Thursday, September 30, 2010

Aspirasi tidak matang? Jadi janganlah berparti

Oleh H FANSURI

Daripada isu 'Bini Puaka' kepada UKM4, dunia kemahasiswaan tidak sunyi dibedil dengan meriam gugatan Auku. Bagai badut sarkas yang suka memperbodoh diri untuk menggembirakan orang-ramai, rangkaian televisyen masih juga merancakkan gelombang pandir dan mendengungkan gema kebodohan dengan setia.

Itu yang termuat dalam Suara Siswa baru-baru ini yang membawa tajuk, adakah siswa kita matang. Tajuk itu bagaikan sebutir bom C4 yang meledak di rimba banat belantara, lalu membakar rentung hutan rasa di jiwa mahasiswa.

Dan, kelongsong peluru murahan seperti wang ehsan di Pulau Pinang yang didakwa terkait dengan sumber haram akan terus meletus dengan harapan, semoga undi rakyat berkiblat semula kepada Umno walaupun satu alam buana tahu bahawa Umno yang menjuarai judi ketika hampir meluluskan lesen judi bola sepak sebelum ini.

Isu siswa walau nampak terpencil, ia amat penting sehinggakan suatu jabatan khas telah dibentuk polis untuk memantau kegiatan para siswa ini. Jadi, pemimpin mahasiswa tidak lepas bebas melainkan sering terdedah oleh intipan SB Bukit Aman, intaian SB kampus dan sesekali disergah oleh pentadbiran kampus yang berat sebelah dalam menjatuhkan hukuman.

PEMIMPIN ASPIRASI YANG TIDAK MATANG?
Berbalik kepada tajuk Suara Siswa, maka kita sedar bahawa tujuan dikatakan siswa itu tidak matang memang bersebab, iaitu kaum penguasa tidak suka dirinya dicabar mahasiswa.

Jadi kepada siswa Aspirasi mengaku dirinya tidak matang atau belum matang maka biarlah dia seorang sahaja yang tidak berparti kerana sedar diri bahawa dia belum matang.

Kenapa harus ada siswa matang yang tidak dibenarkan berparti hanya kerana ada segelintir pimpinan siswa yang mendakwa dirinya sendiri belum matang?

Kita tidak nafikan bahawa ada pemimpin pelajar Aspirasi yang tidak matang dan belum matang kerana mereka jujur mengaku bahawa mereka (pemimpin siswa) tidak matang.

Sesungguhnya, inilah pengakuan jujur yang wajib dirai. Bukan senang mendengar pengakuan pemimpin siswa bahawa mereka sendiri tidak matang. Orang Umno yang tidak matang tidak berani mengaku bahawa belum matang kerana mereka mahu berparti demi untung, laba dan duit ringgit.

Jadi, kepada pemimpin siswa Aspirasi, kalau berasa diri tidak matang, kita terima kejujuran mengakui diri tidak matang dan kita terima, bahawa atas keinsafan anda tidak matang, lalu anda seorang sahajalah yang tidak perlu menyertai parti.

Ini satu hukum dan keputusan yang anda tegakkan ke atas diri sendiri dan tidak melibatkan mahasiswa lain yang sudah matang. Tiada yang marah jika anda berfikir begini.

Jadi, jika pemimpin siswa sedar diri bahawa dia tidak matang, maka tindakan tidak berparti itu cuma khas buat dirinya sahaja dan tidak menjadi rujukan umum bagi siswa lain. Malah, pemimpin siswa yang sedar dirinya tidak matang, tidak layak memimpin persatuan pelajar pun!

Bagi pemimpin pelajar yang tidak matang ini, jangankan menceburi parti, untuk memimpin gerakan mahasiswa sekali pun, mereka belum layak.

RUMUSAN AWAL
Maka, dalam membicarakan hal kematangan mahasiswa ini, bolehlah kita menyusun rumusan awal seperti berikut:-

Pertama, pemikiran HEP termasuk para menteri adalah tidak matang ketika mereka menyifatkan siswa secara keseluruhannya tidak matang. Kenyataan itu tidak bersandarkan kajian empirikal.

Kedua, pemimpin siswa yang sedar dirinya tidak matang, tidak boleh andaikan bahawa semua asiswa tidak matang seperti dirinya. Malah, mereka tidak layak menjadi pemimpin pelajar kerana sedar diri bahawa mereka sendiri tidak matang.

Ketiga, kerajaan tidak sepatutnya membuat keputusan dan menghukum bahawa 'haram' ke atas semua pelajar untuk berparti hanya berpandukan ketidakmatangan pemimpin pelajar Aspirasi asuhan mereka sendiri.

Akhirnya, kita perlu insaf sedar bahawa, di luar sana, sudah ramai siswa yang matang, tapi mereka enggan berparti kerana hal itu bukan minat mereka.

Ada pelajar yang matang dan suka mengarang cerpen, novel, terlibat dalam pementasan teater, memancing ikan, mengumpul setem, mendaki gunung, menonton filem-filem baharu di pawagam dan lain-lainnya.

Justeru, sikap mahu menutup peluang siswa untuk berparti hanya dengan hujah bahawa siswa itu tidak matang tidak sesuai kerana tidak semua mahasiswa yang matang itu berminat dengan polemik kepartian dan punya kecenderungan untuk berparti.

Oleh itu, pentadbir universiti, menteri-menteri termasuk bekas pentadbir universiti khususnya Tan Sri Ibrahim Abu Shah perlu mencari hujah lain yang lebih akademik lagi rasional supaya tidak diketawakan beramai-ramai oleh jumhur mahasiswa dan rakyat secara ijmak di kemudian hari.

Berfikir rasional dan bersikap matang dan profesional itu lebih awla daripada berfikir dan bertindak secara Umno dan Barisan Nasional.

No comments: