Monday, November 15, 2010

Kesan pembebasan Suu Kyi ke atas Asia Tenggara

Oleh H FANSURI

Baru-baru ini, pembebasan Aung San Suu Kyi menarik perhatian masyarakat sedunia. Apakah yang menyebabkan pihak junta tentera Myanmar membebaskan beliau tanpa syarat itu? Hal itu memang menarik perhatian.
"Pembebasan ini dibuat tanpa syarat. Tiada sebarang sekatan dikenakan ke atasnya," kata peguam Suu Kyi, Nyan Win. Beliau pun kemudiannya berjalan melewati kawasan Liga Kebangsaan bagi demokrasi (NLD) dengan megahnya dan penuh kegembiraan ketika para penyokongnya meraikan pembebasan beliau itu.

Di situ, beliau bertemu para diplomat di Yangon sebelum bertemu warga media. Ada spekulasi timbul selepas pembebasan beliau, iaitu beliau mungkin memanfaat peluang itu untuk mencabar pentadbiran junta tentera.

Atau pun dengan andaian kedua - ASSK juga boleh memilih untuk berdamai. Berdasarkan ucapannya, penerima anugerah Hadiah Nobel Keamanan itu dikatakan tidak berucap lantang ketika berbicara mengenai hasrat mencapai perdamaian.

Yang ada, beliau cuma menyebutkan bahawa beliau tidak berdendam terhadap mana-mana individu yang menyebabkan beliau ditahan sepanjang tempoh lebih 15 tahun lalu sejak 1990.

Wanita yang pernah dikenakan tahanan di rumah selama tujuh tahun sebelum ini memberitahu para penyokongnya bahawa beliau akan terus-menerus memperjuang hak asasi kemanusiaan sekali gus memelihara kedaulatan undang-undang di negara yang masih ditadbir di bawah junta tentera ini.

"Saya percaya dengan hak asasi kemanusiaan dan kedaulatan undang-undang. Saya akan sentiasa berjuang untuk dua perkara ini.

"Saya mahu bekerjasama dengan semua pihak yang menyokong demokrasi dan saya juga perlukan sokongan rakyat," kata Suu Kyi di hadapan lebih 5,000 para pendokongnya yang berhimpun bagi meraikan pembebasannya.

Bagaimanapun, para penyokong Suu Kyi masih meletakkan diri mereka dalam keadaan berjaga-jaga. Mereka juga tetap menyuarakan kebimbangan bahawa junta tentera mungkin akan mengenakan sekatan ke atas beliau daripada melibatkan diri dalam kegiatan dan pergerakan sebagaimana yang berlaku dalam tempoh kebebasan singkat sebelum ini.

Suu Kyi di peringkat antarabangsa

Sementara itu, Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon ketika merakam aluannya mengenai pembebasan Suu Kyi daripada tahanan politik itu, masih sempat menegur pemerintah junta tentera Myanmar sejak dulu.

Kata beliau, tiada sekatan yang sepatutnya dikenakan terhadap Suu Kyi apabila masyarakat mula membanjiri seluruh ibu kota Yangon untuk menyambut pembebasannya baru-baru ini.

Manakala utusan khas Kesatuan Eropah (EU) di Rome pula mendesak supaya peralihan demokrasi dijalankan di Myanmar. Mereka mahu segala penganiayaan terhadap etnik minoriti di Myanmar dihentikan selepas pembebasan Suu Kyi.

Rupa-rupanya, masih ada tahanan politik Myanmar yang belum dibebaskan. Hal ini mengingatkan kita kepada kenyataan Dr Mahathir terhadap Myanmar apabila Anwar Ibrahim masih lagi hidup dalam pasungan sebagai 'tahanan politik'.

"Bebaskan Suu Kyi atau keluar daripada keanggotaan Asean," kata Dr Mahathir, dalam keadaan dia lupa bahawa Anwar juga masih dalam penjara sebagai 'tahanan politik' ketika itu.

Ini bermaksud, 'penyakit lupa' Dr Mahathir masih juga wujud dalam kalangan pemimpin junta tentera Myanmar yang lain. Mereka boleh membebaskan Suu Kyi, tetapi bagaimana pula dengan nasib tahanan politik yang lain?

Ketika Anwar Ibrahim bebas tahanan, masih ada lagi tahanan ISA yang belum dibebaskan. Dan hal inilah yang sepatutnya diingati selalu oleh setiap ahli masyarakat kita.

"Kami harap pembebasan Suu Kyi akan disusuli oleh orang-orang penting yang lain. Semua tahanan politik Myanmar perlu dibebaskan, semua permusuhan terhadap minoriti etnik ditamatkan dan lancarkan proses perdamaian ke seluruh negara," kata seorang ahli Parlimen Itali, Piero Fassino.

Pembebasan Suu Kyi dan Selatan Thai

Seperti juga nasib ramai lagi tahanan politik di Myanmar yang masih belum bebas, juga nasib tahanan ISA, maka kita janganlah pula melupakan bahawa cengkaman penjajahan ke atas Melayu Muslim Selatan Thai itu masih juga kuat mencengkam. Fakta sejarah merakamkan bukti bahawa Hamzah Fansuri, seorang ulamak berjiwa sastera dikatakan berasal dari Shahrun Nuwi, iaitu Ayuthia.

Maka, dengan kejatuhan Ayuthia, kebanyakan negeri Melayu berada di bawah Thai. Nasib kelima-lima negeri; Menara (Narathiwat), Jala (Yala), Singgora (Songkhla), Setul (Satun) dan Patani menjadi makin parah setelah termeterainya Perjanjian Bangkok 1909 antara Thai dan Inggeris.

Dengan perjanjian berkenaan, membuktikan bahawa bangsa Eropah Barat sudah lama bekerjasama dengan Thai untuk menjajah Melayu. Tapi, pada masa yang sama, Pulau Pinang telah diberi kepada Francis Light agar Kedah dapat dilindungi daripada serangan Thai.

Namun, Setul naungan Kedah terlepas kepada Thai. Dalam filem The King and I ditunjukkan Anna Leonowens dibawa mengajar orang istana Raja Mongkut. Suami Anna yang meninggal dunia di Pulau Pinang itu adalah rakan Francis Light. Kenapakah Light benarkan hal ini berlaku? Beliau ada saham (juga hutang) dalam melebarkan sayap penjajahan ke atas Melayu Selatan Thai.

British tentu sahaja perlu bertanggungjawab dan perlu dilibatkan sama dalam melunaskan 'hutang bangsa' ini.

Maka, dengan pembebasan Suu Kyi ini, kita wajar bertanya, adakah pembebasannya hanya suatu pengakhiran, atau suatu bermulaan gerakan pembebasan besar-besaran di Asia Tenggara? Adakah dengan pembebasannya, hanya tahanan politik di Myanmar sahaja yang dipedulikan PBB dan EU? Bagaimana pula dengan nasib Melayu di Selatan Thai itu?

No comments: