Tuesday, July 20, 2010

Melayu berhaluan kiri, penyeru perpaduan Melayu yang terawal?

Oleh H FANSURI

Parti Melayu pertama adalah Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang ditubuhkan pada 1938 di Kuala Lumpur. Ia dipimpin oleh Ibrahim Yaakob, seorang anak kelahiran Temerloh, Pahang. Beliau lahir pada tahun 1911 daripada keturunan Bugis.


Ini bererti, Ibrahim ketika itu baru sahaja menginjak usia 27 tahun ketika beliau mula mengasaskan parti itu dengan iltizam mahu bebas dan merdeka daripada ikatan penjajah dan belitan penjajahan.

Dilaporkan bahawa KMM ketika itu sudah mula melebarkan sayapnya ke serata negeri Melayu selepas penubuhannya yang berpusat di Kuala Lumpur itu.

Oleh kerana Ibrahim seorang guru di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) dan rakan-rakannya terdiri dalam kalangan graduan di maktab itu, maka guru-guru inilah yang kemudiannya bertanggungjawab mengepakkan sayap parti Melayu itu ke seluruh wilayah di Tanah Melayu itu.

KMM tidak bergerak sendirian. Parti itu pernah mengatur kongres Melayu di Kuala Lumpur pada Ogos, 1939. Ketika ini belum lagi wujud parti Melayu berhaluan kiri yang bernama Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang tertubuh pada tahun 1945.

Menurut sejarahnya, antara mereka yang awal-awal terlibat dalam usaha memerdekakan negara lewat KMM itu adalah Dr Burhanuddin al-Hulaimy, yang kemudiannya telah menjadi nadi penggerak kepada PKMM selepas itu.

Memang KMM tidak bergerak sendiri dalam rangka merebut kemerdekaan tanahair. Tidak lama kemudian lahir parti Melayu berhaluan kanan tajaan British yang diberi nama sebagai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Pekembar) yang lahir setahun selepas PKMM ditubuhkan, iaitu pada tahun (1946).

Sebagai parti berhaluan kanan asuhan British, ia cuba meniru hala perjuangan KMM dan PKMM kerana ia tidak mempunyai jati diri yang kukuh dan falsafah yang teguh. Buktinya, Pekembar menukar namanya kepada bahasa Inggeris, iaitu United Malays National Organisation yang akhirnya kekallah sebutannya itu sehinggalah pada hari ini.

Jadi, merujuk kepada tiga gelombang kebangkitan parti-parti Melayu ini (KMM, PKMM, UMNO), maka kita bolehlah membuat rumusan sebagai berikut:-

Sejarah penentangan Melayu secara kepartian mula wujud sejak 1938, iaitu ketika British memerintah sebelum tibanya pendudukan Jepun di Malaya. Sebelum wujudnya KMM, bangsa Melayu memerangi penjajah British secara tidak tersusun dan tidak bersepadu.

Kesedaran dalam melahirkan penentangan itu tidak wujud serentak. Misalnya, Tok Janggut di Kelantan, Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu, Mat Kilau, Dato' Bahaman di Pahang. Perjuangan mereka bersifat kenegerian dan tidak berlaku serentak. Semangat perang gerila di hutan, membakar pos kawalan polis British ini dinamakan semangat merdeka dengan darah!

Maka, selepas 1938 perjuangan Melayu dalam rangka menuntut kemerdekaan itu telah bermula di meja rundingan. Ia sudah mencapai kata sepakat bulat muafakat di meja kongres. Mereka mula bertindak melalui debat pemikiran dan gerakan intelektual.

Kongress KMM telah mula digerakkan di Singapura pada Disember 1940. Kongres itu ertinya suatu gerakan pembaharuan di mana ia telah menunjukkan bagaimana Melayu telah dapat bersatu melalui perbincangan di kongres untuk menuntut kemerdekaan.

Apabila Jepun menjajah, KMM sekali lagi menyusun strategi untuk menuntut kemerdekaan daripada Jepun secara rasmi pada Januari 1942. Tindakan ini sebenarnya telah meletakkan KMM di dalam peta sejarahnya yang tersendiri sebagai parti politik kebangsaan Tanah Melayu yang pertama bertindak sedemikian.

Generasi hari ini banyak kali dihadapkan dengan perjuangan Umno melalui Tunku Abdul Rahman dan rombongannya ke London untuk merebut kemerdekaan. Padahal, KMM telah lama bertindak menurut jalur sebegitu, lebih awal daripada Umno. Bezanya, KMM tuntut kemerdekaan daripada Jepun dan Umno menuntut kemerdekaan daripada British.

Ibrahim ditakdirkan telah menemui kegagalan pada hujung riwayat politiknya di Malaysia. Namun, gerakan politiknya diterima di Indonesia apabila beliau dilantik sebagai ahli Parlimen di negara republik berkenaan.

Ketika berlaku peristiwa Lubang Buaya 1965, Ibrahim yang menggunakan nama Iskandar Kamel di Indonesia telah mengundurkan diri menjadi ahli parlimen. Ekoran itu, beliau kemudian telah merintis pembentukan 'Bank Pertiwi' sekali gus menjadi pengarahnya.

Ibrahim Yaakob meninggal dunia pada 8 Mac 1979 dan disemadikan di Kalibata, Jakarta iaitu isyarat bahawa perpaduan Melayu itu boleh juga hadir di mana-mana walaupun penegaknya telah terbuang dari negara asalnya sendiri.

BURHANUDDIN AL-HULAIMY BAPA PERPADUAN MELAYU?

Perjuangan membentuk Indonesia Raya itu kemudiannya diteruskan oleh Dr Burhanuddin melalui pentas politik PKMM selepas hayat KMM tidak panjang. Pada tahun 1945, Dr Burhanuddin masih terus menghimpunkan suara Melayu sekali gus mengeratkan persaudaraan Melayu, memupuk kekitaan untuk menolak penindasan sekali gus melawan penjajahan.

Sebuah pantun terkenal yang akrab dengan beliau berbunyi sebagai berikut:-

Di atas runtuhan Kota Melaka,
kita dirikan jiwa merdeka,
BERSATULAH MELAYU SELURUH BAKA,
membela hak keadilan pusaka.

Dengan ini, jelaslah sudah bahawa Dr Burhanuddin adalah penyatu suara Melayu untuk membebaskan Tanah Melayu daripada ancaman penjajah British. Ini kerana, setahun selepas itu, baharulah Umno ditubuhkan pada tahun 1946.

Oleh itu, cakap-cakap yang menyebutkan bahawa Dato' Onn Jaafar adalah bapa persaudaraan dan bapa perpaduan Melayu itu adalah kata-kata yang terbit, bangkit daripada kelemahan fikiran sendiri dengan tidak menoleh ke arah fakta sejarah yang terpendam.

No comments: