turut dimaklumkan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein melalui sepucuk surat daripada pejabat Kedutaan Amerika Syarikat, pagi semalam.

Mengulas perkara itu, Hishammuddin yang ditemui di lobi Parlimen berkata, peningkatan tahap itu adalah pengiktirafan kepada Malaysia yang sentiasa komited untuk membanteras jenayah pemerdagangan manusia, termasuk menggubal Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 dan mewujudkan Majlis Anti Pemerdagangan Orang dengan lima jawatankuasa tetap.

“Selain itu, kita melaksanakan Pelan Tindakan Kebangsaan Anti Pemerdagangan Orang 2010-2015, memperketatkan kawalan di sempadan negara dan mengenal pasti agensi kerajaan serta pihak berkepentingan untuk membasmi jenayah itu secara bersepadu,” katanya.

Terdahulu, pada persidangan Dewan Rakyat, beliau berkata, seramai 1,447 orang berjaya diselamatkan daripada jenayah pemerdagangan manusia dari Februari 2008 hingga Mei lalu serta diberikan Perintah Perlindungan Sementara (IPO) di bawah Seksyen 44 (2), Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007.

Daripada jumlah itu, 338 dikenal pasti sebagai mangsa sebenar yang diberikan Perintah Perlindungan (PO) di bawah Seksyen 51 (3),akta yang sama.

"Walaupun kerajaan melaksanakan pelbagai mekanisme dalaman bagi membendung jenayah itu, kelemahan di negara asal mangsa untuk mencegah dan mendidik menyebabkan mangsa diperdaya oleh sindiket. Tahap kerjasama daripada orang awam dan agensi penguatkuasa juga perlu dipertingkatkan,” katanya ketika menjawab soalan Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong).

##########################

Skim Amanah Pelaburan Hartanah wajar diperkenal (2010/06/24)

Oleh Ahmad Farizal Hajat
ahmadfarizal@bharian.com.my

PNB diminta bantu Bumiputera bangunkan Kampung Baru

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB) dicadang memperkenalkan Skim Amanah Pelaburan Hartanah bagi membolehkan pelabur Bumiputera menyertai sama pembangunan semula Kampung Baru yang diramal bakal muncul sebagai ikon hartanah terunggul di Lembah Klang.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB), Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin berkata, skim itu tidak sama sekali menjejaskan hak pemilik dan pewaris hartanah di kawasan berkenaan, sebaliknya bermatlamat memberi pulangan kepada semua Bumiputera di seluruh negara.

“Kementerian sudah menemui PNB bulan lalu dan mengadakan perbincangan mengenai bentuk pembangunan Kampung Baru dan ia termasuk cadangan penubuhan skim amanah yang kini sedang diperhalusi dalam kajian mereka.

“Ia supaya manfaat pembangunan semula Kampung Baru boleh diperluaskan bukan saja kepada pemilik dan pewarisnya seramai 4,500 orang, malah dimanfaatkan Bumiputera seluruh Malaysia.

“Skim itu tidak akan sama sekali menjejaskan hak pemilik dan pewaris kerana hak mereka tetap terpelihara. Skim itu lebih menjurus kepada bentuk pelaburan untuk menjana modal bagi PNB melaksanakan pembangunan semula Kampung Baru,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

PNB, pengurus dana amanah terbesar negara diberi tanggungjawab oleh kerajaan untuk menjadi pemaju utama pembangunan semula Kampung Baru. Selain PNB, kerajaan menawarkan kepada dua lagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) iaitu Lembaga Tabung Haji dan Pemodalan Hartanah Bhd.

Raja Nong Chik berkata, secara prinsipnya, PNB bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan dan akan diperhalusi dalam mesyuarat Lembaga Pengarah.

“Menerusi cara ini, ia bukan saja membantu kerajaan mengeluarkan modal untuk pembangunan, malah membantu PNB meraih dana pelaburan yang mencukupi. PNB tidak perlu membuat pembiayaan dari mana-mana institusi kewangan sekali gus mengurangkan risiko peningkatan jumlah hutang,” katanya sambil menambah PNB dilihat berminat mengenai cadangan skim berkenaan dan yakin dapat menerima maklum balas dalam tempoh dua bulan lagi.

Sementara itu, PNB dalam sidang media selepas mengumumkan agihan pendapatan untuk Amanah Saham Nasional 2 (ASN 2) bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2010, semalam mengesahkan sedang menjalankan kajian terperinci cadangan membangunkan semula Kampung Baru.

Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, berkata kajian itu bagi menentukan sama ada pembangunan semula berupaya memberi pulangan kompetitif untuk pemegang amanah serta pewaris dan pemilik Kampung Baru.

Difahamkan, cadangan yang akan dilaksanakan PNB itu antara lain merangkumi pengenalan kepada Skim Amanah Pelaburan Hartanah berkenaan.

##########################

MAS minta nasihat Sultan Selangor isu Kampung Baru

2010/06/24

KUALA LUMPUR: Lembaga Pentadbiran Malay Agricultural Settlement (MAS) Kampung Baru bersama tujuh wakil penduduk akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selepas Aidilfitri bagi mendapatkan pandangan dan nasihat dalam isu pembangunan Kampung Baru.

Setiausaha Kehormat MAS, Shamsuri Suradi, berkata ahli Lembaga Pentadbiran MAS Kampung Baru membuat keputusan berkenaan dalam satu mesyuarat khas pada 15 Jun lalu.

“Kita membuat keputusan ini selepas meneliti beberapa perkara yang membabitkan kepentingan orang Melayu di Kampung Baru serta memikirkan nasib orang Melayu yang berada di kawasan bandar terutama Kuala Lumpur.

“Kami sudah memaklumkan pihak istana pada 17 Jun lalu, kami mahu menghadap Sultan Selangor bagi mengadu masalah yang dihadapi berikutan kekeliruan dan kekecewaan penduduk dengan perancangan pembangunan kampung ini,” katanya kepada Berita Harian semalam.

Shamsuri berkata, Lembaga Pentadbiran MAS Kampung Baru sudah dimaklumkan oleh pihak istana mereka berpeluang menghadap Sultan Selangor selepas Aidilfitri tetapi tarikh sebenar belum dapat ditetapkan pihak istana.

“Tanah di Kampung Baru ini adalah kurnia Almarhum Sultan Abdul Samad (Sultan Selangor) kepada orang Melayu kira-kira seratus tahun dulu dan sehingga sekarang Sultan Selangor berperanan sebagai pelindung dan penjaga kepentingan serta hak orang Melayu di Kampung Baru.

“Justeru, dalam isu pembangunan Kampung Baru, Sultan Selangor berhak memberi pandangan serta nasihat kepada MAS dan penduduk Kampung Baru. Malah, kedudukan MAS sebagai badan pentadbir Kampung Baru akan diputuskan Sultan Selangor,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang sejarah 110 tahun penubuhan Kampung Baru, ini kali pertama Lembaga Pentadbiran MAS dan penduduk Kampung Baru mahu mengadap Sultan Selangor bagi mengadu nasib mereka.

Ditanya mengenai cadangan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim supaya kerajaan negeri memajukan Kampung Baru, Shamsuri berkata, MAS serta penduduk masih menunggu pembentangan cadangan itu.

“MAS dan penduduk sudah mendengar penerangan kerajaan Persekutuan dan kami juga perlu mendengar cadangan kerajaan negeri Selangor supaya dapat membuat penilaian dan pertimbangan paling baik demi kepentingan orang Melayu di Kampung Baru,” katanya.

##########################


#######################



#######################

Pembangkang tak fokus jenayah

Posted on the June 22nd, 2010 under Berita, Politic, Tempatan by johnjimat (15/7/2010)

MCPF kesal aktiviti pencegahan kurang dilaksana berbanding negeri di bawah BN

SUBANG JAYA: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) kesal dengan negeri diperintah pembangkang kerana tidak banyak melaksanakan program membabitkan aktiviti pencegahan jenayah dan keselamatan berbanding kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ahli Exco MCPF, Tan Sri Robert Phang, berkata kerajaan negeri pembangkang juga sepatutnya membantu Kerajaan Persekutuan dengan mengadakan program jelajah keselamatan bagi menyedarkan orang ramai berhubung kepentingan mencegah jenayah, terutama di kawasan panas.

Beliau merayu pembangkang menyediakan sedikit peruntukan untuk membeli peralatan atau mengadakan sesi ceramah membabitkan aspek keselamatan di negeri ditadbir mereka.

Jenayah juga boleh berlaku di kawasan mereka, jangan letakkan tanggungjawab itu sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kita merayu agar wakil rakyat lebih kerap mengadakan aktiviti kesedaran jenayah di kawasan masing-masing bagi memastikan tahap keselamatan dapat ditingkatkan, katanya pada sidang media pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Syarikat Pro ICE Sales Services dan MCPF di sini, semalam.

Hadir sama Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Omar Mammah.

Beliau berkata, sekiranya wakil rakyat bersama-sama turun padang dan mengadakan aktiviti kemasyarakatan mengenai keselamatan, ia akan dapat membantu polis dan MCPF dalam membanteras jenayah.

Kita melihat wakil rakyat daripada parti pembangkang kurang memfokuskan isu jenayah berbanding Kerajaan Persekutuan seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang selalu memberi kesedaran berhubung aspek keselamatan, katanya.

Sementara itu, Omar berkata, permintaan tinggi terhadap alat ganti kenderaan terpakai menggalakkan lebih banyak jenayah membabitkan kecurian kereta.

Beliau berkata, orang ramai memilih penggunaan alat ganti terpakai kerana harganya murah tanpa memikirkan kemungkinan berasal daripada kenderaan curi.

Saya tidak menafikan faktor kecurian kereta berikutan kecuaian dan sikap orang ramai terhadap keselamatan kenderaan, tetapi ia juga berpunca daripada permintaan terhadap alat ganti terpakai itu, katanya.

##########################

Penjara Pudu tetap diroboh, bukan tapak warisan – Awang Adek
KUALA LUMPUR 21 Jun – Muktamad. Kerajaan tidak akan menjadikan Penjara Pudu yang berusia 115 tahun sebagai tapak warisan sejarah.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, kerajaan telah meneliti dan membuat keputusan bahawa tapak penjara itu bukannya sebuah tapak warisan sejarah.
“Tapak Penjara Pudu ini bukan tapak warisan dan ia tidak akan dijadikan sebagai warisan. Penjara Pudu bukan sesuatu yang dibanggakan walaupun lama. Kerajaan juga tidak akan membangunkan muzium khas bagi penjara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Fong Kui Lun (DAP - Bukit Bintang) yang meminta kerajaan mempertimbangkan untuk sekurang-kurangnya tidak merobohkan pagar penjara itu bagi memperingati sejarahnya yang berusia melebihi 100 tahun.
Malam ini, tepat pukul 10 malam, tembok Penjara Pudu setinggi 4.5 meter dan sepanjang 394 meter yang menghadap Jalan Pudu akan dirobohkan.
Terdahulu, dalam soalan asalnya, Kui Lin bertanyakan mengenai butiran lanjut langkah UDA Holdings Berhad. (UDA) untuk membangunkan semula tapak penjara itu.
Awang Adek berkata, kawasan itu akan dibangunkan dengan projek pembangunan bercampur yang menempatkan pusat transit, servis apartmen, pejabat, pusat rekreasi, hotel dan premis perniagaan.
Katanya, ia akan dibahagikan kepada enam plot yang akan disiapkan dalam tempoh 10 tahun dan agihannya adalah 40 peratus untuk unit kediaman dan 60 peratus komersial.


######################

200,000 bertaruh sehari (Berita Harian) (2010/06/22)

Oleh Amirullah Andi Nur, Azida Shaharuddin, Norakmah Mat Youb, Suhana Roslan dan Tuty Haryanti Ahmad Rodzi

RM300.7 juta kutipan keseluruhan judi bola Piala Dunia dalam 10 hari

KUALA LUMPUR: Lebih 200,000 orang terbabit dalam judi bola sepak di negara ini setiap hari sejak Piala Dunia bermula 11 Jun lalu dengan pertaruhan keseluruhan bernilai RM300.7 juta yang didalangi empat sindiket termasuk membabitkan tujuh orang kenamaan, sesetengahnya bergelar Datuk.

Maklumat dan perangkaan itu diperoleh polis hasil siasatan ke atas 129 orang yang ditahan dalam Ops Soga yang dilancarkan di seluruh negara sejak kejohanan itu bermula hingga kelmarin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, berkata siasatan mendapati setiap seorang bertaruh antara RM50 hingga RM2,000 dan jumlah yang dikutip sindiket itu boleh mencecah RM30,000 hingga RM40,000 bagi satu perlawanan atau sehingga RM100,000 untuk tiga perlawanan sehari.

Beliau bagaimanapun berkata, sindiket didalangi tujuh orang kenamaan itu kini sudah melarikan diri ke luar negara bagi mengelak ditahan polis.

Katanya, sindiket itu turut memindahkan operasi ke luar negara dengan menerima pertaruhan menerusi talian menggunakan mata wang Amerika bagi mendapatkan keuntungan lebih besar.

Mohd Bakri bagaimanapun enggan memberi butir lanjut, tetapi menurut sumber orang kenamaan itu melarikan diri ke Thailand dan Singapura.

“Kita masih menjalankan siasatan dan risikan bagi menjejaki sindiket itu dengan kerjasama Polis Antarabangsa (Interpol).

“Polis juga mempunyai bukti Along menyediakan pinjaman untuk pertaruhan judi bola sepak,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Sepanjang 10 hari sehingga kelmarin, sebanyak 156 serbuan dibuat polis di seluruh negara bagi membanteras sindiket judi bola sepak. Dalam tempoh itu, 100 lelaki dan 20 wanita tempatan serta sembilan warga asing ditahan, semuanya berumur dalam lingkungan 15 hingga 73 tahun.

Di MELAKA, 14 lelaki berusia 23 hingga 40 tahun termasuk pengusaha kedai makan dan pusat hiburan ditahan di Batu Berendam, Kandang, Tengkera, Bukit Baru dan Bandar Hilir sejak kejohanan itu bermula.

Ketua Polis Melaka, Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof, berkata dalam 10 serbuan sepanjang 10 hari hingga kelmarin, polis turut merampas wang tunai RM4,000 serta pelbagai barang termasuk enam komputer riba, satu komputer, sembilan kad sim dan satu modem serta sejumlah kertas catatan.

Di JOHOR BHARU, polis percaya dapat menumpaskan satu sindiket judi bola sepak membabitkan pertaruhan RM6 juta susulan penahanan lima lelaki warga tempatan berusia 30-an dan 40-an dalam empat serbuan berasingan di sekitar bandar raya itu dan Kluang sejak 13 Jun hingga Jumaat lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata siasatan mendapati perlawanan antara England dan Amerika Syarikat mencatat pertaruhan tertinggi di kalangan kaki judi di Johor.

Di SEREMBAN, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh, berkata lapan orang ditahan dalam lima serbuan membabitkan pertaruhan mencecah RM2.8 juta dengan perlawanan antara England dan Amerika Syarikat turut mencatat pertaruhan tertinggi.

“Lima penganjur dan tiga pemain berusia antara 32 tahun dan 47 tahun ditahan di kawasan perumahan, kafe siber dan restoran sekitar Seremban dan Simpang Pertang, Jelebu,” katanya.

Di GEORGETOWN, Polis Pulau Pinang menahan dua lelaki berusia 57 dan 51 tahun dalam serbuan di dua rumah berasingan di Simpang Ampat dan Jalan Permatang Tok Mahat, Nibong Tebal, ketika sedang mengendalikan pertaruhan, Sabtu lalu.

Pemangku Ketua Polis Negeri, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, berkata polis turut merampas pelbagai barang termasuk dua komputer riba, lima telefon bimbit, jadual perlawanan bola dan beberapa kertas mengandungi angka pertaruhan.

No comments: