Sunday, January 23, 2011

Hapuskira karya Khalil Gibran tu... macam bakar Interlokkah?

Oleh H FANSURI

Syahadan, Interlok dibakar termasuk gambar pengarangnya sekali. Baru-baru ini ketika menonton filem Faster, ada selembar nasihat daripada pegawai penjara kepada pelakon-penggusti Dwayne Johnson (The Rock) yang memegak watak penjahat (sebenarnya wira) dalam filem itu.

Nasihat itu atau sisipan latar kata-kata itu tidak sempat dicatat. Ia terbit sekelip mata, muncul sekilas pintas, melintas sekejap di depan mata lalu terus menghilang dari ingatan di kepala kemudiannya. Pesan itu berasal daripada penyair Khalil Gibran. Barat memanggilnya Kahlil Gibran.

Lalu, ketika menulis ini, saya baru lepas daripada meminjam sebuah karyanya yang diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia dari Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).


Karya itu juga meletakkan nama penyair tersebut mengikut jalan bahasa dan lidah sebutan Barat; Kahlil. Sedangkan Khalil itu yang lebih mirip kepada jalan bahasa Arab, iaitu darah kebangsaannya sendiri. Apatah lagi, Khalil itu mirip kepada gelar Nabi Ibrahim a.s; Khalilullah.

Nama karya itu setelah diterjemahkan adalah, "Bagi sahabatku yang tertindas." Ketika ini, belum juga saya sempat menghadam isi kandungannya. Lama juga saya mencari lagi dua buah karya Khalil Gibran di gedung rak pustaka negara itu.

Berdasarkan carian di pengkalan data pustaka, saya mahu meminjam dua karya lagi yang ditulis oleh penyair agung pujaan Barat ini. Antaranya adalah The Prophet yang dikatakan sudah terjual lebih 20 juta naskhah di Amerika sahaja itu (juga dikhabarkan bahawa ia telah dialihbahasa kepada 20 bahasa.

Letih bertawaf mengelilingi rak, akhirnya saya mengalah dan terpaksa meminta bantuan kepada pegawai perempuan yang bertugas di situ. Dipendekkan cerita beginilah lebih kurang perbicaraan antara kami.

"Buku itu dah dihapuskira," kata pegawai itu. Katanya, buku yang tidak banyak dipinjam, di bawah tahun 2,000 mesti dihapuskira kerana rak tidak cukup. Semoga pembakaran Interlok, karya sufi Hamzah Fansuri di Acheh dan kitab di Sungai Tigris dan Sungai Furat itu tidak berlaku lagi.

Perlanggaran Mongolia ke atas Baghdad hingga debu-debu kitab mengeruhhitamkan Sungai Tigris dan Sungai Furat itu tidak sama dengan hukum karma ke atas Altantuya dari Mongolia yang diletupkan bom C4. Hukum Karma yang didakwa terjadi terhadap novelis Interlok yang mencemuh Shit (Shahnon Ahmad) pada 1999 itu masih boleh didebatkan lagi.

"Hapuskira tu... dibakarkah?" tanya saya lagi.

"Err...kita beri kepada pihak lain dan mereka hapuskira buku-buku itu. Buku yang encik cari tu, terbit 1991. Tak ramai yang pinjam, jadi mereka hapuskira karya itu," katanya lagi. (13 Januari, 2011)

No comments: