Friday, January 07, 2011

Azeez dan Najib: Silat terbuang, Tomoi dijulang

Oleh H FANSURI

Jika Umno benar-benar Melayu dan Hishammuddin Hussein boleh menjulang keris bagi membuktikan dia pembela Melayu, kenapa tidak Pengerusi Pengerusi Kelab Putera Umno Abdul Azeez Abdul Rahim melaksanakan hal yang sama? Kita tidak menyeru Abdul Azeez meniru sikap Hishammuddin itu.

Tapi, kita tertanya-tanya ketika media memaparkan berita bahawa Najib Razak sudah diangkat sebagai Ketua Khalifah Gayong Malaysia, maka kenapakah Abdul Azeez tidak memajukan silat Melayu?

Berucap dalam suatu kenyataan, ketika beliau diasak pertanyaan kenapa memilih Tomoi (Muay Thai), dan bukannya Silat, maka Abdul Azeez berkata:-

"Tomoi, walaupun berasal dari Thailand, ia adalah salah satu daripada seni bela diri terkenal dalam kalangan masyarakat antarabangsa. Ia adalah sukan untuk pasaran anak-anak muda hari ini.

"Pemenang pertandingan ini akan dinobatkan sebagai ikon Putera 1Malaysia, iaitu contoh ikutan terbaik untuk anak-anak muda hari ini.


"Pemuda Kelantan akan berlawan dengan peninju Tomoi daripada Washington DC. Acara All Martial Arts Exhibition (Amae)  ini membuka ruang buat anak-anak muda tempatan bagi menunjukkan bakat mereka. Ahli-ahli seni bela diri tempatan kita sudah menerima jemputan untuk bertanding di Las Vegas, New Zealand dan China."

Apakah dasar Umno untuk anak muda 1Malaysia?

Memang benar kenyataan ini dibuat atas kedudukan beliau sebagai Presiden Kelab Putera 1Malaysia, tetapi beliau juga pengerusi Kelab Putera Umno.

Jika Umno itu jelas kental Melayu, Hishammuddin Hussein kucup keris untuk menunjukkan dirinya Melayu sejati (walaupun berdarah Turki), maka Abdul Azeez perlulah mengutamakan silat biar pun beliau bukan asli sejati berketurunan Melayu.

Menjadikan ilmu seni silat sebagai seni pertahanan bela diri di tahap kebangsaan dan akhirnya menjadi anutan masyarakat sedunia adalah tugas Umno dan Perkasa yang mendakwa sebagai pembela Melayu.

Jangan Umno lupakan sejarah bahawa Thai pernah beberapa kali mencuba menakluk bumi Melaka, dan akhirnya dengan kebijaksanaan dan kebijakan helah perang Tun Perak, Thai pun kalah dalam serangan mereka itu.

Apa ertinya kedudukan Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak yang diangkat julang sebagai ketua; Khalifah Gayong Malaysia jika Abdul Azeez sendiri tiada kecintaan kepada budaya silat Melayu itu?

Jawapan Abdul Azeez, bahawa Muay Thai lebih terpilih berbanding silat itu (kerana Tomoi sudah berada di peringkat antarabangsa, lantaran itu anak muda lebih gemar Tomoi) bukan jawapan seorang pejuang seni bela diri Melayu.

Jawapan seperti itu adalah jawapan kapitalis yang menyusun acara itu bagi mengaut laba. Sebenarnya, kita tidak akan menulis begini jika acara itu kelolaan syarikat swasta, yang mahu mengaut keuntungan.

Apa yang kapitalis lakukan itu tepat kerana mereka memandang Muay Thai telah diterima, lalu mereka cuma membuka penyertaan sahaja demi mencari keuntungan.

Tetapi orang-orang parti adalah kumpulan perjuangan yang terlibat dengan dasar negara. Maka, kita pun tertanya-tanya mengenai sudut pandang mereka ini. Orang-orang parti, negarawan mesti menyongsang arus, hidup untuk menjulang seni bela diri bangsa agar berdiri setaraf dengan seni bela diri lainnya.

Abdul Azeez tidak boleh berkata, bahawa kita terima Muay Thai kerana ia seni bela diri yang diterima ramai. Abdul Azeez sepatutnya berkata, "Kita akan cuba perjuangkan seni dan kebudayaan kita setaraf dengan kebudayaan bangsa-bangsa lain di dunia ini."

Apa yang dilakukan beliau ini ialah, beliau membiarkan kebudayaan kita hanyut dan luput ditelan arus keghairahan anak-anak muda untuk mempelajari seni bela diri lain lalu seni bela diri sendiri terabai.

Seorang pejuang itu, hidupnya menongkah arus, apatah lagi arus yang dilawannya itu adalah arus deras yang membahayakan dan menjatuhkan maruah bangsa.

Bukan agenda politik?

Kata Abdul Azeez lagi, "Tiada agenda politik di sebalik acara ini, ia hanya bertujuan membawa pemuda dari kota dan desa bersama, khasnya bagi mereka yang berminat dengan seni mempertahan diri.

"Sekitar 40 buah bas disediakan secara percuma untuk pemuda dari Baling di Kedah, Terengganu dan Kelantan untuk tiba di Kuala Lumpur bagi menghadiri acara selama dua hari ini."

Ya, kita pun tidak berkata bahawa Abdul Azeez ada agenda politik kepartian. Beliau bebas mempelajari Muay Thai atau menonton Muay Thai di mana-mana.

Namun, bagaimana Abdul Azeez mahu menjawab – berapa banyak peruntukan yang beliau guna untuk memartabatkan seni bela diri Melayu ini? Sebanyak 40 buah bas telah dibiayai untuk mengangkut anak muda dari Kedah, Terengganu dan Kelantan untuk menghadiri acara tinju Muay Thai ini.

Berapakah peruntukan untuk Silat Lincah? Silat Gayong? Silat Sendeng dan lain-lain ilmu bela diri yang lain? Di mana suara Abdul Azeez jika ditanya oleh persatuan silat Melayu ini jika mereka tergerak dan tergamak bertanyakan soalan yang sama? Dan ini juga pertanyaan langsung yang tiada kaitan dengan kepartian juga.

No comments: