Tuesday, October 05, 2010

Perpepecahan, pembodohan Umno merebak ke seluruh dunia

Oleh H FANSURI

Baru-baru ini, Najib Razak telah menerima anugerah Imam Khalifah Gayong Malaysia. Politik orang-orang yang tidak jujur sudah menjalar ke dalam batang tubuh dunia persilatan kita yang suci murni.

Bersempena perlantikan Najib Razak itu juga, beliau berucap bahawa kuasa kita kini bukan lagi senjata keris, tetapi kuasa politik. Tapi, kalau Najib masih ingat, sepupu beliau sendiri Hishammuddin Hussein yang menjulang keris di dalam Perhimpunan Agung Umno sebelum ini.

Namun, Najib berkata demikian bukan untuk menyindir tindakan sepupunya itu, sebaliknya perkataan itu disebutkan bertujuan menyantuni pertubuhan silat yang telah menganugerahkan gelaran khalifah itu.

“Jikalau ATM dan PDRM adalah barisan pertama dan askar wataniah kita adalah barisan kedua, maka anak-anak Gayong kita kini bolehlah dianggap sebagai barisan ketiga yang sanggup berkorban bukan sahaja harta dan tenaga, malah nyawa sekali pun,” kata Najib Razak lagi.

Tapi, dalam hal kuasa politik dan kuasa keris ini; Najib jangan lupa bahawa memang sejak dahulu lagi, kegemilangan bukan terletak kepada keris, tetapi kepada politik bersih.

Apabila politik kita sudah berubah selera kepada dengki bersalut amalan rasuah, dan bersimbah dengan dendam kesumat, maka timbullah sikap ingin menjatuhkan antara satu sama lain.

Ketika zaman PM Abdullah Ahmad Badawi, Silat Lincah dan Pekida memainkan peranannya. Apa pun yang berlaku, perpecahan dalam kalangan politik Melayu kini sudah menyerap masuk ke dalam banyak cabang pertubuhan; silat, bola sepak dan pertubuhan agama.

Perpecahan itu kadangkala sengaja mereka cipta sendiri dan kemudian mereka pun tiba sebagai perwira yang menyelamatkan keadaan. Manakala orang-orang Melayu yang jauh tersasar di dalam berfikir akan terus menjulang mereka sebagai jaguh.

Di peringkat universiti misalnya, telah merebak kekhuatiran dalam kalangan pentadbir universiti, yang mana asal kerisauan ini berpunca daripada kejahilan menteri sendiri. Pendek kata, perpecahan bermula daripada kejahilan itu sendiri.

PROSES KITARAN KEJAHILAN DI KAMPUS

Ambil contoh di unversiti, yang kerap dilihat sebagai tempat himpunan para pendeta dan warga pelajar cerdik pandai. Saban tahun, rumus-rumus pedoman untuk menyelesaikan masalah masyarakat sekitar gagal dikeluarkan. Ketakutan bercakap adalah alat terawal yang memulakan kitaran pembodohan itu.

Sebab itulah menteri dan penguasa universiti bertambah berani menyebarluaskan kejahilan mereka ini untuk menakut-nakutkan dan semakin menjahilkan warga kampus.

Contohnya, Menteri Pengajian Tinggi Mohamed Khaled Nordin berkata, mahasiswa boleh mendengar ceramah, tetapi mereka tidak dibenarkan terlibat secara langsung dalam kempen politik.

“Jika pelajar sekadar mahu mendengar atau memantau pilihan raya, kementerian tidak akan menghalang tapi jika mereka membabitkan diri secara langsung seperti berkempen atau menjadi ejen parti politik, itu tidak dibenarkan,” katanya baru-baru ini.

Mohamed Khaled berkata, ada pelajar yang terlibat langsung dalam kepartian walaupun mereka sedar ia menyalahi Auku.

Tambah beliau, siswa seolah-olah mahu mencabar sama ada Auku itu akan dilaksanakan atau tidak ke atas mereka. Kita sedar bahawa Khaled mengirim isyarat bahawa dia memang mengerti bahawa sudah ada kalangan siswa yang mahu mencabar Auku lewat perundangan di mahkamah.

Kalau Mohamed Khaled bijak, dia akan sedar bahawa undang-undang ini ciptaan manusia yang boleh dirombak, diputar-putar dan dipinda, akhirnya yang bersalah pun boleh diisytiharkan menang kes.

Selain Tuhan, kita boleh menggantung harapan ke atas keberanian warga kampus yang selalu menjebak diri dari semasa ke semasa lalu mencabar Auku berkali-kali dengan hujah yang berbeza-beza. Mereka pula jangan pernah berhenti menulis mengenai pengalaman mereka itu.

'FIRST LADY SUMMIT', ACARA PEMBODOHAN SEDUNIA?

Selepas melihat sengketa dalam dunia persilatan, kenyataan pecah belah oleh kejahilan Najib, Khaled, kita tinjau pula bagaimana Rosmah memalukan dirinya sendiri sekali gus memperbodohkan dunia.

Tidak pernahlah sebelum ini hatta Dr Siti Hasmah sekali pun yang lama menjadi isteri Perdana Menteri mendakwa dirinya adalah wanita pertama sejak 20 tahun lebih pemerintahan Dr Mahathir.

Maka, kedudukan Dr Siti Hasmah adalah antara hujah terbesar bahawa Rosmah sebenarnya tidak layak menerima gelaran seperti itu. Maka, hari ini Rosmah sudah mencanangkan kedudukannya kepada dunia dengan suatu jemputan kepada semua wanita pertama di dunia yang bakal diadakah di Kuala Lumpur.

Maka, di dalam iklan itu Rosmah berkata, bahawa persidangan itu adalah bertujuan menyediakan ruang

'Wanita Pertama' dalam tafsiran Rosmah mungkin seorang watak yang berjiwa pengasih kepada anak-anak. Sebenarnya berjiwa pengasih kepada anak-anak ini memang anjuran nabi. Malah Mother Theresa juga berjiwa pengasih dan membuka gelanggang untuk membantu orang-orang tertindas.

Rosmah sepatutnya meneliti kedudukan Siti Zubaidah, Bidasari, Tun Fatimah yang berjuang membela negara, berjuang membebaskan suaminya yang terpenjara di negara musuh. Adakah Rosmah berada di darjat itu? Rosmah bukanlah berjiwa falsafah, pemikir seperti Raden Adjeng Kartini juga serikandi Cut Nja Dhien di Acheh yang berjuang melawan Belanda.

Kita tidak boleh iktiraf pendirian Ketua Menteri Ali Rustam yang menyokong agenda Rosmah yang mahu cari kaedah langkah pembuangan bayi yang makin berleluasa ini. Kata beliau, Melaka mungkin akan mengambil contoh pendekatan Rosmah itu untuk dimajukan di Melaka. Ini kenyataan mengampu.

Maka, dari lembah dunia persilatan, menjalar kepada dunia kampus, sehingga ke persidangan wanita pertama di Kuala Lumpur, telah merebak perpecahan, jangkitan kekeliruan dan pembodohan semakin melebar ketika 'wanita pertama' Malaysia mahu merumus agenda wanita pertama di peringkat dunia.

No comments: