Thursday, November 11, 2010

Khutbah Jumaat dilindungi Hak Cipta?

Oleh H FANSURI

Suatu hal yang menarik perhatian ketika menghadiri kolokium di Pagoh, Johor pada 7 November lalu ialah hal kedudukan khutbah Jumaat yang dilindungi oleh akta hak cipta.

Acara itu berlangsung di Kolej Komuniti Pagoh, Muar dan ia itu disentuh sedikit oleh Timbalan Presiden Persatuan Penulis Nasional (Pena) Amiruddin Md Ali Hanafiah, merangkap Ketua 1 Persatuan Penulis Johor (PPJ).

Dengan kedudukannya sebagai Pengerusi Biro Hal Ehwal Penulis Pena, maka beberapa syor turut dikembangkan beliau. Sekurang-kurangnya, ada tujuh atau lapan syor yang beliau sebut dalam ucaptamanya.

"Mengikut Seksyen 3, Akta Hak Cipta 1987, menyatakan bahawa karya sastera itu termasuk novel, cerita, buku, risalah, manuskrip, karya syair dan penulisan lainnya.

"Selain itu, dalam akta ini juga menyatakan syarahan, ucapan, khutbah dan karya-karya yang lain sama sifatnya sebagai karya sastera. Malah surat, laporan, memorandum, karangan dan artikel juga termuat dalam akta ini," kata beliau.

Maka, dalam hal ini, Amiruddin menyimpulkan bahawa karya sastera itu bukan bermaksud karya yang mempunyai nilai kesusasteraan sebagaimana yang difahami ramai penulis ketika ini seperti puisi, cerpen, novel dan drama.

Menyentuh kedudukan khutbah dan syarahan yang turut dilindungi akta hak cipta, beliau berkata, berkemungkinan imam dan khatib ini boleh dilibatkan sama dalam kursus berhubung akta hak cipta ini.

Selain itu, Amiruddin turut menyarankan para penulis remaja, murid sekolah agar membuat salinan karya dengan meletakkan nama, mencatat tarikh pada karya dan kemudiannya menjilidkannya dan menyerahkannya kepada pustaka sekolah.

Beliau turut mengesyorkan agar diwujudkan Sekretariat Pendaftaran Hak Cipta Penulis melalui kementerian yang berkaitan dengan hak cipta, juga penulis digalakkan untuk mewujudkan mewujudkan Penama, Pemegang Amanah atau Pewaris kepada pemunya hak cipta, serta mewujudkan terus Badan Penguatkuasaan Hak Cipta Penulis di Perbadanan Harta Intelek Malaysia.

Menyentuh persoalan kewujudan tribunal hak cipta, kata Amiruddin, "... perlu ada pertemuan dengan badan penulis tanah air dan penerbit bagi memperjelas fungsi tribunal ini agar diketahui oleh penulis..."

Akhirnya, beliau turut mencadangkan kewujudan Skim Pelesenan Hak Cipta Penulis dan menubuhkan Badan Hak Cipta Penulis yang berfungsi sebagai sebuah badan yang akan membantu para penulis memungut bayaran daripada penerbit karya mereka.

Acara itu turut membariskan tiga pembentang kolokium; Puan Siti Salwa dari Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MYIPO), peguam yang juga pengarang novel sepenuh masa Nisah Haron dan Setiausaha Agung Pena S M Zakir.

Meninggalkan kesann kejiwaan, pesan rohani, mengasuh kemanusiaan, empati

Mengupas lanjut kedudukan karya yang dilindungi hak cipta itu, Siti Salwa menjelaskan bahawa antara karya itu adalah sastera, karya seni muzik, karya artistik (lukisan), filem, rakaman suara, bahan-bahan penyiaran dan karya derivatif.

"Bagaimanapun," kata Siti Salwa, "idea tidak dilindungi kerana jika kita berbuat sedemikian, ia akan menyekat idea-idea orang lain daripada terus berkembang."

Sementara itu, Nisah Haron turut mengirim tips pesanan kepada penulis muda agar tidak menyiarkan puisi-puisi mereka di blog dan laman sosial Facebook terlebih dahulu jika mahu mengirim karya puisi, sajak yang sama ke akhbar dan majalah.

"Akhbar dan majalah ada hak eksklusif. Jadi anda boleh siarkan semula karya anda selepas akhbar dan majalah sudah siarkannya.

"Setiap puisi yang disiar di blog peribadi sudah dianggap tersiar apabila dibaca 2 atau lebih pengunjung," kata Nisah. "Jadi, kalau tersiar puisi di akhbar hari ini, maka kita boleh 'set' blog kita bahawa pada jam 12 malam ini, puisi kita itu bolehlah disiar dalam blog kita untuk dibaca orang pada keesokannya."

Salah satu hal yang baru saya kesan ialah pergolakan dan perang halus antara pihak pentadbiran akhbar dan majalah atas nilai sajak dan puisi. Contohnya, ada rungutan di peringkat Human Resources tentang kadar bayaran puisi yang mahu dibanding dengan panjang pendek berita.

Ada juga rungutan di pihak pengurusan kerap mempertikai kenapa karya itu dibayar tidak ikut ukuran panjang dan pendek. Untuk menjawab persoalan ini, maka hendaklah dilihat terhadap keupayaan dan mutu sajak atau karya itu dalam meninggalkan kesan ke atas para pembacanya. Mutu sesebuah sajak dan karya cerpen itu mampu menawarkan empati, mengasuh dan mengasah perasaan belas kasihan sekali gus mendidik para pembacanya agar lebih berjiwa manusiawi.

Oleh sebab itu, panjang pendek sajak itu bukan lagi ukurannya. Yang penting, penggubah puisi itu dibayar kerana mutu dan juga penghayatan yang diterima oleh ramai pihak ke atas makna yang tersimpan di sebalik sesebuah karya sajak itu. Ia tentu sahaja memerlukan tenaga untuk berfikir.

"Bukan mudah menggubah dan menyusun puisi Haiku Jepun," kata Nisah lagi. "Walaupun ia tiga rangkap tapi ia memerlukan fikiran mendalam."

Badan penulis bertemu wakil kementerian, bincang hal Komsas

Bagaimanapun, akhirnya berlaku hal yang tidak dijangka apabila Setiausaha Agung Pena bangkit menyatakan secara terus-terang berhubung hal-ehwal Komponen Sastera (Komsas) yang terkait dengan hak cipta.

Dan, secara kebetulan pula antara yang hadir itu adalah wakil kementerian Pelajaran. Maka, pada akhir kolokium dan sesi soal-jawab, beliau tampil memberi jaminan bahawa suatu pertemuan antara pihak kementerian dengan badan penulis akan diadakan bagi tujuan menilai semula segala hal-ehwal berkaitan Komsas itu.

Pegawai khas kementerian mengakui mereka perlukan pertemuan itu bertujuan mendapatkan gambaran keseluruhan terhadap hal-hal yang yang mereka sendiri kurang jelas selama ini.

Perjalanan wacana mengenai isu hak cipta ini telah menelan masa yang amat panjang hingga ada kalangan penulis yang tidak tahu tentang bagaimanakah caranya untuk mendapatkan kembali hak-hak mereka, yang bukan sahaja terkait dengan royalti, tetapi juga persoalan mengenai karya-karya mereka yang diperlakukan dengan cara yang tidak bertanggungjawab.

Misalnya, ada penulis yang bangkit bertanyakan soalan berhubung novelnya yang diciplak, diubah sedikit watak dan nama tempat dan beliau akhirnya pasrah lalu menerima keadaan itu kerana tidak tahu cara bagaimana mahu berjuang untuk kembali mendapatkan hak beliau itu.

Bagaimanapun, saya lebih gembira mendengar kisah khutbah Jumaat yang dilindungi Akta Hak Cipta, kalau kita dapat fikir lebih jauh untuk memajukan Pustaka Masjid, maka bayangkan sudah berapa jilid khutbah Jumaat dan syarahan agama yang boleh dicetak?

Cuma imam, khatib sahaja yang tidak memandang khutbahnya boleh dijilidkan menjadi himpunan khutbah Jumaat untuk diedarkan di pasaran sebagai suatu alat kesenian dakwah yang baharu.

No comments: