Tuesday, January 04, 2011

Najib Razak didesak berucap dalam bahasa Melayu di PBB

Oleh H FANSURI

Berucap dalam forum bertajuk 'Arah tuju bahasa dan sastera Melayu di era globalisasi' pada 1 Januari lalu, Prof Zainal Abidin Borhan daripada Gapena mencadangkan supaya Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak dan lain-lain pemimpin berucap dalam bahasa Melayu di PBB.

Asas kepada cadangan itu ialah supaya bahasa Melayu diangkat setaraf bahasa-bahasa lain di dunia di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu.

“Kita minta Najib berucap dalam bahasa Melayu di PBB itu dan biarlah penterjemah mengalihbahasa ucapan beliau itu ke dalam bahasa Inggeris,” kata beliau lagi.

Di samping itu, beliau turut menyentuh perihal kewujudan Napoleon kecil. Menurut beliau, Napoleon-Napoleon kecil inilah yang sepatutnya bertindak dalam batas lingkungan kuasa mereka.

Kisah Napoleon kecil

“Dalam pembangunan sastera, kita harus mencipta karekter, watak negara bangsa. Dan, para Napoleon kecil ini telah pun diberikan peluang sama ada mahu melaksanakan Peruntukan 152 ini atau pun tidak,”
katanya ketika menjelaskan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Di samping itu, tambahnya, antara tugas 'Napoleon kecil' yang lain adalah usaha bagi menguatkuasakan dasar bahasa dan lain-lain dasar mengenai bahasa kebangsaan.

“Segala dasar bahasa ini, walaupun tidak dibawa ke Parlimen. Tapi ia seperti Surat Pekeliling juga yang boleh dikuatkuasakan dan dilaksanakan dalam batasan kuasa mereka,” katanya yang pernah dipanggil pihak universiti untuk dihadapkan bawah Auku kerana terlibat dalam usaha memansuhkan PPSMI.

Beliau turut menjelaskan kehadiran dua jenis aliran ideologi yang terkait dengan dasar bahasa ini. Iaitu, hal yang terkait dengan 'Nationalisme Melayu' dan 'Pluralisme'.

Nationalisme Melayu adalah segala persoalan dasar-dasar kebangsaan yang hubungannya hadir dengan semangat kebangsaan Melayu. Sementara yang keduanya, adalah unsur 'Pluralisme', iaitu segala dasar yang hadir dengan sifat kebangsaan luar (bukan Melayu).

“Alhamdulillah, baru-baru ini ada pertemuan dalam kalangan ulamak lalu mereka memutuskan bahawa fahaman Pluralisme itu sebagai sesuatu yang tidak benar,”
katanya.

Kedudukan Malaysia sebagai Negara Pribumi

Sambil menjelaskan kedudukan negara bangsa ini serta hubungannya dengan segala dasar yang bersifat kebudayaan Melayu, beliau berkata, Malaysia ada keistimewaan tersendiri yang tidak boleh disamakan dengan sesetengah negara yang lain.

“Kita tidak boleh samakan Malaysia dengan negara-negara lain. Malaysia adalah negara pribumi yang tidak sama kedudukannya dengan negara pendatang Amerika Syarikat, Australia dan Singapura.

“Malaysia ini bukan negara pendatang, tetapi ia ada sejarahnya yang tersendiri di mana kita sudah pun membentuk ketamadunan dan kesultanannya sendiri,”
kata beliau lagi.

Sastera Melayu Singapura

Oleh kerana, Malaysia bukan negara pendatang seperti kedudukan Amerika, Australia dan Singapura, maka sepatutnya Malaysia memiliki kelebihannya yang tersendiri untuk mendengungkan kebudayaan dan kebahasaan Melayu itu tanpa perlu takut-takut lagi.

Maka, dalam hal ini, pensyarah Universitas Negeri Surabaya, Indonesia Prof Emeritus Dr Budi Darma berkata, orang-orang Melayu khasnya di Singapura perlu bangkit dalam upaya merawat semula derita kekalahan yang mereka terima oleh sebab kedudukan mereka sebagai kaum minoriti di negara itu.

“Sasterawan-sasterawan Melayu Singapura, khususnya para penyairnya, sedar bahawa mereka mempunyai kelemahan: 14.5 peratus daripada jumlah rakyat Singapura, bahasa Melayu tergeser oleh bahasa Inggeris, dan dalam kehidupan sehari-hari jarang orang Melayu Singapura yang mempunyai kedudukan penting,”
kata beliau dalam kertas kerjanya, Puisi Melayu Singapura dipetik.

Sesungguhnya Singapura perlu dimaafkan kerana hubungan Melayu di negara republik berkenaan telah diputuskan oleh tangan-tangan Melayu Umno terdahulu melalui keputusan Tunku Abdul Rahman yang memenggal negara pulau itu daripada Malaysia.

Akibatnya, dengan hubungan yang terputus antara Melayu Malaysia dan Melayu Singapura itu, ertinya kita semakin sulit melakukan usaha membantu meringankan beban penderitaan saudara kita sendiri.

Bagaimanapun di celah-celah kerumitan itu, tetap sahaja ada suara-suara yang terus-menerus mengasak agar segera bangkit membelah kegelapan memenggal penyimpangan yang hadir dalam masyarakat.

Budi Darma tetap meyakini suatu hal – iaitu Melayu Singapura masih tidak kalah. Mereka cuma belum menang. Melayu Singapura tidak boleh dipersalahkan kerana 'membiarkan' nasib bahasa mereka tidak tinggi kerana mereka sendiri tidak memegang kepala kekuasaan.

Tapi, dalam konteks Malaysia sebagai negara pribumi yang memiliki upaya dan kekuatan pemerintahan sendiri, Najib Razak perlu bangkit dan berani berucap dalam bahasa Melayu di PBB. Barangkali, itulah syarat awal untuk melayakkan bahasa Melayu setanding dengan mana-mana bahasa di dunia hari ini!

No comments: