Sunday, November 21, 2010

Siapakah sembilang di lubuk keruh?

Oleh H FANSURI

Bahasa Melayu bernyawa dan nafas tersendiri. Ia bernyawa dan hidup bernafas lewat pertikaian politik. Dan, seni pertikaian seperti inilah yang saya sukai kalau meninjau kepada watak seorang zuama' Umno yang saya kagumi; Rais Yatim.

Beliau antara orang yang mahir dalam seni pertikaian, berperang dengan mengguna laras bahasa halus. Seni bertikai melalui kepenggunaan bahasa yang indah ini jarang-jarang ada kepada orang lain.

Ketika di Siasah saya ditugaskan menaipkan semula kata-katanya ketika kami mewawancarai beliau di pejabat lamanya sebelum ini di TH Perdana Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Dalam wawancara itu, kurang lebih beliau berkata, bahawa Umno perlu pertimbang semula kemasukan Anwar ke dalam Umno sebab beliau didapati tidak bersalah di atas tuduhan ke atas sebelum ini. Ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi baharu sahaja 'membebaskan' Anwar dari penjara.

Wawancara itu termuat di dalam Siasah terbitan kedua. Boleh dikatakan, oleh kerana wawancara itulah, maka Siasah telah menempa namanya sebagai akhbar arus perdana.

Sebagai termaklum, adalah sesuatu yang amat sulit untuk melonjakkan nama sesebuah penerbitan yang baharu muncul di tengah kerancakan akhbar yang berlumba-lumba menjulangkan namanya.

Temu bual itu bukan seperti temubual lagenda yang dikendalikan oleh David Frost yang menemu bual Richard Nixon selepas Watergate apabila Presiden Amerika itu digulingkan hasil laporan dua wartawan Washington Post, Bob Woodward dan Carl Bernstein.

Tapi, setidak-tidaknya wawancara di Siasah itu mengejutkan ramai orang kerana Rais berani keluarkan kenyataan sedemikian dalam keadaan beliau masih memegang jawatan sebagai menteri.

Selepas itu, saya kira, barulah heboh pertanyaan diasak kepada Anwar berhubung kemungkinan beliau akan masuk Umno. Semuanya berikutan gara-gara keberanian beliau membangkitkan hal tersebut.

Namun, hari ini beliau tampil kembali menyifatkan Anwar sebagai 'ikan sembilang dalam lubuk keruh', yang menurutnya hanya tahu menyengat demi kepentingan dirinya sahaja.

"Dato' Seri Anwar sebagai bekas timbalan perdana menteri dan sekarang ketua pembangkang, janganlah apabila dalam lubuk berair jernih lain bahasanya, tetapi apabila dalam lubuk keruh airnya lain pula bahasanya," kata Rais lagi.

Keindahan pesona kata-kata Rais ini juga tercermin dalam drama bersiri pergolakan apabila retak-retak rekahan parti Melayu jelas kelihatan dalam peristiwa Umno parti haram di pertengahan 1980-an yang menyaksikan kemunculan Umno Baru dan Semangat 46.

“Bakar jambatan!” katanya ketika menyifatkan bahawa dia tidak ingin pulang lagi ke pangkuan Umno. Betul atau salah, hal itu boleh dibahas kemudian, walaupun satu dunia tahu bahawa beliau rujuk semula kepada Umno sesudah itu.

Namun, kita tolak ke tepi semua itu. Yang penting di sini, sudah ada pertambahan lagi dalam khazanah kata bidalan selain daripada berkerat rotan, berpatah arang, iaitu bakar jambatan.

Seperti juga pepatah yang beliau ungkapkan ini – bagai sembilang di lubuk keruh. Betul atau salahnya pendapat itu, semuanya boleh didebatkan dalam Perhimpunan Agung Umno kelak. Atau, boleh masuk ke dalam Dewan Bahasa nanti jika dipersetujui oleh kabinet dan jemaah menteri.

Sila lihat kecaman Abdullah dan lain-lain pemimpin Umno yang hilang seninya. Abdullah Ahmad Badawi berkata tindakan Anwar mempertikai kejayaan negara adalah seperti menghina negara sendiri.

Rakyat, kata Abdullah perlu tolak dakwaan Anwar bahawa pengiktirafan itu sebagai penghinaan kerana ia bercanggah dengan pendapat pemimpin dunia dan kemajuan dicapai negara dalam pelbagai bidang.

"Anwar yang menghina negara bukannya pengiktirafan itu. Jadi kita tidak perlulah terima atau layan dakwaannya," katanya ketika mengulas dakwaan Anwar bahawa pengiktirafan negara asing ke atas Malaysia sebagai negara Islam moden adalah satu penghinaan.

Kata Abdullah kenyataan Anwar itu berniat memujuk Perdana Menteri Australia, Julia Gillard supaya memberi tekanan kepada BN dengan alasan BN mengamal rasuah dan menipu dalam pilihan raya.

Abdullah berkata demikian ketika merujuk temu bual yang dibuat oleh Sky News Australia. Sementara itu, sepupu Najib Razak, Hishammuddin Hussein berkata, Anwar dalam keadaan terdesak, sehingga ke Australia dan memburukkan negara untuk mendapat sokongan.

"Beliau (Anwar) tersepit dan mahu mengalih pandangan ke atas masalah yang dihadapi dalam partinya, itu adalah modus operandinya... masalah rumah tangga tak selesai, jadi beliau mahu alihkan pandangan orang-ramai kepada isu lain," kata beliau.

Sementara itu, Ali Rustam menyifatkan tindakan Anwar mempertikai pengiktirafan negara asing ke atas Malaysia menunjukkan ketua pengimbang itu makin hilang taringnya di peringkat antarabangsa.

"Anwar sedar dirinya dan PKR kian hilang sokongan akar umbi, sebab itu dia gunakan kesempatan menerusi media asing seperti Sky News untuk mengkritik pengiktirafan yang diberikan negara asing ke atas pencapaian Malaysia sebagai negara Islam moden," kata Ali Rustam lagi.

Kita tahu bahawa lidah-lidah pertikaian yang menganjur dalam perut sungai pergeseran ini, adalah juga ikan sembilang di lubuk terdalam dan terkeruh. Sama ada sembilang itu Abdullah, Hishammuddin, Ali Rustam, Najib Razak, merekalah sembilang yang lama mengkhianati agama, bangsa dan negaranya.

Abdullah Pak Him (Abdullah Fahim) pernah menyindir kumpulan terawal yang datang rumahnya agar tidak mengkhianati amanah dan berperangai bagai penjajah apabila merdeka daripada British kelak.

Setidaknya, Rais mengguna seni bahasa berkelahi yang baik. Dia tahu kita akan melawan beliau sendiri dengan pepatah yang beliau lantunkan ke media itu, tetapi akhirnya kita mendapat manfaat juga dengan memperkayakan bahasa kita.

Berbahasalah dengan baik berakhlak dengan santun, berkelahilah dengan pantun, begitu wasiat Usman Awang dalam sajaknya berjudul Melayu.

No comments: