Monday, October 04, 2010

Warga kampus perlu turun di Galas beramai-ramai

Oleh H FANSURI

"Belajar sambil mencabar, pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang, bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin, biarlah mahasiswa mencabar asalkan sambil itu mereka belajar..." --- Prof Diraja Ungku Aziz.

Kekuatan dan keberanian itu hadir tiba dengan jemaah berkumpulan. Dan itulah yang sepatutnya ada dalam fikiran setiap warga kampus yang membaca amarah daripada amaran Khaled Nordin kali ini.

Selama ini, menteri-menteri KPT (Kementerian Pengajian Tinggi) termasuk Khaled tidak pernah dicabar secara berkumpulan. Yang kita dengar hanyalah UKM4 dan sebelum ini Soh Sook Hwa di USM.

Soh rakan sekuliah saya yang dihukum Auku sekitar 2005 dan perjalanan kes beliau mencabar Auku itu masih berjalan sehingga ke hari ini. Sementara UKM4 melibatkan empat orang mahasiswa.

Lalu, pada masa-masa hadapan, kita perlu lebih banyak dan lebih ramai lagi gabungan warga kampus - mahasiswa, pensyarah dan kakitangan - yang akan bangkit dengan lebih tangkas berani mencabar.

BEZA 'MANSUH' DENGAN 'CABAR'

Kalau Auku tidak boleh dimansuh, maka ia mestilah selalu dicabar dengan lebih kerap agar rakyat akan lebih cepat beringat dan meluas wilayah kesedarannya berhubung kebatilan Auku.

Tindakan Soh pada 2005 dan UKM4 sejak belakangan ini adalah usaha mencabar Auku. Mereka sebenarnya mahu mansuhkan Auku. Tapi, jika Auku belum dapat lagi dimansuhkan, maka undang-undang drakonian itu perlulah selalu dicabar, diulang-ulang supaya rakyat sentiasa mengingati kebatilannya.

Terbaru, Khaled Nordin dengan angkuh berkata, mana-mana mahasiswa yang didapati terlibat dalam pilihan raya kecil Galas akan dikenakan hukuman. Sebenarnya, jikalau Khaled tidak memberi amaran, warga kampus (siswa, pensyarah dan kakitangan universiti) sudah sedia maklum mengenai azab yang bakal menanti.

Kalau diikutkan pengalaman luar negera, kes Soh dan UKM4 tidak mungkin wujud kerana fikiran pembuat dasar pengajian tinggi di luar negara jauh lebih tinggi berbanding pemikiran Khaled yang jauh lebih rendah mutunya itu.

Universiti hari ini bagaikan wanita tua yang disolek didandan hias dengan jenama solekan 'universiti penyelidikan' tapi parah degup jantungnya, pendek nafasnya menunggu ajal maut dan nazak.

Inilah hujah bagi menolak pandangan - bahawa di bawah Khaled, universiti sudah mencapai darjat universiti penyelidikan. Apa gunanya zahir luaran tampak hebat, tapi dalaman sudah luluh binasa.

MENUNGGU KEBERANIAN WARGA KAMPUS

Kalau warga kampus berani membuat perancangan, menyusun mesyuarat untuk turun beramai-ramai dan kalaulah selepas Khaled dan pentadbir universiti bertindak bodoh dengan menghukum ramai warga kampus, ini akan menjadi berita luar biasa di luar negara.

Agensi-agensi berita AFP, CNN, Reuters termasuk badan THES yang merumuskan kedudukan kampus universiti saban tahun tentulah tertanya-tanya; darihal apakah gerangannya Khaled bertindak zalim kejam di tahap agung begini? Wajarkah Khaled diberi jawatan menteri bermodalkan kebodohan seperti ini?

Begitulah ceritanya. Semoga Khaled akan insaf sedar bahawa dia akan selalu dicabar 'warga kampus' yang tidak takut ugutannya itu. Biarlah letih tangan SB-SB kampus yang ingin mengambil gambar para pensyarah, mahasiswa serta kakitangan universiti yang nekad bertindak terjun beramai-ramai ke dalam pilihan raya kecil itu kelak.

Walaupun Khaled melarang, pentadbir kampus gertak mengugut, TNC HEP lantang menggugat dengan amaran akan memecat tapi biarlah kali ini kita saksikan sejauhmana HEP dan KPT dapat menangkap menahan semua kita yang akan turun ke Galas nanti.

Kita mahu tengok juga sejauh mana KPT mampu berdepan dengan protes raksasa ini. Dan, sejauh mana HEP terdaya menghukum semua warga kampus yang ikut terlibat berpesta dan turun dalam pilihan raya kecil itu.

Kita mahu lihat juga, sanggupkah HEP dan KPT membicarakan puluhan ribu warga kampus yang terlibat dengan pilihan raya Galas?

PERSATUAN PENSYARAH, KAKITANGAN KAMPUS

Dalam hal lain, hati gelap kita disuluh cerah oleh pertanyaan bertalu-talu. Apakah wujud kesatuan dan persatuan pensyarah dan kakitangan kampus? Adakah gerakan ini wujud atau pernah ada syor untuk diwujudkan? Adakah mereka tidak menuntut agar disahkan bagi mereka untuk berpolitik kepartian sebagai guru-guru sekolah itu?

Kalau diikutkan fikiran waras, apabila guru-guru sekolah dibenarkan berpolitik kepartian, maka pensyarah universiti tentulah lebih-lebih lagi.

Apa pun, cabarlah Auku lewat tindakan bersama dan bukan sekadar laungan kata-kata. Auku bukan hanya perlu dimansuhkan, tapi juga dicabar. Dan, kekuatan dan keberanian untuk sering mengulangi cabaran inilah yang meresahkan HEP dan KPT.

Kegelapan tidak musnah jika mengusirnya dengan kata-kata. Nyalakan dian suluhlah kegelapan dengan pelita. Bahawa, kegelapan kejahilan tidak dapat diusir dengan bicara semata-mata, kerana hanya Tuhan yang menggerakkan alam lewat firman-Nya; 'Kun Fayakun'.

Buat Khaled Nordin, tugas anda ialah tumpukan hal universiti. Lupakan Galas. Khaled kini, bak bidalan kata, tiada beban, batu digalas apabila menggalas beban di Galas. Khaled pasti menyesal jika warga kampus berani turun beramai-ramai. Beliau bernasib baik jika mereka diam dan takut.

Bersama kita menggalas amanah di Galas demi agama, bangsa, negara. Perjuangan adalah pelaksanaan kata-kata. Sejuta kata-kata yang diusung terlaksana lewat tindakan bersama akan memansuh akta-akta, insya Allah Ta'ala. Dan, hal itu tentunya menelan masa yang panjang pula.

Ya... baik Soh dan UKM4 yang turun ke lapangan itu. Mereka turun sambil mencabar dan terus belajar. Oleh itu, mereka tidaklah perlu dipersalahkan. Sebagai kata Prof Diraja Ungku Aziz yang pernah berdepan dengan cabaran kenakalan mahasiswa sekitar 70-an dahulu...

"Belajar sambil mencabar, pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang, bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin, biarlah mahasiswa mencabar asalkan sambil itu mereka belajar..."

No comments: