Thursday, November 11, 2010

AMCP: Siapa kawal muka depan akhbar?

Oleh H FANSURI

Sememangnya masalah dalam parti-parti pengimbang ada di mana-mana. Hal yang sama turut berlaku dalam parti pemerintah Umno. Ini bukan luarbiasa. Namun, jika tiba-tiba hampir kesemua akhbar menyiarkan secara serentak tajuk muka depan dengan mauduk sama, ia mengundang keluarbiasaan.

Tidak mungkin editor yang sama dan akan berbincang bersama editor akhbar lain. Mereka akan bersaing untuk mendapatkan sesuatu yang eksklusif.

Kisah peristiwa berdarah di Memali pada 19 November 1985 adalah antara hal yang kerap menjadi tajuk bualan sesetengah orang berhubung hal ini.

Peristiwa ini mengorbankan 18 orang dan puluhan lain tercedera termasuk melibatkan ratusan orang tahanan. Mereka yang ditahan kemudiannya dibebaskan kecuali 36 orang. Dalam peristiwa ini, Ibrahim Mahmud (Ibrahim Libya) terkorban. Operasi ini digelar 'Operasi Angkara / Operasi Hapus'.

Hal ini terjadi ketika Musa Hitam menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri dan pada yang sama Dr Mahathir Mohamad adalah Perdana Menteri dan berada di China.

Pendedahan seorang pensyarah

"Pada ketika isu Memali ini, editorial akhbar arus perdana dipanggil dan diberikan taklimat," kata seorang pensyarah jurusan kewartawanan ketika saya berkuliah.

"Mereka kemudian diberi satu laporan dan dimuatkan di muka depan akhbar, lalu laporan di laman muka depan adalah lebih kurang sama keesokannya."

Kalau dakwaan beliau ini boleh dipertanggungjawabkan, maka siasatan perlulah bermula dengan penyunting akhbar yang menentukan wajah berita muka depan. Ini kerana, kerap juga disebutkan bahawa, kononnya ada wakil KDN yang memantau perkembangan berita arus perdana.

Adakah pemilihan berita muka depan itu berlaku dengan arahan daripada pihak atasan; kementerian, KDN atau pun hal itu memang berlaku atas kerelaan akhbar itu sendiri?

Pertanyaan ini masih juga kekal berlegar sebagai sebuah andaian dan spekulasi dan misteri yang tidak terungkap. Bagaimanapun, yang pernah saya dengar daripada Karam Singh Walia, memang ada 'SB' di tempat beliau bekerja.

"Kalau saya mahu ke Semenyih, maka saya akan tulis di papan kenyataan itu bahawa saya akan ke suatu tempat lain," kata beliau dalam suatu ceramah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) tidak lama dahulu.

Hal ini kerana, menurutnya, akan ada seseorang (mungkin rakan sekerja) yang bertindak sebagai mata-mata, pemantau kegiatannya yang akan memberitahu pihak luar berhubung tempat beliau mahu mengadakan liputan selama ini.

"Akhirnya kita mahu percayakan siapa?" soal beliau semula. "Kita tidak boleh percaya kepada sesiapa pun, melainkan Tuhan."

Tentu sahaja Tuhan layak dipercayai kerana Tuhan tiada apa-apa kepentingan melainkan kepentingan menzahirkan kebenaran.

Pendirian Kovach dan Rosenstiel

Apakah sebabnya kewartawanan kita dikekang oleh lembaga kerajaan? Hal ini berpunca daripada sikap mendefinisikan kewartawanan itu sendiri.

"Setiap generasi menciptakan (takrif) jurnalismenya sendiri," kata Bill Kovach dan Tom Rosenstiel dalam karya terbaik mereka, The Elements of Journalism, What Newspeople Should Know and the Public Should Expect.

Demikian akhirnya kita terpaksa berkiblat kepada Amerika juga dalam hal ini. Kajian kedua-dua tokoh ini terkait dengan amalan pemberitaan dan tujuan akhir kewartawanan itu.

Namun, akhirnya mereka akan mendapati bahawa tujuan kewartawanan itu, tetap sama. Sekali pun wartawan tidak suka mentakrifkan kedudukan kewartawanan mereka, namun kebanyakan mereka setuju dengan matlamat akhir daripada amalan kewartawanan itu; memberi ruang kepada semua orang yang mahu mendapatkan maklumat.

Sejak 1997, Kovach dan Rosenstiel menjejak pendapat-pendapat dalam kalangan warga wartawan menenai hal ini. Rumusan daripada jejak-jejak pendapat itu berbunyi:-

"Tujuan utama kewartawanan adalah menyampaikan kebenaran sehingga orang-orang akan mempunyai maklumat yang mereka mahukan untuk berkuasa."

Kata-kata ini datang daripada Jack Fuller, seorang penulis, novelis, pengacara, dan presiden Tribune Publishing Company yang menerbitkan harian Chicago Tribunes dalam suatu forum anjuran Committee of Concerned Journalists (CCJ) pada 6 November, 1977 di Chicago.

Namun, tambah Kovach dan Rosenstiel, bagi mereka yang keberatan menerima kedudukan mereka sebagai wartawan, misalnya yang bekerja dengan halaman berita internet, turut bersetuju dengan tujuan dan matlamat akhir daripada tugas kewartawanan itu.

Sementara itu, Omar Wasow pendiri tapak berita maya; New York Online, melahirkan pendapatnya pada 2 Februari, 1998 di suatu forum anjuran CCJ di Ann Arbor, Michigan bahawa - sebahagian besar daripada tugasnya adalah untuk...

"...membantu melahirkan masyarakat yang 'mengguna berita, pembaca yang sangat berminat, dan boleh membuktikan kepalsuan media ... melahirkan segolongan khalayak yang terikat dengan suatu barangan lalu mereka dapat memeriksa dan menyemak barangan itu dengan berhati-hati."

Maka, dalam keadaan akhbar di Malaysia yang masih terikat dengan rantai belenggu Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP), kita belum boleh dibenarkan bebas sepenuhnya dengan monopoli penguasaan maklumat. Usaha-usaha untuk menguasai maklumat masih lagi dilihat sebagai suatu kegiatan haram atau pun setidak-tidaknya, ia masih dianaktirikan.

Penyiaran laporan agar Anwar dan Azmin berundur, walaupun boleh dinilai sebagai suatu yang benar bagi sesetengah pihak, tapi ia tetap menimbulkan keraguan di sebalik pertanyaan lain, iaitu...

"Adakah akhbar-akhbar arus perdana di negara ini diseru perintah dan disuruh menyiarkan laporan ini serentak dalam masa yang sama?"

No comments: