Tuesday, September 28, 2010

Sejarah Tg Pagar, kubu kuat pembangkang Singapura terawal

Oleh H FANSURI

"Berapa lama lagi kita akan tiba di Singapura?" Chom Bee bertanyakan mamak Mahyuddin Jailani. Mamak separuh usia itu memahami gejolak perasaan gadis muda itu.



Dipancingnya hati wanita muda itu dengan kata-kata manis, guna mendamaikan gelora rindu yang kini sedang tenggelam dan karam oleh bingit suara landasan keretapi.

"Tak lama...sat lagi kita sampailah ke Tg Pagar," kata mamak kembali. Bagi peminat filem Melayu klasik, setidak-tidaknya ada dua kejadian yang memperliha pertalian stesen keretapi Tanjong Pagar dengan perusahaan perfileman Melayu itu.

Pertamanya, dalam Ibu Mertuaku dan kedua dalam Anakku Sazali. Tg Pagar bukan hanya kerana kenangan nostalgia tetapi ia adalah persoalan maruah Melayu, maruah negara dan segala-galanya yang terkait dengan Islam.

Sejak pemisahan dan perceraian 1965 antara Malaysia - Singapura itulah kita melihat demikian banyaknya khazanah negara yang kemudiannya dipindahkan ke Kuala Lumpur sedikit demi sedikit seperti Universiti Malaya, Studio Jalan Ampas dan lain-lainnya.

Tetapi, siapalah yang sedar bahawa Tg Pagar pernah menjadi kubu kuat kepada kegiatan pembangkang di negara republik itu? Kita tidak boleh melupakan Ahli Parlimen kawasan itu; Lee Kuan Yew yang mendapat mandat bagi tempoh 1959 sehingga 1991.

PRA PENUBUHAN PARTI TINDAKAN RAKYAT (PAP)

Pengalaman awal Lee dalam siasah Singapura ialah pada 1951 ketika beliau menjadi agen pilihan raya majlis kepada John Laycock daripada Parti Progresif yang mendokong pemerintahan British.

Lee sedar parti itu gagal memenangi hati rakyat, khasnya daripada masyarakat Cina kelas buruh. Bintangnya cerah ketika beliau terlibat dengan kegiatan kesatuan pelajar dan buruh yang menyebabkan beliau diangkat sebagai tokoh penting kemudiannya.

PEMBENTUKAN PAP

Pada 1954, Lee bersama rakan-rakannya membentuk kumpulan sosialis PAP bertujuan menyokong permuafakatan kesatuan sekerja yang cenderung memihak kepada aliran komunis.

Matlamat mereka adalah membentuk pemerintahan sendiri sekali gus menamatkan kolonial British. Di Victoria Memorial Hall suatu persidangan besar dihadiri lebih 1,500 penyokong termasuk kesatuan sekerja. Di situ Lee diangkat sebagai setiausaha agung PAP sehingga 1992.

Seperti yang disebut di atas, Lee menang kerusi Tg Pagar dalam pilihan raya 1955 yang kemudian melayakkannya menjadi pemimpin pembangkang. Sebagai pembangkang, Lee dijemput menjadi wakil PAP dalam perbahasan di London berhubung dua buah perlembagaan yang menyentuh masa depan dan kedudukan Singapura.

Selepas momokan gelap komunis sudah hampir di penghujungnya, Lee menerima mandat para pengundi di Tg Pagar dalam pilihan raya 1957. Dan 'ancaman' komunis dalam PAP yang bersifat sementara itu sudah hilang saat Lee terjun dalam pilihan raya seterusnya.

Kalau ditinjau daripada segi ini, nampaknya sifat, sikap dan pendirian Lee termasuk PAP boleh berubah kedudukannya sosialis, komunis kepada kapitalis. Dengan dokongan Israel di negara republik itu, nampaknya beberapa pendirian awal boleh bertukar.

PERJANJIAN YANG TERCAPAI

Hari ini, permuafakatan banyak berlaku dalam mesyuarat gelap dan rundingan PAP dan Umno-BN tidak boleh lagi diperhitung oleh sosialis-komunis kerana amalan plutokrasi (demokrasi yang dikuasai dan dijana oleh kapitalis golongan pemodal) sudah mendapat tempatnya. Di bawah adalah beberapa persetujuan yang tercapai.

# Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tanjong Pagar akan dipindahkan ke Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlands (WTCP) menjelang 1 Julai 2011.

# Tiga bidang tanah di Tg. Pagar, Kranji dan Woodlands serta tiga lagi di Bukit Timah dibangunkan bersama.

# Syarikat MS Pte Ltd dibentuk untuk membangunkan tanah-tanah tersebut.

# Penyerahan tanah-tanah itu kepada syarikat perusahaan MS Pte Ltd akan berkuatkuasa apabila KTMB meninggalkan Stesen Keretapi Tanjong Pagar.

# Sistem kereta api gerak cepat antara Johor Bahru dan Singapura akan dibangunkan bersama.

# Bangunan Terminal Penumpang Stesen Keretapi Tanjong Pagar akan dikekalkan dan dipulihara.

# Syarikat usaha sama Khazanah Nasional Berhad dan Temasek Holdings Limited dibentuk untuk menjalankan projek pembangunan di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI).

# Loji air di Johor akan diserahkan kepada Johor selepas Perjanjian Air tamat tempohnya tahun depan.

# Bayaran tol di laluan Linkedua akan dikurangkan.

# Khidmat bas rentas sempadan di pertingkat manakala peraturan khidmat teksi dilonggarkan.

Kesemua perjanjian dirancang, didebat dan direncanakan puluhan tahun kemudiannya setelah Ibu Mertuaku meletup manakala Anakku Sazali meledak sebagai filem terbaik di Malaysia. Stesen keretapi Tg Pagar ketika ini masih suci dan dara ketika zaman studio Jalan Ampas mencapai kegemilangannya.

Entah apa bentuk lagi perancangan Singapura dengan Malaysia pada masa depan? Di akhir kisahnya, oleh sebab tidak mahu dibeban rasa terhutang, maka Kassim Selamat membutakan kedua-dua belah matanya yang telah dirawat oleh Dr Ismadi.

Kalsom Bee, ibunya Mami dan Mamak Mahyuddin tiba di celah kegawatan malam ribut itu lalu berkata, "Ketika abang Kassim datang pun dalam keadaan buta, sekarang Chom Bee terima abang pun dalam keadaan buta."

Semoga dalam kisah KTMB Tg Pagar ini kita tidak dibutakan mata buat kali yang seterusnya...

No comments: