Thursday, January 06, 2011

Tanpa puisi masyarakat 'mati rasa', kita menunggu Penyata Muhyiddin

Oleh H FANSURI

Filem 'Dead Poets Society' (1989) mengisahkan perjuangan, perjalanan hidup seorang pensyarah kesusasteraan; Prof John Keating (lakonan Robin Williams) yang mengasuh sekumpulan pelajar di Nashville, Tennessee.

Pendidikan puisi dan ilmu kesusasteraan itu telah mengasuh roh pelajar itu untuk mengubah fikiran mereka ke atas hal-hal yang mereka faham selama ini.

Salah satu gaya asuhan John Keating ini ialah beliau mahu berkuliah dan mengadakan pengajaran di luar kelas, tetapi corak dan gaya ini tentu sahaja bertentang dengan sistem pendidikan biasa.

Dalam hal ini, Pak Natsir, berkata, bahawa pemimpin itu tidak cuma lahir daripada bilik kuliah, tetapi mereka bergaul dengan ahli masyarakatnya sendiri. Maka, kepemimpinan itu terangkat ke atas mereka apabila mereka kerap bergaul, menyelami, memahami pahit getir hidup rakyatnya sendiri.

Di sinilah peranan sajak dan puisi. Ia cuba mengirim penderitaan rakyat ke dalam kuliah dan kelas, kalau-kalau kuliah tidak boleh bergerak ke perkampungan. Namun, cabaran awalnya terletak kepada sejauhmanakah guru-guru kesusasteraan itu bertindak untuk mengaitkan jeritan isi alam itu ke dalam ruang kuliahnya agar syarahan mereka tampil menarik.

Agak terlewat kalau mengajar generasi muda hari ini dengan puisi jika mereka sudah di bangku universiti. Sepatutnya, didedah terus sajak protes Usman Awang ke atas peristiwa Teluk Gong dan sebagainya.

Ini kerana, di pengajian tinggi di universiti, mahasiswa ini sudah ada pengkhususan dan mereka tidak diasuh untuk akrab dengan kebudayaan dan persuratan Melayu.

Mahasiswa ini tentu sahaja tertanya-tanya, apa rasionalnya Bakti Siswa? Kenapa pelajar harus turun ke kampung dan desa-desa. Adakah ini semua dibuat hanya mengutip mata dan unit untuk melengkapkan ijazah atau untuk mendapat tempat di kolej kediaman?

Jadi, sajak-sajak protes mahasiswa bersama rakyat ini perlu disemai sejak sekolah rendah agar mereka cepat mengerti rasional di sebalik program Bakti Siswa anjuran universiti-universiti itu. Kalau tidak, pastinya tiada kesinambungan pendidikan rendah dengan pendidikan tinggi. Hal inilah yang perlu difahami secara bersama oleh Muhyiddin Yassin dan Khaled Nordin.

Penyata Muhyiddin perlu menilai semula Penyata Razak

Sekolah-sekolah dan universiti hari ini akan mencetak deretan mahasiswa yang mati rasa apabila tidak dihadapkan dengan 'ilmu-ilmu perlu' seperti - agama, sains, muzik dan kesusasteraan. Setidak-tidaknya, kesemua ilmu perlu itu perlu bergabung sekali gus dan jangan dipisah-pisahkan.

Dalam Kongres Kebudayaan Kebangsaan yang diadakan di Universiti Malaya, 1971 yang merumuskan tiga perkara utama dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan itu, P Ramlee menyeru supaya lagu Melayu Asli mestilah diputarkan dengan begitu mewah sekali di setiap tempat.

Ini bertujuan menghaluskan jiwa agar manusia tampil lebih manusiawi. Tapi, kerajaan tidak mengendahkan hal ini, sebaliknya membiarkan lagu-lagu Barat yang rencam itu mengancam nurani anak-anak muda.

Akan lahir perangai anak muda yang lebih kacau dan tidak bersopan. Al-Quran adalah kitab pegangan yang merangkumi semua itu, padanya terhimpun muzik, lagu, puisi, sajak dan segala-galanya sebagai ramuan 'syifa' (penawar) kepada umat.

Pendidikan rendah dan pengajian tinggi yang tidak mempedulikan semua ini dan mengenepikan aspek ritual, rohani akan mencetak manusia berjiwa robot; manusia yang tiada perasaan atau mati rasa.

Kesusasteraan itu 'adabiyyat' begitu kata Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas (Al-Attas) dalam Risalah Untuk Kaum Muslimin. Ilmu-ilmu yang terkait dengan kesusasteraan ini seharusnya mengasuh batin manusia agar mereka lebih beradab, peka menghargai alam, kemanusiaan dan menjaga hubungan dengan Tuhan.

Menonton Robin Williams yang berperanan sebagai watak Prof John Keating, mengingatkan saya kepada
Prof Al-Attas. watak-watak ini akan tenggelam oleh desakan arus ekonomi kapitalis selagi mana pemimpin ghairah menyembah berhala wang lalu berkiblatkan dasar para pemodal.

Bahasa 'Arab Qur'aani

Muhyiddin perlu nilai semula apakah pendidikan rendah, pengajian tinggi hari ini menyebabkan anak muda mengabaikan agama atau perlahan-lahan 'berhijrah' meninggalkan agama?

"Manusia masih berakhlak buruk walaupun hidup dalam lingkungan agama!" mungkin inilah 'fatwa' Umno yang menyeru kita berfikir mengejar 'kewarasan' ala mereka.

Ya, benar... kita masih zalim walaupun agama sudah sempurna. Tapi, bayangkan. Jika agama wujud sekali pun, kita masih zalim, biadap dan bersikap menindas, maka apa akan berlaku jika kita hidup tanpa agama?

Sebab itu, agama itu penting dan pendidikan ke atasnya mestilah berterusan. Agama bagaikan mutiara yang tertanam dalam tanah dan perlu digali sedangkan alat galian itu tiada di tangan manusia.

Kalau Muhyiddin tidak tahu apakah alat perkakas guna menggali mutiara hikmah Al-Quran (puisi yang mengasuh kemanusiaan) itu, maka kita syor namanya sebagai Bahasa 'Arab Qur'aani.

Ia adalah bahasa Arab yang bukannya bertujuan memahirkan orang kita bercakap dengan para pelancong Arab menjelang Arab Season di Malaysia, tapi ia menjurus kepada usaha mempelajari bahasa Arab untuk memahami Al-Quran.

Kita tidak perlu tonton Dead Poets Society, tidak perlu libatkan lagi Prof Al-Attas dalam hal ini. Kita mahu menunggu isyarat lampu hijau Muhyiddin dahulu. 

Jika beliau sedia menyusun Penyata Muhyiddin guna memansuhkan Penyata Razak maka baharulah kita kumpul orang-orang faqih bagi merumuskan pendidikan alaf baharu ini.

No comments: