Tuesday, January 18, 2011

Kaum pelajar perlu memerangi riba secara menyeluruh!

Oleh H FANSURI

Ketika menulis pada 11 Januari (11.1.11) ini, ada sesetengah mahasiswa sedang berhimpun meraikan keindahan tarikh ini. Barangkali mereka berhimpun untuk merumuskan sesuatu. Di sini saya berkongsi sedikit pandangan sebagai berikut...

Masalah utama yang melingkari hidup mahasiswa ialah biaya pelajaran. Ia bermula apabila kerajaan melayan siswa sebagai pemodal, dengan memberi pinjaman dengan bunga walhal kaum pelajar berhak mendapat pendidikan percuma. Pengajian pelajar patut dilindungi negara sepenuhnya.

Ketika menulis ini, tersiar laporan bahawa kerajaan Pulau Pinang di bawah Gerakan - BN telah kehilangan wang sebanyak RM230 juta! Pada hari ini juga, 11.1.11 adalah angka mirip nilai peruntukan sebanyak RM111 juta untuk Permata Negara anjuran Rosmah Mansor yang 'dirompak' secara terhormat.

Kita patut berasa terseksa melihat iklan PTPTN yang menuduh kita sebagai golongan lupa daratan kerana tidak membayar wang lalu maruah kaum pelajar di negara ini telah direndah-rendahkan oleh PTPTN di bawah pentadbiran Najib Razak.

Kita patut mengadakan iklan menurut acuan kita bertujuan menjawab semula kebiadapan PTPTN ini. Kalau bukan kerana lesapnya RM230 juta wang Pulau Pinang itu, maka sudah tentu PTPTN dapat mengambil manfaat daripadanya.

Wang sebanyak RM230 juta yang lesap itu, jika ditolak nilai harta 'rompakan terhormat' sebanyak RM111 juta, masih juga berbaki sebanyak RM119 juta bagi menampung limpahan bebanan PTPTN.

Apa yang perlu kita perlu laksanakan sekarang ialah merumuskan satu pendirian awal iaitu, masyarakat pelajar dan bangsa siswa jangan lagi membayar keuntungan bunga berganda.

Sebaliknya kita akan cuma membayar hutang pokok dan piutang lapuk sahaja. Selebihnya, biar PTPTN usahakan sendiri mencarinya di mana sahaja yang perlu mereka selongkar.

Ringkasnya, pelajar mesti menolak 'interest' dan faedah dengan cara tidak membayar lebihan daripada hutang yang terpaksa kita pinjam itu, kerana, Allah dan Rasulnya telah jelas memerangi riba!

"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman. Jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah, bahwa Allah dan Rasul-Nya akan memerangi kalian...) dianiaya." --- (Al-Baqarah: 278 - 279).

Demikianlah penjelasan dan kedudukan Islam ke atas amalan riba. Betapa besarnya kedudukan riba ini sehingga Allah dan Rasul-Nya akan memerangi pengamal riba ini.

Manakala itu, seorang sarjana Indonesia Tjokroaminoto menitipkan pesan yang cukup berkesan di sanubari kita sebagai berikut:-

Marxisme memerangi riba

"Menghisap keringatnya orang-orang yang bekerja, memakan hasil pekerjaan orang lain, tidak memberikan keuntungan yang semestinya (dengan seharusnya) menjadi bagian lain orang yang turut bekerja mengeluarkan keuntungan itu, – semua perbuatan yang serupa ini (oleh Karl Marx disebut memakan keuntungan ‘meerwaarde’ (nilai lebih) adalah dilarang sekeras-kerasnya oleh agama Islam, karena itulah perbuatan memakan ‘riba’ belaka.

"Dengan begitu maka nyatalah, agama Islam memerangi kapitalisme sampai pada ‘akarnya’, membunuh kapitalisme mulai dari ‘benihnya’, oleh karena pertama-tama sekali yang menjadi dasarnya kapitalisme, iaitu memakan keuntungan ‘meerwaarde’ sepanjang fahamnya Karl Marx, dan ‘memakan riba’ sepanjang fahamnya Islam."
(Penerbit Bulan Bintang, Jakarta, 1954, halaman: 17).

Hal ini menunjukkan bahawa Karl Marx pendiri blok mazhab Sosialisme, Komunisme juga mengungkap hal sama, iaitu 'perang meerwaarde' atau 'perang riba!' Dengan menggunakan ketajaman akal fikir, setelah mengasah fitrah nuraninya, Karl Marx berhasil merumuskan suatu hukum yang mirip Islam.

Maka, dalam hal ini Islam sudah ada persamaan dengan Sosialisme dan Komunisme. Kita perlu bersatu dan bertekad untuk mara ke depan bermodalkan pedoman berbekalkan kesatuan fikrah yang sama.

Wasiat tokoh-tokoh perjuangan

Sekali peristiwa, Pramoedya Ananta Toer, pernah diminta menitipkan pesannya kepada angkatan muda. Maka, beliau berkata...

"Pesan saya kepada angkatan muda... jangan berlagak tidak mengerti, kalian itu cukup mengerti apa yang harus kalian lakukan. Lakukanlah yang terbaik untuk Indonesia dan untuk diri kalian sendiri. Jangan berlagak bodoh, kalian cukup pandai. Kalau cukup punya keberanian. Kalian cukup punya keahlian mempersatukan semua angkatan muda. Bergerak... terus sampai tercapai tujuan... dan selamat..."

Pelajar adalah kelompok terpilih di universiti yang dibina dan dituai daripada hasil percukaian rakayat dan kepada rakyat itulah juga limpahan intelektual anda dicurahkan pada akhirnya. Anda punya keberanian dan kecerdikan, maka hendaklah anda berani menyemak jawapan kerajaan dan berani menyoal.

Teliti juga pesan Maulana Abul 'Ala Al-Mawdudi, pimpinan Jama'at Islami di Pakistan berhubung kelesuan mahasiswa hari ini. Juga, teliti wasiat Hasan Al-Banna, pimpinan Ikhwan Muslimin di Mesir kepada mahasiswa. Kedua-duanya mengilhamkan penegasan berguna buat pelajar masa depan.

No comments: