Tuesday, January 04, 2011

Interlok, bercakap mengenai realiti kehidupan gelap bukanlah penghinaan

Oleh H FANSURI

Pening kepala kita melihat gelagat MIC. Tersiar di Bernama pada 29 Disember tahun lalu mengenai hal hasrat badan pertubuhan MIC itu yang meminta dibuat perubahan ke atas kandungan novel 'Interlok'.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa Murugiah telah megaturkan pertemuan dengan beberapa pegawai DBP lalu tersiar laporan berita menyatakan bahawa novel tersebut akan ditarik balik daripada menjadi bahan kajian sastera tingkatan lima.

Tiba-tiba, dengar cerita, syor menarik Interlok itu ditarik kembali berikutan wujudnya suara-suara yang halus menyanggah kenyataan Murugiah itu. Akhbar melaporkan daripada Murugiah, bahawa kononnya desas-desus berhubung bantahan ke atas novel Abdullah Hussain itu tersiar dalam sebuah akhbar Tamil.

Sampai sekarang, tidak jelas juga apakah nama akhbar Tamil tersebut, dan apakah nama persatuan yang membantah novel Interlok itu. Dan, akhirnya segala-segalanya menjadi rasmi setelah tersiarnya laporan berita di Bernama berhubung novel Interlok itu.

Timbalan Presiden MIC mula bersuara

Timbalan Presiden MIC S Subramaniam, kini dilaporkan akan memohon Menteri Pelajaran melakukan perubahan dalam kandungan novel Interlok', (buku teks sastera bagi sesi persekolahan 2011).

Tambah beliau, terdapat satu bahagian yang menyentuh isu sensitif dalam kalangan masyarakat India berkaitan sistem kasta. Demikian kata beliau selepas mengadakan perjumpaan bersama para pegawai Jabatan Pelajaran di seluruh negara pada akhir Disember tahun lalu.

Dalam laporan tersebut, Subramaniam akan menemui Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Pelajaran bersama satu surat cadangan kepada kementerian tersebut.

Terimalah kedudukan sejarah lalu

Setelah mengambil kira pandangan masyarakat India, Subramaniam berpendapat bahawa perkara yang dirakamkan dalam novel Interlok itu tidak memberi satu gambaran tepat mengenai keadaan dan fikiran masyarakat India pada masa sekarang.

"Oleh itu, saya takut bahawa jika tiada perubahan dibuat kepada kandungan yang ada di dalam buku itu, ia akan memberi satu pandangan salah kepada pelajar yang akan menggunakan buku itu.

"Ia akan diajar kepada semua pelajar tanpa mengira bangsa... ini akan mengurangkan pemahaman mereka tentang apa yang sebenarnya berlaku di kalangan masyarakat India pada masa sekarang.

"Jika ini dibiarkan ia juga akan mewujudkan satu perasaan 'pahit' di kalangan masyarakat India,"
kata beliau, seperti yang dipetik Bernama.

Novel Interlok itu secara kasarnya memaparkan tema mengenai integrasi tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India seawal tahun 1900-an sehingga merdeka.

Merujuk kenyataan Subramaniam, masyarakat India di negara ini tidak suka gambaran sejarah mereka itu dinyatakan secara meluas dalam pelajaran sastera. Apatah lagi, ia terkait dengan amalan kasta yang menurut beliau sudah bersalahan dengan cara fikiran masyarakat India pada hari ini.

Untuk makluman beliau, sejarah itu merakam kisah baik buruk semua bangsa - Melayu, Cina dan India. Kita tidak boleh bersikap berat sebelah, iaitu hanya mahu membaca yang baik dan tidak membaca yang buruk. Sejarah itu jendela kehidupan yang akan bercerita perkara gelap dan cerah pada masa silam.

Apakah rakaman perjuangan kita hari ini yang bakal ditinggalkan untuk generasi masa depan akan baik sahaja? Najib Razak pun tidak suka jika kita bangkitkan semua kisah ayah beliau; Abdul Razak.

Yang ada, hanya cerita-cerita baik sahaja. Tapi, tetap ada juga kisah gelap Abdul Razak yang tersingkap apabila sesekali orang-orang lama bercerita mengenai Perdana Menteri kedua itu.

Kisah-kisah model wanita Mongolia hari ini, walaupun Najib mahu pendamkan, sejauh mana sangatlah beliau dapat hapuskan. Kelak, selepas ketiadaan beliau, kes-kes ini akan terus berkumandang juga.

Kisah gelap bangsawan Melayu ada juga sisi gelap dan cerahnya

Suka atau tidak, Sulalatus Salatin telah meriwayatkan kisah gelap pembunuhan Hang Nadim dalam kes Singapura dilanggar ikan todak. Orang-orang Melayu menyelami kisah gelap Sultan Mahmud Mangkat Dijulang kerana membunuh isteri Laksamana Megat Seri Rama.

Orang-orang Melayu masih juga membaca Sulalatus Salatin sebagai teks sastera klasik itu lalu mereka menerimanya dengan dada terbuka dan berlapang dada. Hatta Raja-Raja Melayu pun masih juga tidak mengharamkan Sulalatus Salatin daripada dibacakan kepada orang-orang Melayu.

Kedudukan rakyat sebagai hamba dan raja sebagai tuan itu juga sudah tidak mirip dengan cara berfikir Melayu zaman sekarang. Jadi, kenapakah Subramaniam mahu meminda isi kandungan Interlok hanya dengan alasan bahawa, corak kehidupan masyarakat India pada zaman lalu sudah berbeza dengan corak gaya kehidupan dan pemikiran masyarakat India pada hari ini.

Tidak salah menyiarkan kisah yang benar walaupun kenangan itu pahit. Suka atau tidak, amalan kasta memang wujud dalam bangsa India pada zaman dahulu walaupun amalan itu terhapus pada zaman kini.

Suka atau tidak, hakikat bangsawan Melayu itu kejam, bengis dan menindas rakyatnya pernah tercatat di dalam sejarah. Juga, sejarah Cina turut meriwayatkan peperangan demi peperangan dan penindasan ke atas rakyat Cina itu sendiri.

Hakikat ini jangan dipadam dan jangan dipendam, ia renungan kita bersama. Jangan diminta pendapat Najib Razak dan Muhyiddin Yassin kerana mereka tentu akan memendam kisah gelap mereka sendiri.

Jangan ditanya kepada Rosmah mengenai hakikat kekejaman pembunuhan wanita Mongolia. Ini kerana hanya kisah kejayaan Permata Negara sahajalah yang mahu disebarkannya ke serata benua.

Bertanyalah dan minta pandangan kita semua rakyat Malaysia atas semangat dan iltizam 1Malaya.

No comments: