Thursday, December 30, 2010

Siapa pengganti Pandikar Amin jika rakyat membuangnya?

Oleh H FANSURI

Umno bersyukur kerana rakyat tidak bertindak walau ada dua kejadian melibatkan speaker Parlimen dan Dun Perak. Sebelum ini, walaupun Umno merempuh masuk, merampas speaker Pakatan Rakyat, rakyat masih belum membakar gedung bangunan di Putrajaya.

Rakyat masih bersabar, terpinga-pinga, tergamam kebingungan. Hari ini, selepas Umno menceroboh wilayah kehormatan Dun Perak, maka speaker Parlimen Pandikar Amin Mulia sudah menggantung ahli parlimen PR. Ya, rakyat masih baik hati dan berdiam diri.

Walaupun umat yang memberi mandat itu, tapi setelah Umno memijak-mijak mandat rakyat, rakyat kekal setia jua dengan penguasa. Hal inilah yang sangat disukai Umno. Rakyat terus berdiam, tidak bangun melawan penindasan, tiada akan masuk menceroboh Dewan Rakyat untuk membuang speaker Pandikar Amin itu secara kekerasan.

Jawatankuasa 'Kangaroo'?

Segala-galanya ini mungkin sudah lama dirancang. Mohamed Nazri Aziz tahu bahawa mahkamah tidak boleh menceroboh kuasa legislatif. Semuanya sudah pun diteliti dan ditelaah sebaiknya dengan bantuan pakar perundangan yang memihak kepada Umno.

{Tetapi, Mohamed Nazri silap langkah lagi apabila beliau terlupa bahawa speaker boleh dicabar setelah Mahkamah Persekutuan melihat keputusan speaker Perak menggantung exco Umno itu boleh dicabar.}

Yang ingin kita sampaikan di sini ialah, demi mendapatkan kuasa maka Umno akan berterusan mencari segala helah untuk menjerat musuhnya. Tetapi helah syaitan ini memang lemah sebagai yang disebut di dalam Al-Quran sendiri. Hanya kita perlu bersabar mendepani segalanya.

Maka, segala dakwaan sudah tercurah di corong radio, televisyen juga tetuang udara. Bahawa pasukan pengimbang sebenarnya menghina Parlimen dengan tindakan demonstrasi baru-baru ini.

Tapi, sebab yang membawa 'penghinaan' itu tidak dipedulikan Umno. Ia layak dihina kerana speaker Umno tidak diganggu gugat walau telah menyekat penyertaan suara umat.

Menyekat atau setepatnya menggantung suara ahli Dewan Rakyat itu bererti menyekat suara rakyat dan apakah yang terlebih hina darjatnya berbanding tindakan seperti itu?

Bagaimana kalau mahkamah persekutuan menolak?

Nampaknya, 'industri dan perusahaan kehakiman' yang dikuasai Umno memberikan 'hak' kepada Umno untuk menceroboh Dun Perak sehingga speaker Pakatan Rakyat boleh diheret keluar.

Untuk insan yang masih berharap bahawa Mahkamah Persekutuan akan memihak kepada rakyat, maka jangan lupa bahawa ada kemungkinan kehakiman akan memihak kepada Pandikar Amin.

Ruang Umno terbuka luas. Dengan helah muslihat, kita mesti membuat sangkaan bahawa kemungkinan mahkamah akan mengesahkan pula tindakan Pandikar Amin.

Kalaulah Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abbas pun boleh dipecat pada 1988, maka apakah yang akan menghalang Umno untuk kembali melakukan hal yang sama nanti?

Pokoknya, rakyat harus berjaga-jaga. Tindakan mengheret keputusan Pandikar Amin ke mahkamah ini, bukan tidak boleh dilaksanakan. Tetapi, mesti ada tindakan lain juga memandangkan Umno ini terkenal dengan ketidakjujurannya. Demonstrasi mesti dilaksanakan jika perlu.

Beza tindakan speaker Parlimen dan speaker Dun Perak

Jika mahkamah mengesahkan hal menggantung ahli parlimen itu atau enggan campur hal-ehwal Dewan Rakyat, maka keputusan mahkamah sebelum ini ke atas tindakan speaker Dun Perak itu terbatal.

Maka ada kemungkinan besar rakyat akan berdemonstrasi mengepung Parlimen, merempuh masuk lalu melempar keluar speaker dari Dewan Rakyat kerana keputusan mahkamah yang berat sebelah.

Sebahagian demonstran, mungkin berarak menghantar memorandum ke Istana Negara, menuntut Yang Dipertuan Agong melucutkan jawatan Pandikar Amin itu.

Segala-galanya boleh berlaku secara tidak terduga. Ini kerana isu menggantung ahli parlimen ini adalah isu demokrasi yang melibatkan penyertaan suara ramai. Apatah lagi ia terkait dengan isu Apco Israel.

Rakyat tahu dan umat sedar. Walaupun tindakan speaker Parlimen dan speaker Dun Perak itu sama, tapi nawaitu menggantung ahli dewan itu berbeza.

Speaker Dun Perak menggantung exco Umno ini bertepatan dengan hajat rakyat yang sedar bahawa PR Perak cuba dijatuhkan Umno dengan cara membeli ahli-ahli Dun PR Perak itu sendiri.

Maka, tindakan speaker Dun PR Perak menggantung ini bagaikan tindakan wanita yang terpaksa membunuh seorang lelaki yang mahu menceroboh kehormatannya. Kesalahan ini bersebab dan sebabnya boleh diterima dengan alasan mahu mempertahan diri.

Wanita itu terpaksa membunuh kerana beliau diserang. Jadi tindakan speaker Dun Perak itu selaras dengan hasrat rakyat Perak yang mahu menegakkan demokrasi di Perak.

Tapi, sikap speaker seorang lagi itu bagaikan sikap pembunuh upahan yang membunuh wanita Mongolia gara-gara mengemis komisen kapal selam dari Perancis. Pembunuhan (penggantungan) ini bertujuan menutup kesalahan (1) meniduri wanita itu (jika ada); (2) enggan bayar komisen; (3) dan lain-lain hal.

Ya, begitulah beza penggantungan antara kedua-duanya. Dua sikap yang sama cuma tujuannya berbeza. Rakyat makin bijak menilai. Tinggal lagi, rakyat kini sedang mencongak, menduga keberanian, apakah mereka dapat membuang speaker Parlimen itu secara kekerasan sebagai mana yang berlaku di Perak itu?

No comments: