Oleh H FANSURI
Orang-orang Umno ada yang bertanya dan mengasak kita semua dengan berkata-Tuhan menyayangi Dr Mahathir, sebab itu beliau dikurniakan usia panjang dan kesihatan stamina yang baik.
Orang-orang Umno ada yang bertanya dan mengasak kita semua dengan berkata-Tuhan menyayangi Dr Mahathir, sebab itu beliau dikurniakan usia panjang dan kesihatan stamina yang baik.
Bagi menjawab hal ini, tidak mudah sebab kita bukan malaikat dan bukan Tuhan. Daripada faktor usia, Tun Dr Mahathir sepatutnya wajib sudah meninggalkan kita semua. Titik! Tak perlu berhujah!
Tetapi, beliau masih dikurniakan masa. Salah satu teori kenapa usia beliau panjang ialah beliau sedang diperlihat dengan segala kemusnahan yang sudah beliau cipta dalam 20 tahun lebih pemerintahannya.
Dengan sakit jangkitan kuman, jantung dan sebagainya, dirawat jantung ke sana-sini, maka secara lojik akal fikir, beliau sudah boleh kembali ke rahmatullah. Tetapi, ternyata dia masih diberi peluang.
Apakah yang sedang dirancang oleh Tuhan ke atas Dr Mahathir? Tiada siapa yang tahu. Kita ini berhak menebak dan meneka-neka, berijtihad. Kalau salah ijtihad, beroleh satu pahala dan kesilapan menebak, dan meneka-neka dalam berijtihad itu akan diampunkan Tuhan.
Sebelum itu, izinkan kita jawab dakwaan sesetengah orang yang melihat bahawa Dr Mahathir itu masih relevan dengan sebab kekuatan kritikannya dalam siri rentapan bersama Abdullah – Khairy suatu ketika dahulu. Tetapi, hujah itu tertolak kini. Kenapa tertolak?
Ternyata kepada kita, Dr Mahathir menolak gabungan Abdullah-Khairy kerana beliau memang asalnya memang tidak mahukan Abdullah, tetapi lebih memihak kepada Najib Razak sebagai Perdana Menteri.
Maka, teguran Dr Mahathir terhadap Abdullah – Khairy itu bukan dikeranakan sifat sebagai negarawan tetapi kerana memang sejak awal-awal lagi beliau tidak sukakan Abdullah. Khairy hanya menjadi suatu faktor penambah kuat yang semakin mengejapkan hujah Dr Mahathir bahawa Abdullah perlu ditolak.
Berani sanggah Abdullah – Khairy, tapi takut gabungan Najib – Rosmah?
Tiada bezanya gabungan Najib – Rosmah dengan Abdullah – Khairy ini. Tapi, kenapakah Dr Mahathir tidak bersuara? Ini mungkin kerana Dr Mahathir sudah malu alah dengan Najib yang dipilihnya itu.
Jadi, Dr Mahathir tidak lagi diperlukan kini jika hujah orang Umno dahulu menyatakan bahawa beliau diperlukan bagi tujuan mengusir sekali gus menjatuhkan gabungan Abdullah – Khairy sebelum ini.
Abdullah–Khairy dan Najib–Rosmah tiada bezanya. Jadi, dalam hal Najib–Rosmah ini, Dr Mahathir itu bagaikan melukut di tepi gantang. Ada tidak menambah, kalau tiada sekali pun, tiada mengurang.
Malah, kadangkala lebih mengundang masalah. Contohnya dalam hal kebebasan akhbar, dia masih juga setia mengekalkan pandangan lapuknya, malah kini timbul pula idea baharu–perlu ada pilihan raya juga untuk memilih editor akhbar!
Antara masalah lain jika Dr Mahathir masih hidup, ialah Umno takut memansuhkan PPSMI. Jika Dr M sudah tiada, maka barangkali keputusan menamatkan PPSMI itu menjadi semakin mudah.
PPSMI yang dirumuskan Dr Mahathir itu menyebabkan tiada seorang pun dalam kalangan Umno yang berani turun padang berdemonstrasi untuk mengubah PPSMI ini. Yang ada hanyalah yang bersuara saja dan gelagat ini tidak ubah seperti Muhyiddin Yassin dan menteri-menteri lain yang gamat bertempik di atas pentas puisi guna menghalau Israel di Palestin.
Dr Mahathir pernah mengesyorkan penggunaan dinar emas. Tapi beliau sendiri tidak menggunanya saat Kelantan sudah meneroka jalan-jalan menuju ke arah penggunaannya.
Sekali peristiwa, Dr Mahathir pernah cadangkan supaya Dollar Amerika tidak diniagakan. Tapi, adakah saranan seperti itu disumbat masuk dalam pengetahuan Najib – Rosmah? Tidak, malah peruntukan duit belanjawan seluar dalam itu ternyata cenderung lebih memihak kepada Rosmah dan Dr Mahathir cuma bungkam diam berputih mata! Jadi, untuk apa Dr Mahathir hidup untuk menonton ini semua?
Menunggu kehancuran Wawasan 2020
Kalau hari ini ditanyakan kepada kita semua, masihkah kita ingat Misi 2057, mungkin masih ada orang yang ingat bahawa hal ini terkait dengan angan-angan Abdullah Ahmad Badawi.
Tapi, apa sudah jadi dengan Misi 2057? Hilang lenyap sama seperti seruan Islam Hadhari. Orang sudah tidak menyebut Misi 2057 itu. Jikalau kita sebut Misi 2057, orang akan bertanya kita kembali, apa Misi 2057 itu. Orang sudah lupa dengan gagasan longgar.
Tapi, tidak seperti Wawasan 2020, orang masih mengingatinya kerana tempoh pentadbiran beliau yang lama. Dan di sinilah masalah yang akan menimpa Dr Mahathir dalam tempoh 10 tahun akan datang. Di sinilah agaknya, kenapakah usia Dr Mahathir masih panjang.
Dr Mahathir mungkin akan dilanjutkan usianya hingga 2020 untuk melihat kegagalan Wawasan 2020. Kini, Dr Mahathir punya masa 10 tahun untuk melihat kegagalan wawasan beliau itu.
Beliau yang lahir pada tanggal 1925, kini berusia 85 tahun. Dalam 10 tahun akan datang, beliau berusia 95 tahun, dengan usia yang mungkin masih juga sihat tetapi agak lebih kerap juga menerima rawatan.
Mengenangkan ini semua saya teringatkan kisah seorang lelaki jahat pada zaman Rasulullah s.a.w yang dikurniakan usia yang sangat panjang. Tetapi, usia panjang itu terisi dengan pelbagai azab sengsara.
Dia akhirnya kerap mengganggu anak gadis di tepian jalan lalu mereka memaki hamunnya. Apabila dia ditanya mengenai keadaannya, maka dia berkata, bahawa dia sudah terkena azab oleh sebab makbulnya doa salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w yang pernah dizaliminya ketika usia muda dahulu.
Apakah Dr Mahathir hanya perlu menunggu tempoh 10 tahun lagi, untuk melihat Wawasan 2020 yang pincang, hajat yang tidak kesampaian agar semua ahli masyarakat kita akan mentertawakan kegagalan beliau itu? Dan, saat itu tentu sahaja beliau sudah cukup lemah untuk menepis setiap serangan kita.
Apakah beliau juga dipanjangkan usia untuk melihat kejatuhan Umno di depan matanya sendiri? Beliau masih boleh bertaubat dan meminta maaf dalam tempoh 10 tahun ini dengan cara berkempen menolak Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dan berjuang memansuhkan ISA sebelum Wawasan 2020.
Segalanya terserah buat Dr Mahathir. Tepuk dada, tanya iman, tepuk akal fikir, bertanyalah kepada akal rasa!
No comments:
Post a Comment