Monday, November 15, 2010

Adakah Natrah punca perpaduan Melayu?

Oleh H FANSURI

Di depan Restoren Minang berhampiran Istana Kg Gelam, Singapura, dua pasang suami isteri berbual rancak mengenai sejarah, isu politik dan lain-lain hal, khasnya yang menyangkut pendidikan di negara republik itu.
"Apabila tentera Jepun menyerang, mereka terus kawal sumber air di sini," kata Ziman. "Sebab itulah Singapura jatuh di bawah pentadbiran Jepun."

Ziman adalah suami Zaidah, rakan puisi yang saya kenali ketika kami sama-sama berada di Samarinda, Kalimantan Timur dalam suatu acara Mastera anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka antara Julai sehingga Ogos 2007.

Tapi, hal yang lebih menarik perhatian saya bukan isu pendidikan dan isu air. Ia mengenai seorang lelaki tua yang dikatakan pernah hidup berjiran dengan Natrah.

"Kami memanggilnya Wak Ponen," kata kenalan baharu saya itu. "Dia tinggal di Choa Chu Kang. Daripada beliau, saya tahu cerita Natrah."

Lalu, ingatan terhimbau kepada saki-baki polemik baharu dalam negara kita. Dan dalam mutakhir ini, kita melihat dua perang, 'sengketa' perselisihan antara dua karya; Natrah dalam bentuk naskhah teater (Erma Fatima) dan kajian akademik Fatini Yaacob.

Juga ada sebuah novel Isa Kamari di Singapura yang menceritakan detik-detik peristiwa tragedi yang melibatkan Natrah itu.

Siapa pencetus perpaduan Melayu?

Oleh kerana debat Erma - Fatini masih dalam iddah, maka eloklah kita menjadi pemerhati. Bagaimanapun, pada Malam Puisi Riong baru-baru ini, dua kenalan sedang ghairah berbincang mengenai debat Erma - Fatini berhubung Natrah ini.

"Kita tak patut jadi hakim, juri penilai ke atas karya sendiri," kata seorang teman. Seorang lagi berkata, "Kupasan mengenai Natrah itu diukur daripada kaca mata politik. Konon kerana Natrah, Melayu bersatu."

Tambah rakan itu, perpaduan Melayu dipolitikkan saat ia dikaitkan dengan perpaduan Umno-Pas. Saya tulis hal perpaduan Melayu ini di Harakah Daily sebelum ini. Dan, kini saya putarkan lagi hujah itu.

Bahawa yang pertama menyeru perpaduan Melayu adalah Dr Burhanuddin Al-Hulaimy daripada Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) ketika beliau berpantun di kongres Melaka pada 1945.

"Di atas runtuhan Kota Melaka, kita dirikan jiwa merdeka, BERSATULAH MELAYU SELURUH BAKA, membela hak keadilan pusaka..."

Onn Jaafar terlewat setahun kerana baru capai 'kesedaran' untuk menubuhkan Umno pada 1946 di Kelab Sultan Sulaiman, Kg Baru.

Rusuhan Natrah (Rusuhan Singapura) pada 1950 yang dianggap sebagai titik-tolak perpaduan Melayu berlaku 5 tahun selepas Dr Buhanuddin berpantun dalam ucaptama kongres PKMM itu pada 1945. --- Sekolah Pemikiran Bussorah Street (SPBS)

No comments: