Friday, November 12, 2010

Cara menilai semula perpaduan kaum

Oleh H FANSURI

Empayar terakhir adalah British. Kita semua sepakat mengenai hal itu. Tapi, yang tidak sepakat ialah kedudukan hutang British ke atas bangsa Asia yang tertindas dan dinodai maruahnya oleh mereka.
Apa yang berlaku di kebanyakan negara baharu merdeka adalah kewujudan masyarakat majmuk yang berpunca daripada kolonialisme Empayar British.

Maksudnya, wujudnya etnik bukan Melayu di Tanah Melayu adalah kesan penjajahan British di Malaya. Kesan-kesan itu juga yang mewujudkan Melayu Suriname di Amerika Latin pada zaman Belanda di Indonesia.

Selain itu wujud minoriti Melayu di Pulau Krismas, Cocos di Australia yang dibawa Empayar British di sana. Melayu di sana berasal dari Melaka dan Singapura. Ketika ini, Melaka dan Singapura di bawah pentadbiran Negeri-Negeri Selat.

Maka, dalam hal ini semua bangsa Eropah (Empayar British) berhutang' dengan bangsa Asia (bangsa Melayu, Cina dan India).

Mereka menjajah kita, memunggah bangsa dan warga kita ke pelosok dunia, tetapi tidak mahu mengambil tanggungjawab menghantar mereka semula pulang ke tanahair masing-masing.

Dalam konteks Malaysia

Di Malaysia, buruh-buruh Cina diletakkan di lombong bijih timah dan kaum India diletakkan di ladang. Sesetengah mereka kaya dan ada juga yang miskin oleh sebab dasar British ini.

Tapi, setelah British mengaut keuntungan, maka tidak pula British membawa pulang ke tanahair masing-masing. Kedudukan ini sama juga dengan Melayu Melaka dan Melayu Singapura yang masih wujud di Pulau Krismas dan Cocos di Australia itu. Orang Melayu tidak dihantar pulang ke Melaka dan Singapura, sebaliknya ditinggalkan di sana.

Hal inilah yang kita katakan tadi sebagai - hutang bangsa Eropah ke atas bangsa-bangsa Asia.

Maka setiap rusuhan kaum yang berlaku di Malaysia, Indonesia, Singapura ini ada kaitannya dengan kegiatan penjajahan British yang mesti dilunaskan Amerika, British, Yahudi dan Freemason dan lain-lain bangsa Eropah yang berkaitan.

Mutakhir ini dan pada masa-masa yang akan datang, masalah perkauman dan dendam ekoran rusuhan antara kaum akan lebih juga kuat mencengkam negara kita termasuk bangsa-bangsa Asia yang lain di negara-negara bekas jajahan Empayar British Eropah itu.

Maka, beban kesalahan daripada tiap-tiap rusuhan kaum yang berlaku di negara ini mesti dikaitkan juga dengan Empayar British Eropah tersebut. Hal seperti inilah yang kerap dilupakan oleh orang-orang kita.

Yang patut kita fikirkan sekarang ialah bagaimana kita mahu memaksa bangsa Eropah, khasnya Empayar British untuk lunas hutang lama mereka kepada kita; bangsa-bangsa Asia?

Empayar British itu kapitalis. Wajahnya adalah wajah kaum pemodal yang mengaut kekayaan hasil daripada penat lelah dan keringat peluh penderitaan kita; bangsa Asia di seluruh dunia!

Empayar British perlu bertanggungjawab atas rusuhan kaum

Sebenarnya, bukan hanya 13 Mei sahaja rusuhan kaum di negara ini. Sebelum itu lagi sudah wujud rusuhan kaum di Pangkor 1959, Bukit Mertajam 1964 dan rusuhan kaum di Singapura 1964, iaitu setahun sebelum Singapura dikeluarkan dari Malaysia.

Malah, orang-orang lama selalu berpendapat bahawa rusuhan kaum 13 Mei itu tidaklah seteruk bebanan yang berlaku di Batu Pahat yang menyaksikan kemaraan tentera Selempang Merah di bawah kepemimpinan Kiai Salleh.

Tetapi, kenapakah 13 Mei yang kerap dingati berbanding rusuhan kaum di Batu Pahat itu? Ini kerana, Umno sendiri sedar bahawa hal itu terkait dengan politik mereka sendiri jika dibandingkan dengan rusuhan di Batu Pahat itu.

Mutakhir ini, Utusan Malaysia termasuk Zainuddin Maidin (Zam)  menyeru agar Malaysia mencontohi Singapura yang meletak tarikh 21 Julai 1964 sebagai Hari Muhibbah Negara sebagai memperingati rusuhan kaum itu.

Asalnya, syor itu dibangunkan oleh kolumnis Zaini Hassan setelah kerajaan DAP Pulau Pinang menggantung Ketua Pembangkang, Azhar Ibrahim selama enam bulan kerana beliau mengeluarkan perkataan '13 Mei'.

Dan, hal ini makin menguatkan sangkaan kita bahawa 13 Mei itu lebih rapat dan akrab kerana kedudukan peristiwa itu yang jelas dengan kekecohan yang berlaku dalam parti politik di negara kita.

Lalu, Zam merumuskan bahawa tidak hairanlah orang yang terlibat dalam kempen Malaysian Malaysia ini menjadi punca timbulnya tragedi berdarah 13 Mei.

Kalau demikian, bagaimana pula dengan rusuhan kaum di Batu Pahat? Juga rusuhan kaum di lain tempat? Maka, hujah Zam tertolak di sini kerana melihat rusuhan itu berlaku mengikut kaca mata ahli parti yang sungguh sempit.

Hanya pandangan ahli akademik yang betul-betul telus dan jujur yang mampu menawarkan penyelesaian yang baik. Ahli politik ini kebanyakannya tidak jujur ketika mengeluarkan pendapatnya sendiri. Ia selalu dikaitkan dengan pergeseran seteru terhadap ahli politik lain yang menjadi musuhnya.

Kesimpulannya, rakyat kita mesti dipulihkan semula cara berfikirnya agar melihat rusuhan kaum di negara ini sebagai 'hutang bangsa Eropah ke atas bangsa Asia' dan bukannya menilai rusuhan kaum 13 Mei dan tragedi berdarah di Batu Pahat lewat sorotan kaca mata sempit daripada politikus kepartian murahan.

No comments: