Ketika liputan mengenai pemilihan pucuk kepemimpinan PKR berlangsung, bertimba-timba fitnah dan bertindan-tindan tempayan tohmah dan berkoyan-koyan andaian berlegar di rangkaian televisyen.
Tetapi bagi yang sedar, inilah hakikat yang berlaku dalam Umno dan mana-mana parti sekali pun. Telah menjadi kefahaman umum kedudukan hati manusia yang suka bersengketa. Kita pun bukan malaikat.
Tetapi, bagaimanapun Tun, yang paling mencemaskan ialah kedudukan Rosmah Mansor yang telah pun mencapai tahap tidak boleh ditegur lagi. Tujuan surat ini dimajukan ialah untuk bertanya, apakah boleh Tun menegur Rosmah sebagai mana Tun pernah menegur Khairy Jamaluddin sebelum ini?
Apabila kita berperang dengan Margaret Thatcher dahulu selepas Tun lancarkan Serangan Subuh, maka kita mula lancarkan Dasar Pandang Ke Timur dan Kempen Belilah Barang Buatan Malaysia.
Sedikit demi sedikit, perlahan-lahan kita baru mula merdeka daripada penjajahan ekonomi. Tetapi, jika kita memandang kepada Rosmah, ke mana sahaja Najib Razak pergi, pasti di situ ada Rosmah.
Tidak dipandangnya lagi sama ada ke Barat atau pun ke Timur, hanya baju dan pakaian jenama ternama itulah yang dicari-carinya. Ketika rakyat sedang berjuang membeli barangan dalam negara, Rosmah ini berbelanja sesuka hati, membeli pakaian berjenama luar negara tanpa sebarang falsafah dan etika ketika membeli-belah itu. Falsafah 'Kalah membeli menang memakai' itu apakah ada dalam fikirannya?
Jadi, dari sudut ini, kempen yang Tun laksanakan sebelum ini terbatal dek sikap Rosmah. Kerisauan ini berputik daripada kerisauan orang-orang Umno jua adanya ke atas Rosmah ini.
Geram mereka ke atas Rosmah separas tingginya kebencian dendaman ke atas Khairy yang Tun sudah marahkan sebelum ini. Orang Umno ini tertanya-tanya juga, tetapi mereka tidak berani menyuarakan.
Pertanyaan mereka, “Seperti mana Tun boleh bertanya, 'siapa dia Khairy ni?', maka orang-orang Umno ini tertanya-tanya juga, adakah Tun boleh bertanya, 'siapa dia Rosmah ni?'”
Dulu Tun mudah menegur Khairy kerana Abdullah Ahmad Badawi bukan pilihan Tun sebagai Perdana Menteri. Teguran Tun terhadap Abdullah itu tidak boleh dianggap sebagai jihad kerana memang senang menegur orang yang memang kita tidak suka pada asalnya.
Jihad itu adalah melawan keinginan, memerangi yang kita suka, membanteras hal yang kita sukar mahu laksanakan. Tun sukakan Najib berbanding Abdullah. Senanglah Tun mengkritik menantu Abdullah itu, Khairy kerana, sebagai yang Tun sebut sebelum ini, Abdullah memang bukan pilihan Tun sebagai PM.
Tetapi sekarang ini, adakah Tun dapat menegur Rosmah, isteri Najib seperti mana Tun menegur Khairy, menantu Abdullah itu? Pepatah Melayu menyebut – marahkan anak sindir menantu. Adakah wujud rasa malu alah terhadap Najib ketika mahu menegur sikap Rosmah ini?
Reformis atau pun yang mengaku reformis dan tidak faham hal ini, terus mengirim sms kepada teman-teman seperti berikut, “Tahniah Tun, selamat datang ke lembah perjuangan. Teruskan perjuangan yang belum selesai.” Tapi rakyat faham. Mereka tahu memang mudah menegur orang yang kita tidak suka.
Tun, Dr Siti Hasmah tidak pernahlah ternobat sebagai 'Wanita Pertama' walaupun 20 tahun Tun susun pentadbiran negara ini. Tidak pernah sesekali. Jadi, kami harap Tun sudilah menegur Rosmah itu.
Seperti mana ahli-ahli Umno yang beriman dan waras berasa cemas dengan kesombongan Khairy, lalu demikianlah juga tahap kebencian orang-orang Umno ke atas Rosmah, isteri Najib. Moga berjaya Tun!
No comments:
Post a Comment