Thursday, January 27, 2011

Politik itu santun berbahasa

Oleh H FANSURI

Kisah Soi Lek mengeluarkan ucapan tidak santun terhadap calon Pas itu menjadi buah mulut pertikaian orang-ramai. Kalau Soi Lek sedar diri kedudukan beliau setaraf Perdana Menteri Itali Silvio Berlusconi yang didakwa meniduri gadis bawah umur, maka beliau tentu tidak tergamak berkata demikian.

Namun, taikun media itu bukan berada di negara kita. Berdasarkan majalah Forbes, beliau orang ketiga terkaya di Itali dengan nilai kekayaan sebanyak USD 9.0 billion pada 2010, termasuk aset rangkaian tv, akhbar, penerbitan, pawagam, kewangan, perbankan, insuran, termasuk perusahaan sukan.

Namun, Beza Berlusconi dengan Soi Lek ialah beliau terhukum lalu sedang berjuang mendepani semua itu dengan rasa sedar dan insaf diri secara orang Barat. 

Beliau tetap melawan melalui perundangan, tapi Soi Lek yang sudah 'terhukum' kini masih juga cabul lidah lalu beliau dibiarkan Umno untuk bertindak liar menghina calon lain di Tenang. Sikap beliau ini tentu sahaja membikin hati orang rusuh, kacau dan terbakar di Tenang.

Politik itu santun berbahasa. Ia berasal daripada kalimah 'polite', iaitu santun atau sikap berakhlak baik. Ada suatu lagi akhlak berbahasa, yang dikenali sebagai pantun.

Ertinya, santun berakhlak sikap, perangai dan perbuatan sementara dan pantun itu berakhlak lidah. Tapi Soi Lek bukannya Melayu. Dia tidak tahu sajak Usman Awang bertajuk Melayu. Usman Awang pernah berpesan lewat sajak itu, “Berkelahi secara Melayu, menikam dengan pantun...”

Sebenarnya, bukan Soi Lek seorang yang tidak gemar berpantun dengan santun jika menyerang musuh. Umno pun demikian juga, termasuklah ramai ahli politik yang lainnya.

Berjangkit kepada Interlok

Dan, sikap ini menjalar berjangkit kepada rakyat di bawahnya. Contohnya, perhimpunan di Batu Caves baru-baru ini sempena Thaipusam itu tetap juga mengundang resah baharu. Tidak semua orang India di situ bersalah melainkan segelintir jua adanya. Di situ, novel Interlok itu tetap juga hangat dipertikai.

Kita percaya tidak semua kaum India bersikap sedemikian. Seorang ahli jawatankuasa Pesatuan Penulis Nasional (Pena) berkata, amalan kasta tidak wujud dalam agama Hindu.

“Tuhan memandang kita semua manusia ini sama sahaja. Kasta hadir dengan sebab manusia itu sendiri yang mencipta jawatan-jawatan tertentu,” katanya.

Politikus India dalam MIC dan PPP tentu sahaja marah dengan hal ini kerana amalan kasta itu memang wujud dalam pemilihan parti-parti mereka sendiri.

Malah, ahli-ahli parti MIC sendiri turut mendedahkan beberapa kejadian yang menyebabkan seseorang itu tidak boleh dicalonkan untuk bertanding jawatan-jawatan tertentu.

“Orang itu daripada kasta begini,” kata seorang teman. “Jadi, presiden yang datang daripada kasta yang berlainan itu tentu sahaja tidak suka kepada pencabarnya datang daripada kasta lebih rendah.”

“Pencabarnya itu tidak setaraf dengannya, bermaksud tidak berada dalam kasta yang sama. Ini masalah kasta yang masih wujud dalam politik India,” tambah teman bual bicara itu lagi.

Bercakap mengenai kasta dan kedudukan tinggi rendah sesama manusia, maka saya teringat Little Lord Faunleroy, sebuah karya novel klasik yang merincikan hubungan Amerika dan Great Britain itu.

Amerika asalnya sebuah tanah jajahan Britain dan kebanyakan banduan di penjara Britain dihumban ke Amerika. Maknanya daripada suatu hal, kita sedang 'berguru' dengan kelas kasta hamba, kasta banduan yang kini berdiri tegak sebagai sebuah negara yang kuat di dunia.

Jadi, setelah novel Interlok dibakar hangus, maka Muhyiddin Yassin kini sedang dibelit oleh American Peace Corps tajaan Hillary Clinton. Penerimaan ini sekali gus merentungkan kemajuan bahasa Inggeris yang lebih baik ucapannya, sekali gus berniat meluaskan penjajahan secara beransur-ansur nantinya.

Inilah suatu bahaya lagi; kita belajar daripada 'politik bahasa' Amerika yang tidak mengajar kesantunan dan adab berbahasa dengan baik dan berpantun.

Ancaman bahasa Inggeris Amerika

Seperti yang disebut di atas, kita sedang bertembung dengan bebanan permasalahan baharu; kemaraan penjajahan bahasa Inggeris Amerika. Negara itu dilihat sebagai kumpulan insan yang tak tersusun jalan bahasa mereka, sekali gus tidak tersusun rapi perangai dan akhlak mereka.

Kalaulah mahu dibuat perbandingan, maka bahasa Inggeris Britain dengan bahasa Inggeris Amerika itu bagaikan bahasa Melayu Malaysia dan bahasa Melayu Indonesia juga.

Kekuatan bahasa Melayu Malaysia antaranya ia masih mengekalkan kesopanan dan kesantunan bahasa, manakala bahasa Indonesia sudah menerima kemasukan ungkapan Inggeris secara berleluasa.

Dan, hal itu tentu sahaja secara perlahan-lahan akan mencalarkan mutu bahasa Melayu sebagai bahasa di rantau Asean ini. Bangsa Asia khasnya di Nusantara atau Asean perlu memutuskan bahawa bahasa Melayu menjadi bahasa pertuturan di rantau ini. Pendek kata, bahasa Asean adalah bahasa Melayu!

Ya, semua bahang pertikai politik hari ini sudah tidak suci dan murni lagi. Daripada kes Soi Lek, terus mengalirlah banjir pertikaian kepada Interlok. Seterusnya badai tsunami American Peace Corps Hillary Clinton dan kemudiannya kita dengar PPSMI mahu dihidupkan semula dengan kaedah yang berlainan.

Bangsa ini masih muda dan masih perlu terus-menerus belajar berpolitik secara santun dan berpantun!

No comments: