Wednesday, December 29, 2010

Mampukah AMCP, penggantungan MP melawan kebocoran Wikileaks?

Oleh H FANSURI

Mulut tempayan boleh ditutup, tetapi mulut manusia bagaimanakah mahu menutupnya. Sukarlah untuk Umno mengakui bahawa dalam zaman hari ini, maklumat sukar dan sulit sekali dipenjarakan.

Memenjarakan maklumat itu, adalah sikap terkebelakang. Pendedahan Apco itu, cepat atau pun lambat, ia pasti akan terburai juga akhirnya. Wikileaks pula bagaikan sebuah empangan gergasi yang telah pun pecah lalu terburai segala khazanah berharga.

Kalau empangan di selatan Thai membawa kebanjiran di Perlis dan Kedah, tetapi empangan maklumat  Wikileaks pula mengirim kemusnahan buat manusia-manusia politik. Ada yang akan mati lemas akibat terpecahnya empangan maklumat Wikileaks ini.

Maka, dengan tiba-tiba, kerajaan bertindak pantas menggantung ahli-ahli parlimen pengimbang kerana khuatir dan bimbangkan pendedahan berhubung isu Apco itu akan melemaskan mereka.

Sama ada empangan maklumat Wikileaks akan menyiarkan laporan yang benar atau tidak, maka hal itu boleh disemak semula, disiasat dan dibawa ke muka pengadilan.

Terbaru, dengan limpahan maklumat Wikileaks, tersiar kisah bekas Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi yang dilaporkan mengetahui bahawa salah seorang menterinya merogol amahnya, berwarga Indonesia. Peristiwa itu berlaku di Kuala Lumpur pada tahun 2007.

Tetapi, tiada sebarang tindakan undang-undang diambil. Menteri itu hanya digugurkan jawatan sebagai menteri apabila berlaku rombakan kabinet.

Menurut laporan pada Julai 2007, amah itu yang ditemubual di kampungnya di Jawa Tengah, Indonesia telah membuat pengakuan bahawa dirinya diperkosa menteri berkenaan.

Laporan itu kemudiannya telah dihantar kepada kedutaan Amerika, Indonesia dan juga kepada pejabat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Gangguan AMCP

Tapi, laporan seperti ini tidak boleh disiarkan dengan sebab Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) yang mungkin dapat bertindak menghalang laporan berkenaan.

Maka, dengan pendedahan Wikileaks yang terbocor ini, setidak-tidaknya akhbar di Malaysia bolehlah menyandarkan rujukan dan sandaran maklumat mereka kepada Wikileaks itu.

Kebocoran empangan maklumat Wikileaks ini pada mulanya 'menggembirakan' Umno kerana ia boleh digunakan untuk menyerang Anwar dengan laporan risikan Singapura. Namun, dengan tiba-tiba, Mohd Najib menjadi pasif dan takut-takut setelah mendengar Singapura mengecam kepemimpinannya.

Bercakap di Melaka, tidak lama sejurus pendedahan kenyataan pemimpin Singapura ekoran kebocoran Wikileaks itu, Mohd Najib meminta supaya rakyat tidak mempercayai laporan tersebut.

Maka, kenyataan musuh pemimpin PAP Singapura tetap Umno gunakan untuk menyelar pembangkang di negara ini, tetapi bersikap defensif, pasif dan takut-takut apabila bersendirian melawan Singapura.

Lambat atau cepat, rakyat akan menyedari betapa pemimpin Umno, khasnya Mohd Najib sangat takut apabila berdepan dengan pemimpin dari negara luar, khasnya negara jiran tetangga mereka; Singapura.

Penggantungan - parlimen legislatif bertindak seperti kerajaan eksekutif

Akhir sekali, setelah kerajaan (kuasa eksekutif) gagal menyekat arus kebocoran Wikileaks dengan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, maka hari ini tercipta sejarah baharu yang mesti diingat oleh rakyat kita.

Iaitu, demokrasi sudah mati berkubur, tidak lagi berkembang subur di Malaysia ketika parlimen (kuasa legislatif) mula bersikap seperti kerajaan (eksekutif) dengan menyekat penyertaan suara pengimbang.

Penggantungan ini adalah lambang bagaimana orang-orang di pihak eksekutif (kerajaan) telah bersikap memperalatkan gedung parlimen (legislatif) untuk melemahkan ruh, jiwa dan semangat demokrasi.

Presiden PAS Haji Abdul Hadi Awang menyifatkan pergantungan ini adalah tragedi demokrasi di Malaysia.

“Malah di zaman Rasulullah SAW sudah adanya pemisahan kuasa antara eksekutif, legaslatif dan kehakiman.

“Apabila suatu peristiwa yang melibatkan Rasulullah SAW sendiri, penyelesaian kes masih diserahkan kepada hakim untuk dibicarakan dengan adil, walaupun Rasulullah SAW adalah pemimpin ulung ummah,” kata beliau.

Demikianlah. Setelah kuasa kehakiman dirobohkan dengan pemecatan Tun Salleh Abbas, kini eksekutif yang memperalat AMCP sebelum ini mula mempengaruhi legislatif (parlimen) bagi menggantung ahli-ahli Dewan Rakyat yang diberikan mandat oleh rakyat melalui jalan demokrasi.

No comments: